|
Ada sesetengah orang berpendapat, mempunyai pasangan yang seusia sebenarnya lebih mencabar dan agak rumit.
Maklumlah, bila 'angin' berlaga 'angin' macam-macam boleh terjadi.
Oleh sebab itu, ramai yang memilih untuk mempunyai pasangan yang lebih tua atau lebih muda.
Pun begitu, tidak dapat dinafikan juga, berbeza usia langsung pun boleh jadi tidak sehaluan.
Masing-masing mempunyai ‘ego’ masing-masing terutamanya bila si 'senior' mula rasa dirinya lebih betul dari si 'junior'.
Kali ini REMAJA ingin berkongsi beberapa tips untuk kamu amalkan bila si kekasih kamu….
BILA PASANGAN USIANYA LEBIH TUA
JADI SEORANG YANG LEBIH MATANG
Menjadi seseorang yang lebih matang itu tidak bermaksud kamu harus tinggalkan perangai ‘gila-gila’ kamu. Kamu masih boleh menjadi diri kamu, Cuma kamu perlu ‘mendewasakan’ sedikit pemikiran kamu dalam beberapa pekara. Ialah, tak kanlah nak biarkan pasangan kita itu terasa seperti bercinta dengan ‘budak kecil’ kan?
DEKATI RAKAN-RAKANNYA
Untuk lebih selesa, apa kata dekati rakan-rakannya. Di situ kamu boleh menilai dan lihat sendiri macam mana kehidupan si dia bila bersama rakan-rakannya. Sekurang-kurangnya selepas ni tidak lah kamu cemburu buta bila si dia kata ingin meluangkan masa dengan rakan-rakannya, betul tak ?
TAMBAH PENGETAHUAN
Orang kata, selalunya bila kita berpasangan dengan seseorang yang jauh lebih tua daripada kita itu adalah rezeki. Mana tidaknya, mereka lebih ‘makan garam’ berbanding kita yang berusia muda ini. Tetapi, janganlah pula kamu harapkan si dia tau segalanya. Ada masanya kamu juga harus ‘advance’ sepertinya. Jadi, kamu perlu tambah dan pertingkatkan segala ilmu pengetahuan kamu.
BERGAUL DENGAN ORANG YANG LEBIH TUA
Sekirannya kamu sukar untuk memahami pasangan kamu yang jauh lebih berusia, apa kata kamu buat perubahan sedikit pada diri kamu. Inilah masanya kamu mula bergaul dengan golongan-golongan yang jauh lebih berusia dari kamu. secara tidak langsung pasti kamu akan mula terikut-ikut dengan cara-cara ‘orang dewasa’ bergaul. Jadi, lebih mudah lah kamu mengenalinya.
JAGA SENSITIVITI
Orang berusia ni lebih sensitif dan fragile hatinya! Jadi berhati-hatilah bila berkata. Maklumlah kan, kita ni darah muda, adakalanya mudah melatah dan suka ‘cakap lepas’. Mungkin, bagi kawan-kawan sebaya itu tak menjadi masalah ia hanya sebahagian daripada gurauan. Tetapi harus di ingat, tak semua boleh terima cara itu lagi-lagi orang-orang yang berjiwa ‘sensitif’.
BERTOLAK ANSUR & SALING MENGHORMATI
Usia yang berbeza, tentunya cara pembawakan diri juga berbeza bukan ? Tiada apa lagi bukti yang boleh kamu buktikan untuk menunjukan bertapa besarnya kasih sayang kamu terhadapnya, dengan cara bertolak ansur dan saling menghormati antara satu sama lain. Jika kamu berdua mengamalkan pekara ini, insyaallah kamu berdua akan saling memahami dan percayalah, hubungan kamu akan pergi jauh.
BERBANYAKKAN BERSABAR & CUBA IKUTI CARANYA
Memang rumit! Ada sahaja yang tak kena, lagi-lagi bila si dia cuba mengubah diri kita untuk menjadi seseorang yang sematangnya. Tidak salah jika kamu berbanyakan bersabar dan cuba ikuti caranya. Tetapi, jika si dia cuba merubah diri kamu hingga kamu sendiri sudah tidak kenal dengan diri kamu, rasanya lebih elok lah kamu berhenti sahaja ikuti caranya.
BILA PASANGAN USIANYA LEBIH MUDA
‘LIGHT & EASY’
Bila bercinta dengan seseorang yang muda berbanding usia kita senang sahaja, just be cool and relax dengan apa yang terjadi. Jangan terlalu menekan pasangan kamu untuk ‘TERLALU’ serius dalam hubungan. Kamu kena faham, jiwa muda seperti mereka tidak suka sesuatu yang ‘terlebih’ serius. Percayalah, jika kamu mampu memahami jiwa mereka. Pasti mereka juga akan cuba memahami kamu.
JANGAN MENGONGKONG & MENGATUR LANGKAHNYA
Ya, tidak di nafikan. Mempunyai pasangan yang lauh lebih muda memang agak merumitkan lagi-lagi dalam ‘langkah-langkahnya’. Kadang kala ia akan membuatkan kita terasa seperti “aku kena jaga dia! Banyak benda dia tak tahu ni!”. Tetapi harus di ingat, mungkin bagi kamu adalah tanggungjawab, mungkin tidak baginya. Terlalu mengongkong dan mengatur langkahnya akan membuatkan si dia mula rimas dengan kamu. Jadi, jangan cuba menjadi seperti ‘ibunya’ ya!
CUBA MASUK KE DUNIANYA
Tiada salahnya jika kamu cuba masuk ke dunianya. Have fun lah sekali sekala. Contoh ikut si dia pergi gig atau konsert-konsert kegemarannya. Pasti si dia akan rasa di hargai dan berbangga dengan tindakan berani kamu itu.
BERI KEYAKINAN PADA SI DIA
Kalau kamu sayangkan dia, apa kata beri keyakinan dan ingatkan dirinya adalah pilihan terbaik kamu. Buktikan juga jarak usia bukanlah penghalang untuk kamu berdua bersatu. Jangan buatkan dia teragak-agak untuk menghabiskan masa dengan mu.
TABAHKAN HATI & SENTIASA BERSABAR
Jangan sesekali jadi seorang yang cepat melenting. Maklum sahajalah, jiwa muda ni macam-macam karenahnya. Jadi, untuk mengelakan hubungan kamu bertambah rumit dan porak-peranda, adalah lebih baik jika kamu tabahkan hati dan sentiasa bersabar dengan apa yang bakal terjadi.
LEBIH TERBUKA
Orang berjiwa muda ni sukakan kebebasan. Jangan di kata “ini tak boleh, itu tak boleh”, memang memberontak lah dirinya nanti. Oleh itu, kamu harus menjadi seorang yang lebih terbuka dan sporting! Barulah hubungan kamu berdua akan menjadi lebih seronok!
remaja
|
|