|
Semua orang pasti pernah marah. Kerana marah merupakan sifat semulajadi yang dimiliki oleh semua manusia. Bohong besar jika ada orang di dunia ini yang mengatakan dirinya tidak pernah marah.
Secara amnya, manusia diciptakan sebagai makhluk sosial yang sentiasa berinteraksi dengan manusia lain. Maka tidak hairanlah jika terjadinya perselisihan faham yang boleh memicu kejengkelan dan kemarahan. Hal ini adalah perkara biasa dalam kehidupan rumah tangga, perselisihan suami isteri seringkali tak dapat dihindari.
Dalam hubungan suami-isteri, kemarahan suami memang lebih dahsyat kesannya dalam kehidupan rumah tangga. Dan ketidakstabilan emosi seorang suami yang akhirnya menimbulkan kekerasan fizikal yang meretakkan ketenteraman hati semua anggota keluarga.
Hati isteri pun terguris tatkala bentakan dan kemarahan suami menjadi ‘menu harian’ yang dipamerkan suaminya kepadanya. Suami atau isteri harus boleh mengawal amarahnya, agar ketenteraman keluarga terjaga.
Umar bin Khatab pernah berkata di dalam khutbahnya,
“Orang yang beruntung di antara kalian adalah orang yang terjaga dari ketamakan, hawa nafsu, dan amarah.” Bagaimana bila dia terlanjur marah? Hendaklah dia segera sedar, dan berusaha mengekang dirinya agar kemarahannya tidak terus berlanjutan.
Segera minta maaf merupakan langkah tepat untuk meredam suasana, agar kemarahan tidak membengkak dengan sederet efek negatif yang mengancam keutuhan keluarga. Bila suami yang khilaf terbelenggu oleh nafsu amarah, segeralah meminta maaf kepada isteri. Isteri juga harus berlapang dada untuk memaafkan suami.
Semoga amarah yang disesali dan maaf akan menjadi pembersih dosa orang yang dimarahinya. Menahan amarah tatkala emosi kita mulai meninggi merupakan perkara yang lebih mulia.
Rasulullah bersabda,
“Barangsiapa menahan amarah sedang dia mampu melakukannya, Allah akan memanggilnya di hadapan makhlukNya hingga membuatnya memilih bidadari mana sahaja yang dikehendakinya untuk dinikahinya.”
(Hadis sahih, disahihkan oleh Al-Albani di dalam Sahihul Jami’, no. 3518)
Marah Yang Berkualiti
Marah dikelaskan kepada dua. Pertama, marah yang terpuji, yakni bila dilakukan dalam rangka membela diri, kehormatan, harta, agama, hak-hak umum atau menolong orang yang dizalimi. Kedua, marah yang tercela, yakni marah sebagai tindakan balas dendam demi dirinya sendiri.
Dalam kehidupan berkeluarga, seorang isteri akan boleh lebih boleh menerima kemarahan suami, apabila suaminya marah dengan landasan keagamaan yang kental. Suami marah kerana ingin membela prinsip agama yang mungkin dilalaikan oleh isterinya. Inilah marah yang berbaloi, marah yang berkualiti.
Suami marah tidak semata-mata kerana perkara-perkara yang bersifat keduniaan, atau hal-hal remeh yang tidak memiliki berkaitan. Suami marah kerana didasari alasan yang bersifat syar’ie, walaupun itu harus tetapi hendaklah tidak berlebihan.
Marah seperti inilah yang pernah dilakukan Rasulullah dalam hidupnya. Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud a bahawa dia berkata,
“Kami pernah bersama Rasulullah melewati sebuah sarang semut yang telah dibakar. Nabi marah dan bersabda, ‘Sesungguhnya tidak patut bagi manusia untuk menyiksa dengan siksaan Allah’.” ~ (HR. Ahmad dan Nasa’i)
Semoga marah seperti ini yang akan mendatangkan rahmat Ilahi. Dengan syarat, asalkan ia masih dalam batas kewajaran, tidak berlebihan, dan tidak berterus-terusan. Walaubagaimana pun, harus diakui bahawa menahan amarah itu jauh lebih mulia dan lebih menenteramkan jiwa.
pakarcinta
|
|