Saya telah berkahwin dengan jejaka pilihan keluarga. Berat dihati saya untuk menunaikan tanggungjawab seorang isteri kerana langsung tiada perasaan cinta terhadap dirinya. Pelbagai cara yang suami saya lakukan untuk menambat hati saya. Saya tahu suami terlalu menyintai diri saya. Tetapi saya tetap begini, langsung tidak melayan dirinya. Berdosakah saya? Bagaimana ingin memupuk perasaan mencintai suami? Tolonglah, kerana saya inginkan perkahwinan kami bahagia. – Shuhada, Kota Bharu
Jawapan: Kesemua persoalan yang diutarakan saudari Shuhada bergantung kepada diri Shuhada. Setiap manusia dikurniakan perasaan semulajadi iaitu perasaan cinta dan kasih sayang. Cinta merupakan pakaian hidup. Suami isteri mestilah berusaha mencari jalan untuk memupuk dan memperbaharui cinta supaya rumahtangga sentiasa dalam keadaan bahagia, aman dan ceria. Cinta hipokrit atau cinta palsu tidak akan membahagiakan jiwa, sebaliknya memusnahkan. Hanya cinta suci adalah cinta yang abadi. Oleh itu, janganlah kita berpura-pura mencintai seseorang kerana itu ibarat kita bermain dengan api.
Sesungguhnya Shuhada, cinta tidak boleh dipaksa. Cinta dan sayang harus keluar dari hati. Apabila cinta dan sayang itu telah dilakukan dengan cara dipaksa atau terpaksa maka semua itu tidak akan mencapai sesuatu yang sejati. Saudari, biarkanlah cinta dan sayang itu mengalir seperti air dalam hidup ini, kerana dengan demikian disaat kita menjalaninya tidak ada yang merasa disakiti dan menyakiti. jadikan cinta dan sayang itu syurga dalam hidupmu. Tetapi, bagi pendapat PakarCinta, cintailah orang yang menyintai diri kita kerana sesungguhnya kita akan lebih bahagia. Mencintai pasangan kita memang mudah. Mudahnya mencintai renungan matanya, mencintai lengguk bentuk tubuhnya, mencintai lemak suaranya, mencintai gurau sendanya,mencintai cara dia berfikir, mencintainya kerana ilmu agama dan kewarakannya, mencintai kebolehannya, mencintai jiwa seninya dan mencintai keberadaannya di sisi kita dan mencintainya kerana itulah cinta kita dan itulah jodoh kita
Saudari, jodoh pertemuan semua Allah dah tentukan. Jika memang jodoh Shuhada dengan si dia terimalah dengan redha. Jangan sekali-kali melawan takdir. Jika dia bukan untuk kita, bukan milik kita, terimalah hakikat. Jangan menyalahkan orang tua atau orang lain. Kalau kita salahkan orang lain, bermakna kita pun menyalahkan takdir Allah. Sedangkan Allah lebih tahu kan apa yang terbaik untuk kita. Dan yang paling penting, hargailah apa yang kita ada sekarang. Sayangilah orang yang sayang kita, cintailah orang yang mencintai kita. Jangan tinggalkan orang yang sayang kita semata-mata untuk orang lain. Sebab, belum tentu orang lain tu akan menjadi milik kita. Belum tentu orang lain tu pun akan mencintai kita sebagaimana orang yang telah cintakan kita.
Nota: Teruskan membalas cinta suami, layanlah suami seadanya. Sesungguhnya syurga isteri dibawah telapak kaki suami.
pakarcinta
|