|
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menampilkan variasi rancangan khas bersempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan tema #InikanRaya.
Ketua Pengarah Penyiarannya Datuk Abu Bakar Ab Rahim berkata bermula malam raya nanti RTM menerusi TV1, TV2 dan TVi akan menyiarkan lebih 71 rancangan berkonsepkan Aidilfitri manakala 33 saluran radio RTM pula menyediakan lebih 400 program untuk para pendengarnya.
"Kesemua program merangkumi pelbagai genre seperti filem, drama, majalah dan muzikal untuk tontonan semua," katanya pada Sidang Media Program Khas Aidilfitri #InikanRaya di Wisma Angkasapuri, di sini Selasa.
Katanya, bagi penonton yang tidak sempat untuk menonton program di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik di myklik.rtm.gov.my
Antara program menarik di TV1 sepanjang Aidilfitri ini adalah filem 'Stailista Cinta', telemovie 'Menantu Saat Adik Supiat', program hiburan 'Lebih Indah Bersama Dato' Siti Nurhaliza', program majalah dan dokumentari 'Jom Balik Raya', candawara 'Ahai Riangnya Raya', dan bicarawara 'Apa Kata Wanita Khas Raya'.
TV1 juga bakal menayangkan telemovie khas Aidilfitri antaranya 'Kelap-Kelip' 'Bila Cinta Berbunga' dan 'Kembar Syawal'.
Saluran TV2 pula bakal menyajikan tayangan filem seperti 'Bikers Kental', filem Hindi 'Mann'; telemovie seperti 'Jodoh Di Pagi Raya'; muzikal 'Dato' Siti Nurhaliza Live In Concert-Where The Heart Is'; drama kanak-kanak 'Fazil Nak Raya'; dan rancangan masakan 'Jelajah Rasa Pegro'.
Sementara itu, saluran radio menerusi Radio Klasik, NASIONALfm, KLfm, TRAXXfm, MINNALfm, ASYIKfm dan Galaksi Muzik akan turut mengudarakan program-program menarik khusus buat pendengar setia mereka sepanjang musim perayaan ini.
-- BERNAMA
|
|