Dari ruangan komen pengumuman Xperia Z4 semalam oleh Sony rata-rata merasakan spesifikasi peranti ini adalah mengecewakan. Pembaharuan dari segi rekaan tidak dilakukan dan penambah baikan pula terlalu sedikit untuk membuatkan Z4 berbaloi untuk dimiliki. Kepada mereka yang kecewa janganlah terus gundah gulana. Kini terdapat laporan yang mengatakan Xperia Z4 dikeluarkan hanya untuk pasaran Jepun. Ini adalah sebab mengapa media luar negara termasuk Amanz tidak dijemput ke majlis pelancaran rasmi peranti ini.
Ura-ura terkini mengatakan Sony bakal mengeluarkan peranti baru penghujung bulan Mei ini untuk pasaran dunia. Ia akan mempunyai spesifikasi yang lebih setanding dengan Samsung Galaxy S6 dan HTC One M9+. Peranti yang masih belum mempunyai nama rasmi ini turut akan mempunyai tubuh diperbuat daripada logam serta skrin QHD. Rekaan ini mungkin sama dengan rekaan konsep yang tertiris apabila Sony digodam tahun lalu. Mari sama nantikan hujung bulan hadapan untuk mengetahui sama ada ura-ura kemunculan peranti lebih berkuasa untuk pasara dunia ini menjadi realiti ataupun tidak.