Saya ada pengalaman yang ingin saya kongsi bersama pendengar MJ12. Kejadian ini berlaku ketika saya berumur 12 tahun. Ia berlaku di Fajar Road. Pengalaman ini tak pernah saya lupakan sampai sekarang.
Gambar hiasan
Pada masa itu, saya sedang cuti sekolah dan pada malam itu makcik saya dan anak perempuannya berada di rumah saya. Bila mereka ingin pulang, sepupu saya mengajak saya tidur di rumahnya. Jadi saya pun bersetuju memandangkan saya bosan di rumah tanpa melakukan aktiviti yang berfaedah.
Jadi pada malam itu, sekitar jam 1 pagi, pakcik saya mengambil kami pulang menaiki kereta. Bila sampai di tempat meletak kereta di kawasan rumah mereka, saya terperanjat! Di sebelah kereta pakcik saya, di dalam kereta, ada seorang perempuan yang berambut panjang dan mukanya tertunduk sedang duduk di bahagian pemandu. Rambutnya menutup mukanya. Dia tidak bergerak sedikitpun. Tidak ada tanda2 bernafas pun.
Saya terperanjat dan takut lalu memberitahu sepupu saya, "Kak, tengok di sebelah kereta tu..." Dia pun terperanjat lalu memberitahu makcik saya, "Mak... Mak tengok di sebelah mak..."
Bila makcik saya pusing, dia pun terperanjat. "Ya Allah!" dia berkata. Sebelum kami keluar dari kereta, pakcik saya berpesan agar jangan pandang ke arah kereta sebelah itu lagi dan menyuruh kami membaca surah-surah dalam hati dan jangan menegur.
Saya dan sepupu saya pun keluar dari kereta mengikut pintu lain yang bukan bersebelahan kereta tersebut. Makcik saya tiada pilihan lain tetapi harus keluar dari pintu tempat duduknya yang bersebelahan kereta itu. Tetapi dia tunduk ke bawah dah tidak pandang cermin kereta itu.
Cuba bayangkan, sekiranya bila saya lihat ke arah perempuan itu dan tiba2 dia pusingkan kepalanya perlahan-lahan... Tak dapat saya bayangkan... Nasib baiklah dia tak pusing bila saya ternampaknya.