Kawan saya terdiam. Dia sedar apabila seseorang itu sudah menyerahkan dirinya kepada Allah, bahawa dia tidak akan takut menghadapi sebarang musuhnya. Kawan saya itu memang pernah belajar menjadi dukun dari beberapa orang dukun terkenal. Malah dia pernah menuntut ilmu pendukunan dari seorang Tok Batin di Jerantut.
Bagaimanapun dia telah meninggalkan ilmu pendukunannya setelah menyertai satu kumpulan harakah Islam. Dia merasakan ayat-ayat Quran lebih tinggi martabatnya dari sebarang jampi serapah. Inilah hakikat sebenarnya tentang kekuatan ayat-ayat Quran itu, terutama dalam menghadapi musuh yang paling besar iaitu godaan syaitan.
Kawan saya itu pernah dihambat oleh lembaga yang menjelma seperti seorang wanita memakai pakaian nipis di tepi cermin keretanya semasa melalui Bukit Kijal dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Kuala Lumpur. Kawan saya ini dikenali di kalangan rakan-rakannya Kadir Misai. Dia ke Kuala Terengganu bersama kawannya dari Temerloh Suman Awangteh.
Suman Awangteh yang memandu kereta. Biasanya lembaga berkenaan akan menghambat mangsanya dari tepi jalan saja. Lembaga wanita akan mengejar kalau kereta menuju ke Kuala Terengganu, manakala lembaga lelaki akan menghambat kalau kereta meninggalkan Kuala Terengganu. Seolah-olah macam satu simbolik pula iaitu apabila datang ke Terengganu akan dinanti oleh wanita, dan apabila balik meninggalkan wanita berkenaan maka akan diperhambatlah oleh lelaki pula.
Kadir Misai sudah mendengar kisah di Bukit Kijal ini. Dia menceritakan pada Suman Awangteh mengenai gangguan lembaga halus di Bukit Kijal. Tetapi Suman Awangteh macam percaya dengan tidak saja cerita Kadir Misai ini. Kebetulan malam itu kira-kira pukul 10.00 mereka melalui Bukit Kijal untuk ke Terengganu.
Sebaik saja menurun dari Bukit Kijal tiba-tiba Kadir Misai nampak satu lembaga putih menerkam ke arah kereta. Mujurlah cermin kereta sudah dinaikkan. Jadi, lembaga itu berdentam ke pintu kereta. Terkejut juga Suman Awangteh melihat kejadian itu. Bagaimanapun dia masih dapat mengawal perasaan supaya tidak dipengaruhi oleh ketakutan.
" Jangan peduli Kadir..." bisiknya mengerling ke arah Kadir Misai.
"Awak pun jangan lari laju sangat, kalau kita laju dia akan berlari laju juga" ujar Kadir Misai menjauhkan diri dari cermin kereta. Terasa olehnya tangan wanita itu seolah-olah dapat menggapai mukanya.
"Pontianak ke?" tanya Suman Awangteh.
"Bukan..." sahut Kadir Misai. "Kalau pontianak dia mengilai..." jelasnya masih dirundung bimbang.
"Orang bunian agaknya..." Suman Awangteh cuba menghilangkan ketakutan yang menyelubungi perasaannya.
"Tak mungkin" Kadir Misai mengeluh pendek.
Lembaga itu terus mengejarnya dari arah tepi jalan. Sekali sekala pintu kereta sampai terdengar bunyi dentamnya. Bagaimanapun tidaklah mengganggu kereta tersebut. Dia akan berlari mengikut kelajuan kereta. Muka lembaga itu tidaklah berapa jelas kepada Kadir Misai, tetapi jelas seorang wanita kerana rambutnya yang panjang mengurai, di samping pakaiannya seperti perempuan memakai baju tidur halus dan jarang.
"Kita berhenti saja..." Suman Awangteh mula marah dengan kelakuan lembaga itu merempuh ke arah keretanya.
"Jangan, lebih baik kita terus saja. Jangan pedulikan dia" kata Kadir Misai. Dia juga sudah mula rusuh dengan gangguan lembaga tersebut. Sekiranya dia mengikut cadangan Suman Awangteh bimbang juga lembaga itu bertindak lebih jauh. Mana tahu dia akan menghumbankan kereta Suman Awangteh ke bawah gaung.
Apa akan jadi kalau kereta tersebut dihumbankannya ke bawah gaung. Tentu dia dan Suman Awangteh terperangkap menjadi mangsa. Sudah tentu orang ramai mengatakan kereta mereka terbabas menyebabkan terhumban ke bawah gaung. Oleh itulah Kadir Misai melarang kawannya mengikutkan perasaan marah di hati.
Sehingga masuk ke kawasan kampung barulah lembaga tersebut tidak mengejar kereta itu lagi. Barulah lega hati Kadir Misai tidak digannggu oleh lembaga berkenaan. Kalaulah dia masih mengamalkan ilmu pendukunan memang diujinya lembaga tersebut.
"Mengapa kau tak gunakan ayat-ayat Quran?" tanya saya apabila dia menceritakan peristiwa itu kepada saya dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu dalam bulan Januari tahun 85 lalu.
"Aku tak tau ayat mana yang hendak digunakan..." keluhnya perlahan. "Surat Al Ikhlas itu sudah cukup untuk menghancurkan syaitan" kata saya menjelaskan.
Kadir Misai tidak menyahut. Sama ada dia tidak yakin dengan ayat tersebut, atau merasakan kata-kata saya itu hanya untuk menguji dia, tidaklah saya tahu. Tetapi dari keluhannya saya dapati dia tidak menyangka bahawa ayat yang sering dibacakan itu mempunyai kekuatan yang tersendiri.
Tetapi dalam perjalanan itu saya tidaklah berharap untuk bertemu makhluk berkenaan di Bukit Kijal. Doa saya apabila memohon kepada Allah hanya lindungi saya dan berilah pertolongan apabila memerlukan. Hanya Allah sajalah yang melindungi dan memberi pertolongan kepada diri saya, kerana saya adalah lemah di sisiNya.
Itu sajalah cerita mengenai lembaga perempuan di Bukit Kijal yang saya dengar dari Kadir Misai. Tetapi dia mengatakan lembaga itu bukanlah pomtianak.
"Ustaz nak jumpa pontianak?" tanya Kadir Misai di satu masa yang lain.
"Buat apa...!" jawab saya perlahan. "Saya tak ada urusan dengannya buat apa nak jumpa, kecualilah kalau terserempak" beritahu saya seterusnya. Memang tidak ada gunanya kita sengaja mempunyai tujuan untuk bertemu jenis-jenis benda begini.
Sebagai makhluk Allah syaitan juga mempunyai kegiatan hidup sehari-hari seperti kita. Cukuplah, kita menyedari bahawa syaitan itu wujud. Tanggungjawab syaitan ialah untuk memusnahkan anak-anak Adam, setelah dia tidak mahu sujud kepada Adam. Jadi, apa perlunya kita mahu menemui syaitan?
"Barulah kita dapat buktikan tentang pontianak..." ujar Kadir Misai tersengih-sengih.
"Apa untungnya...?" saya tersinggung juga dengan kata-kata Kadir Misai, seolah-olah saya sengaja mahu mencari syaitan.
"Kita mahu tunjuk pada orang mengenai pontianak" katanya lagi.
"Ah, kerja sia-sia Kadir" jelas saya mengingatkan dia. "Kalau orang percaya kepada ayat A'uzubillahhiminas syaitannir rajim, orang akan sedar syaitan itu ujud dan mengganggu manusia. Itulah buktinya..." ujar saya kesal dengan sikap Kadir Misai.
Tetapi saya tahu Kadir Misai hanya bergurau. Dia seolah-olah mahu mempersenda-sendakan pontianak itu. Disebabkan sudah lama terlibat dalam ilmu pendukunan tentulah dia sering ditanya oleh orang ramai mengenai hantu jembalang yang mengganggu pesakitnya itu. Selama itu juga dia tidak dapat membuktikan kepada orang ramai, apakah sebenarnya hantu jembalang tersebut.
Jadi dia menganggap saya menghadapi masalah demikian. Sedangkan berkali-kali saya memberitahu dia bahawa saya bukanlah seorang dukun.
Beginilah mulanya perkenalan saya dengan Jali yang berasal dari Bukit Mertajam itu. Pada mulanya dia dan isterinya datang ke rumah saya dengan tujuan membuat parti arcoroc. Kebetulan isterinya memang kenal kepada isteri saya, sebab itulah dia meminta isteri saya membantunya mengadakan parti arcoroc yang diusahakannya.
Jali ikut sama menghantar isterinya itu. Apabila Mimi isteri Jali mahu masuk ke pintu rumah saya, dia merasakan dirinya tiba-tiba seram sejuk. Kepalanya juga terasa pening menyebabkan dia hampir pitam. Akhirnya parti arcoroc itu juga tergendala. Jiran-jiran yang sudah datang berkumpul di situ pun terkejut melihat peristiwa yang tiba-tiba saja berlaku.
Melihat keadaan isterinya cepat-cepat Jali menerpa datang. Dia juga terkejut dengan keadaan isterinya itu. Sementara isteri saya pula segera memanggil saya di bilik. Ketika ini saya sedang membaca buku, kerana saya tidaklah mencampuri sangat parti arcoroc yang dikelolakan oleh Mimi dengan bantuan isteri saya itu.
Apabila saya keluar mahu melihat Mimi, itulah pertama kali saya berkenalan dengan Jali. Selepas itu kami pun menjadi kawan baik pula.
"Badan saya ni rasa nak demam ustaz..." kata Mimi gelisah.
"Bila awak demam?" tanya saya.
"Tak tau, dari rumah tadi sihat" beritahu Jali serba salah kerana orang-orang yang dipanggil untuk parti arcoroc sudah pun datang, tiba-tiba tergendala pula.
"Selalukah dia kena macam ni..?" saya inginkan kepastian.
"Tak pernah" jelas Jali gugup. "Tapi, selalu juga dia mengadu sakit kepala, dan badannya lenguh-lenguh macam membawa beban berat" ujarnya lagi.
Saya menyuruh isterinya mengambil air sejuk segelas. Kemudian saya membaca Surah Al Ikhlas tiga kali dan menyuruh dia meminum air tersebut. Sebaik saja Mimi meminumnya dia terpekik, "Panas...!. Lantas dilemparkannya gelas tersebut. Jali melekapkan tapak tangannya kepada air yang jatuh di lantai. Dia keheranan dengan kelakuan isterinya menggelupur seperti terkena air panas sebentar tadi. "His, air ni sejuk aje. Mengada-ngada aje kau..." suaranya keras sedikit.
"Awak jangan terkejut Jali..." saya merenungi dia. "Awak tak boleh marahkan dia, sebab dia ni ada gangguan..." jelas saya agar dia memahami bahawa Mimi sebenarnya memang sakit.
Gangguan terhadap Mimi sudah lama, tetapi mereka berdua tidak menyedarinya. Mimi hanya merasa kepalanya sering sakit dan badannya lenguh-lenguh. Apanila Jali membawa Mimi ke hospital atau klinik pihak doktor menyatakan darah tinggi. Anehnya, bila diuji ternyata Mimi tidak mengidap penyakit darah tinggi.
Disebabkan gangguan itu memang sudah sebati dengan tubuh Mimi, dia menjadi tertekan ketika masuk ke rumah saya. Sedapat-dapatnya dia tidak mahu masuk ke rumah saya, tetapi Mimi menguatkan azamnya untuk masuk juga. Perlawanan antara Mimi dengan gangguan semangatnya inilah yang menyebabkan dia menggelupur sebentar tadi.