CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5249|Reply: 0

TnT 600 tidak mengecewakan

[Copy link]
Post time 25-6-2014 04:57 PM | Show all posts |Read mode
TnT 600: Rekaan tegap, harga mampu milik





MOMENTUM kerancakan persekitaran industri automotif diteruskan lagi dengan pelbagai inovasi yang dilakukan para pengeluar untuk mewujudkan kelebihan pembezaan produk masing-masing.

Namun begitu, tidak semua yang dirancang menepati kehendak pelanggan. Pentadbiran perniagaan pula semakin kompleks dalam dunia ruang niaga yang kompetitif.

Merujuk kepada lembaran sejarah Benelli sebagai salah satu pengeluar motosikal tertua Itali, langkah menjual sebahagian saham syarikat kepada Qianjiang Group Co Ltd merupakan tindakan bijak untuk terus kekal bersaing secara global.

Nama Benelli melonjak semula pada tahun 2005 selepas berada di bawah pentadbiran syarikat gergasi China tersebut.

Jumlah pelaburan tersebut seakan berbaloi selepas beberapa model diperkenalkan di bawah nama pengeluar berprestij itu termasuk model TnT 600.

Semasa mengambil unit Tornado TnT 600 di pusat servis Benelli Jalan Ipoh, perkara pertama saya ambil kira ialah keadaan tayar.

Unit standard Tornado menerima tayar Pirelli 120/70 di hadapan dan 180/55 di bahagian belakang.

Model naked warisan teknologi Itali ini tampak tegap pada pandangan pertama. Walaupun ia di bawah pengeluaran hak milik China ,saya dapati ia masih mengekalkan semangat ciptaan Itali.

Pengeluar yang pernah berentap dalam saingan perlumbaan paling berbahaya, Isle of Man TT ini menggunakan enjin berkuasa 82 hp pada 11,500 rpm dan tork puncak 52 Nm pada 10,500 rpm.

Prestasi enjin cukup baik daripada aspek kelancaran di sepanjang operasinya. Cuma, ia memerlukan jumlah revving yang banyak untuk mendapatkan tork puncak. Enjin jentera ini dilengkapi dengan camshaft berkembar, sistem suntikan bahan api elektronik dengan empat pendikit badan 38mm dan empat injap pada setiap silinder.

Kuasa enjin 600cc ini dipindahkan melalui kotak gear enam kelajuan dan klac basah. Pengendalian gear mudah dan lancar.

Keadaan enjin masih stabil ketika pendikit dipulas agresif sehingga mencapai takat merah. Saya boleh mencapai kelajuan sehingga 220 km/j ketika tunggangan di lebuh raya.

Tornado 600 menggunakan sepasang fork teleskopik 50mm dan dilengkapi dengan penyerap kejutan tunggal di belakang dengan spring boleh laras.

Prestasi sistem suspensi adalah baik dan memadai untuk kegunaan di jalan-jalan bandar. Tahap pengendalian keseluruhan Tornado juga tidak mengecewakan.

Hal yang paling saya tertarik kepada Tornado 600 adalah tentang kedudukan tunggangan dan tempat duduk yang selesa. Pelana motosikal tebal dan lebar, menyokong kedudukan tunggangan dengan selesa.

Persepsi negatif terhadap produk buatan China masih menebal dalam kalangan pengguna di Malaysia.

Melalui pengalaman saya menunggang TnT 600, ia tidak seharusnya dipandang rendah. Perincian binaan berserta teknologi kejuruteraan yang dibawa Benelli masih dikekalkan sepenuhnya.

Jentera naked kategori pertengahan ini mampu memberi saingan kepada jenama lain dalam pasaran.

Jika dibandingkan, Benelli Tornado TnT 600 membawa tag harga yang amat berpatutan. TnT 600 yang dijual pada harga  RM30,490 (tidak termasuk insurans) boleh menjadi mesin bajet yang sangat berbaloi.




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

29-11-2024 09:06 PM GMT+8 , Processed in 0.047647 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list