Bukan sahaja di ibu negara, perhimpunan 'Kita Lawan' bagi menyatakan setiakawan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendesak pengunduran perdana menteri turut diadakan di luar negara.
Setakat ini ia dikenal pasti berlangsung di London dan Taiwan.
Menurut seorang aktivis alam maya Pakatan Rakyat yang memuat naik gambar berkaitan di Twitter, perhimpunan di London (bawah) dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.
Milosuam atau nama sebenarnya Yusuf Al-Siddique menggelar perhimpunan itu sebagai “solidariti antarabangsa”.
Berdasarkan gambar, Mohamad yang tampil berjaket kulit warna coklat berucap menggunakan pembesar suara.
Selain plakad pro-Anwar, mereka juga kelihatan membawa bendera Malaysia.
Di Taiwan (bawah) pula, berdasarkan gambar, hampir seratus orang hadir dalam perhimpunan yang diadakan di sebelah malam.
Rata-rata mereka memakai pakaian gelap seperti disarankan penganjur perhimpunan itu di Kuala Lumpur.