CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3710|Reply: 1

[Lain-Lain] Produk Kraftangan Penyeri Aidilfitri

[Copy link]
Post time 8-7-2015 12:40 PM | Show all posts |Read mode
Oleh Ima Aimi Nadia Ibrahim

ALOR SETAR (Bernama) -- Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja sekadar sambutan perayaan setelah berakhirnya sebulan berpuasa, malah ia juga saat yang dinanti-nantikan oleh umat Islam untuk mengenakan pakaian baru di samping menghiasi rumah.

Justeru, kenapa tidak kali ini mencuba sesuatu kelainan daripada kebiasaan dengan mengenakan baju kurung dan baju Melayu yang bermotifkan batik atau dekorasi dalaman rumah yang berunsurkan tradisional.

Kaum lelaki akan kelihatan lebih tampan apabila mengenakan baju Melayu lengkap bersongkok dan bersamping manakala kaum wanita boleh menyarung baju kurung teluk belanga, baju kurung cekak musang mahupun baju kurung Kedah yang bercorakkan batik tradisional bagi memberi kelainan dalam menyambut Aidilfitri tahun ini.

Untuk itu tempat yang paling sesuai bagi mendapatkan barang-barangan berkenaan adalah dengan berkunjung ke Kompleks Kraf Kula Lumpur di Jalan Conlay yang akan menganjurkan Promosi Kraf Aidilfitri mulai 2-13 Julai ini. Acara itu akan dibuka setiap hari bermula pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam di kawasan perkampungan kraf bersebelahan kompleks utama.

Hari Kraf kali ke-11 yang bertemakan Warna-warni Aidilfitri tahun ini akan mengenengahkan penggunaan kraf tempatan yang merangkumi hiasan dalaman, pakaian raya, aksesori, peralatan dan kelengkapan juadah raya dan hiasan laman sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

BAJU MELAYU BATIK KEDAH

Penggunaan corak batik dalam pembuatan baju kurung memang telah lama berada di pasaran, tetapi jarang sekali kita melihat baju Melayu bercorakkan batik kerana penggunaan batik bagi golongan lelaki banyak digunakan pada baju kemeja.

Inna Mumtahanah Azis, 29, yang juga pemilik Batik Innaza di Pekan Tunjang, Jitra, berhasrat untuk menghasilkan baju Melayu bercorakkan batik pada masa akan datang tetapi buat masa sekarang, orang ramai boleh mendapatkan batik yang dihasilkan melalui teknik 'tye&dye' dan canting untuk dijadikan sebagai baju kurung.

"Penggunaan warna hitam sebagai warna asas dicampur dengan warna lain merupakan tema Aidilfitri dari Butik Innaza tahun ini kerana ramai pelanggan yang memilih warna hitam sebagai warna asas kerana tampak lebih elegan dan bergaya.

"Selain boleh dijadikan baju kurung, batik turut boleh digunakan untuk membuat jubah, blouse, skirt dan cardigan. Buat masa ini, saya belum berpeluang untuk menghasilkan baju Melayu batik kerana tempahan yang sedia ada membataskan kerja saya," katanya dalam temu bual dengan Bernama di butiknya baru-baru ini.

Peluang menyertai Hari Kraf ini akan digunakan sebaik mungkin untuk menaikkan lagi batik Kedah kerana kebanyakan orang cenderung kepada pemilihan batik Kelantan dan Terengganu.

"Setiap pengusaha batik menghasilkan corak rekaan berbeza bergantung kepada kretiviti masing-masing dan masih ada masyarakat yang tidak memahami nilai sebenar batik kerana beranggapan ianya produk murah dan senang direka sedangkan ia memerlukan kesabaran yang tinggi berikutan banyak proses yang perlu diikuti," katanya.

Sekiranya ada penggunjung yang ingin menempah baju Melayu batik mereka boleh datang ke Hari Kraf di mana tempahan boleh dibuat secara terus kepada Inna Mumtahanah. HIASAN DALAMAN AIDILFITRI

Produk kraf seperti hiasan dalaman termasuk produk set ruang tamu, set meja makan, set bilik tidur dan set perabot taman menggunakan medium kayu pelbagai jenis juga boleh dijadikan sebagai hiasan dalaman sempena menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Bagi Sobri Ahmad, 38, yang mengusahakan Briman Murni Enterprise di Jitra, setiap tahun apabila menjelang Aidilfitri, syarikatnya akan menerima tempahan seperti set kerusi dan meja dan set perabot.

"Bagi tahun ini, lebih 20 tempahan dari beberapa negeri telah diterima khusus untuk Aidilfitri yang melibatkan pelbagai jenis hiasan dalaman dan luaran yang diperbuat daripada kayu berjenis merbau, meranti dan kayu cengal.

"Kebanyakan produk yang dihasilkan berkonsepkan tradisional kerana seperti yang kita lihat sekarang ramai pengguna memilih produk yang berkonsepkan kontemperori" katanya.

Sekiranya ada yang berminat untuk mendapatkan khidmat pembuatan hiasan dalaman dan luaran dari syarikat Sobri boleh memilih rekaan yang mereka berminat dan syarikat akan memastikan produk yang dikeluarkan bermutu tinggi dan tahan lama.

CENDERAHATI KAYU PINE

Kraftangan Malaysia juga cuba membantu pengusaha kraf untuk menyertai dan mempromosi produk mereka kepada orang luar selain dapat mendedahkan mereka kepada produk kraf antarabangsa.

Fatin Ilani Zaharulail, 21, yang juga Pengurus Debellani telah berjaya membina empayar peniagaan dengan bantuan Kraftangan Cawangan Kedah untuk menghasilkan 'fridge magnet', keychain dan hiasan kotak yang diukir di atas kayu pine.

"Selain memperkenalkan kraf kami juga memperkenalkan Kedah kerana kebanyakan ukiran yang dibuat memaparkan mercu tanda yang ada di Kedah seperti Masjid Zahir, Menara Alor Setar dan Muzium Padi. Ini juga adalah langkah yang kita ambil sebagai persiapan untuk menyambut Tahun Melawat Kedah 2016.

"Syarikat kami juga diberi kepercayaan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid untuk menyediakan produk di tempat-tempat yang menjadi lokasi lawatan pelancong," katanya.

Sekitar bulan Februari lepas Kedutaan Turki telah menempah 100 kotak dengan pelbagai corak yang diukir di atas kayu pine untuk dijadikan sebagai cenderahati untuk para tetamu yang datang menghadiri majlis keraian.

Fatin Ilani berharap dapat mengembangkan perniagaan krafnya ke luar negara dalam usaha untuk memperkenalkan produk kraf tempatan Malaysia kepada negara-negara luar tetapi buat masa sekarang tumpuan lebih di Malaysia.

KRAFTANGAN KEDAH

Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kedah Adzman Suhaimi berkata Kedah menyaksikan peningkatan dalam jumlah usahawan kraf iaitu dari 117 pada tahun lepas kepada 137 tahun ini.

"Terdapat 137 usahawan pelbagai bidang di bawah Perbadanan Kraftangan Kedah yang melibatkan pelbagai jenis kraf seperti batik, seramik, kayu, kertas buatan tangan dan banyak lagi.

"Tahun ini kita dalam proses untuk menaikkan kraf kertas buatan tangan sebagai persiapan untuk menyambut Tahun Melawat Kedah 2016. Kita dimaklumkan bahawa setakat ini kraf kertas buatan tangan hanya ada di Alor Setar, Kuala Nerang dan Pendang yang mana banyak menggunakan serat nanas, serat batang pisang dan sekam padi," katanya.

Beliau berkata hasil jualan kraf di Kedah pada 2014 ialah RM18.8 juta dan pada tahun ini pihaknya menyasarkan hasil jualan sebanyak RM20.9 juta.

-- BERNAMA



Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 29-5-2016 10:23 PM From the mobile phone | Show all posts
Minat sangat..
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Hari Raya Aidilfitri


    ADVERTISEMENT



     

    ADVERTISEMENT


     


    ADVERTISEMENT
    Follow Us

    ADVERTISEMENT


    Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

    30-11-2024 12:59 AM GMT+8 , Processed in 0.103796 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

    Powered by Discuz! X3.4

    Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

    Quick Reply To Top Return to the list