boleh jugak beli buku - Allah Tidak Pernah Jauh - karya Suhana Amiril - keluaran Karangkraf
byk ilmu...dan ia mendidik kita lebih menghargai hidup...
Antara petikan dr buku nih
Melepaskan Luka-luka Kehidupan
KITA ini manusia. Dalam kehidupan manusia, sememangnya kita bersifat tidak sempurna. Maka, banyak kelemahan dan keburukan tingkah ada pada diri, sama ada kita sedari atau tidak. Yang Maha Sempurna itu adalah ALLAH SWT.
Manusia tidak sempurna. Tetapi ia bukanlah alasan untuk tidak memperbaiki diri. Malah, Islam menyeru penganutnya untuk sentiasa bermuhasabah dan membersihkan hati serta jiwa agar sentiasa dalam ketenangan.
Apabila tidak sempurna, maka tentu ada cacat celanya. Pasti ada ujian mahu pun perkara dalam hidup ini yang menjadikan kita rasa hambar. Ujian; sama ada diuji dengan mereka yang dikenali mahupun tidak, yang rapat atau tidak, atau pun keadaan sekeliling, perjalanan hidup pasti meninggalkan kesan yang bernama ‘luka’.
Pahit manis dalam kehidupan itu lumrah yang pasti dilalui kita semua.
Manis Tidak Selamanya
Kalau boleh, apa yang ingin dipinta kepada-NYA adalah kita langsung tidak mahu ada sebarang masalah yang kadangkala boleh membuatkan jiwa sesak, fikiran menjadi sempit.
Tapi bagi yang berfi kir dengan akal yang dipandu iman, perkara sebegitu memanglah mustahil. Mana ada manusia hidup tanpa diduga, kan?
Hidup ini pasti bosan jika laluannya landai tanpa ada masalah... tiada luka atau parut akibat ujian-ujian yangdilalui. Tanpa ada sebarang tangis sedih terhadap diri. Kerana yang membuatkan kehidupan itu berwarna-warni adalah ujian demi ujian yang diturunkan.
Namun diakui, bukanlah mudah untuk menempuhinya. Tidak semudah melangkahkan kaki kanan untuk digerakkan. Susah? Ya, sangat susah.
Dalam konteks kehidupan kita contohnya. Baru semalam kita melalui hari dengan gembira, gelak tawa, gurau senda dan perkara-perkara yang membuatkan kita tersenyum ceria. Tiba-tiba hari ini, lain pula yang berlaku.
Kita bertukar sebaliknya; menumpahkan air mata, sakit fizikal dan hati, serta dilukai dan melukai dengan kata-kata yang melukakan. Dan itu sememangnya sakit.
Macam mimpi, bukan? Semalam suka, gembira. Hari ini, pedih dan sedih.
Rasanya, jika ada di antara kita yang apabila diminta menceritakan perkara yang membuatkan hati berasa sedih dan terluka, ramai yang dapat menghitungnya. Malah, mungkin ada yang siap ingat tarikh dan masa!
Tetapi, perlukah kita terikat dengan peristiwa yang menyakitkan itu? Nah, di sini sebenarnya persoalan untuk ditembak pada diri sendiri. Apakah apabila kitamengenangkan kelukaan itu, hati kita senang? Atau dalamerti kata lain, hati kita merelakan? Ataukah apabila kitaterkenang setiap peristiwa yang melukakan itu, hati jadi berdendam? Malah, mungkin kita mencari-cari kesalahan orang lain pula.
Apa yang bermain di hati, kita lebih tahu daripada orang lain. Perlukah kita menjadi pendendam untuk lukaluka kehidupan yang telah dan pernah kita lalui? Perlukah kita mengotori hati semata-mata untuk menyimpan barah hasad dalam diri?
Berdamailah Dengan Luka, Lepaskanlah
Kamu tahu, sahabat. Apabila kita dilukai, kita ada dua pilihan. Sama ada kita membalas untuk melukai kembali. Atau kita bersabar lalu memuhasabah diri, membersihkan hati dan membiarkan DIA memainkan peranan-NYA kerana DIA Maha Mengetahui setiap apa yang berlaku.
ALLAH SWT tidak pekak dan buta, wahai sahabat!
Kehidupan memang sentiasa akan ditonyoh-tonyoh. Semua kita berhadapan dengan ujian masing-masing. Berbeza-beza. Tapi apa yang lebih membezakan di antara kita semua adalah bagaimana kita berhadapan dengan ujian yang diberikan.
Jangan pernah berdendam walau betapa sakit pun perjalanan yang dirasai kerana ia hanya menyuburkan kedengkian dan mewujudkan lebih banyak penyakit hati. Kita manusia biasa, kan? Sakit hati itu memang ada pada kita semua. Tapi cepat-cepatlah merawat hati sendiri. Jangan dibiarkan melarat.
Tapi, jika kita melihat luka-luka kehidupan dengan skop yang lebih besar dan melalui jendela cinta akhirat, ia sebenarnya ada membawa mesej daripada TUHAN. Mesej? Ya. Mesej.
ALLAH SWT sebenarnya mahu mengajar kita. Mengajar untuk menjadi lebih kuat. Untuk lebih pandai menilai sesuatu perkara. Untuk lebih mengenal manusia yang mana kawan, yang mana lawan. Untuk kita lebih matang dalam melayari kehidupan. Lebih penting lagi, ALLAH SWT sebenarnya mahu mengajar kita bahawa kita ini siapa pada DIA.
Sahabat, banyak perkara dalam kehidupan ini yang jika jalan perdamaian itu lebih menyenangkan serta membahagiakan, mengapa memilih untuk menjauh dan berdendam? Ingatlah, dengan ego yang tinggi melangit, kita tidak akan ke mana-mana.
Lepaskanlah luka-luka kehidupan. Relakanlah. Pasrahlah.
DIA ada sebagai tempat untuk bergantung. Bahkan, DIA sangat suka pada orang yang sabar.
Sebenarnya, hati berasa malu apabila menyoroti kisah Rasulullah SAW yang banyak kali dilukai. Tetapi baginda langsung tidak memilih untuk berdendam. Kita tahu siapa baginda?
Baginda Rasulullah, Kekasih ALLAH SWT yang telah dijanjikan syurga. Jika mahu, boleh saja baginda membalas kesemua perbuatan orang yang melukai dirinya dengan 1000 kali lebih sakit daripada apa yang dirasainya. Tetapi baginda memilih untuk tidak melakukan itu walaupun ditawarkan."
|