Sebagai bekas anggota Kesatuan Soviet, Ukraine adalah juga bekas sekutu Rusia. Bagaimanapun situasi ini berubah sebaik sahaja pemimpin Ukraine pro-Rusia digulingkan oleh puak pro-Barat awal tahun ini yang menyaksikan Rusia mula memperlihatkan tindakan ketenteraan dengan alasan untuk melindungi etnik Rusia yang mendiami wilayah Timur Ukraine dan Semenanjung Crimea. Sebelum itu, hubungan Rusia-Amerika sedikit pulih ketika negara itu di bawah pimpinan Dmitry Medvedev tetapi sebaik sahaja Putin kembali sebagai presiden untuk kali yang ketiga pada 2012, ia kembali dingin. Situasi terbaru ini semua meletakkan Rusia dalam keadaan yang sukar dan terasing apabila Amerika dan Kesatuan Eropah (EU) mula menggenakan sekatan ekonomi sebagai senjata terakhir.
Bagaimanapun sekutu Rusia seperti Serbia enggan mematuhi permintaan sekatan ekonomi sebaliknya menghulurkan tangan pada saat-saat getir seperti ini. Putin cuba membalas balik jasa baik Serbia ini dengan berkunjung ke negara itu ketika mereka bersiap-sedia untuk meraikan ulang tahun ke-70 pembebasan daripada penjajahan Nazi. Kehadiran Putin merupakan satu simbolik yang amat bermakna bagi Serbia dan beliau akan diberikan sambutan karpet merah di sini malah akan diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucapan ketika perarakan lebih 3,000 anggota tentera. "Obligasi bersama kami ialah untuk menunjukkan penentangan kami ke atas sebarang pengagungan Nazisme dan juga usaha untuk mengembalikan semula apa yang terjadi selepas Perang Dunia Kedua," kata Putin merujuk kepada munculnya gerakan "neo-Nazism" di wilayah Baltik dan juga Ukraine.
EU yang membuat deklarasi Putin sebagai seorang yang tidak dapat diterima oleh sesebuah negara buat selama-lamanya setelah didapati melakukan kesalahan (jenayah) yang tidak dapat dimaafkan ke atas Ukraine, secara berterus-terang memberitahu Belgrade supaya negara itu membuktikan meritnya terlebih dahulu sebagai negara bakal anggota. Sejak tercetusnya krisis di Ukraine, Serbia cuba untuk mengimbangi obligasinya ke atas EU dan pada masa yang sama mengekalkan hubungan baik dengan Moscow. Bagi Rusia pula, adalah penting untuk memastikan penyertaan Serbia dalam EU tidak akan menjejaskan kepentingan Moscow. Rundingan berhubung penyertaan Serbia sebagai anggota EU sudah bermula Januari lalu. "Misi utama lawatan Putin ke Serbia adalah untuk memperkukuhkan jalinan yang sedia ada sekarang yang mana isu bahan bakar akan menjadi agenda utama (Rusia adalah pengeksport utama Gas dunia)," kata Pengarang majalah Global Affairs Rusia, Fyodor Lukyanov, kepada agensi berita AFP.
Rusia telah menandatangani perjanjian dengan Serbia pada 2008 untuk membina laluan paip gas baru tetapi projek yang sepatutnya bermula tahun ini tertunda sementara menunggu persetujuan antara Moscow dengan EU. EU enggan memberi kebenaran kepada pembinaan saluran paip gas itu dengan alasan ia tidak mematuhi piawaian dan standard EU. Selain kerjasama ekonomi, Rusia dan Serbia terikat dengan kerjasama ketenteraan yang menyaksikan Rusia mempunyai kemudahan pangkalan udara di Serbia.
Moscow turut menyalurkan bantuan kewangan kepada Serbia dengan memberikan kemudahan pinjaman sehingga AS$1.3 bilion untuk pembinaan infrastruktur kereta api. Rusia adalah rakan dagang luar Serbia yang ketiga terbesar melibatkan dagangan hampir AS$3 bilion setahun.
|