Edited by CrowneGlory at 14-4-2016 01:07 PM
Anakku…
Semakin meningkat umurmu, mama dapat merasakan kita semakin akrab. Semakin banyak kisah yang kita kongsikan bersama. Namun, acap kali mama minta agar kamu bercerita juga dengan papa, tapi kamu menolak.
Anakku…
Mama suka jika anak lelaki lebih rapat dengan bapanya. Banyak perkara boleh kamu boleh kongsi dengan papa. Papa bukan garang, cuma papa mungkin sukar nak tunjukkan perasaan sayangnya pada kamu.
Tapi, papa kan selalu bergurau dengan kamu dan adik-adik. Mama pula lebih tempat mencurah rasa.
Anakku,
Kalau kamu nak tahu, masa lahir, papa yang sentiasa menemani mama sehinggalah mama melahirkan kamu. Papa menunggu dengan penuh kesabaran di luar bilik bersalin.
Papa menunggu dalam debar bersama dua orang lagi suami yang menunggu isteri masing-masing yang lebih awal masuk daripada mama namun masih belum keluar. Setelah beberapa minit, Alhamdulillah mama selamat bersalin dan keluar untuk ditempatkan di wad biasa. Senyuman papa memekar sebaik sahaja terlihat wajah mama… dan bayi yang baru dilahirkan. Putih merah. Hilang sudah debaran papa, tidak ketahuan keresahan dua orang lagi suami yang masih menanti isteri mereka sejak sekian lama. Tanpa berlengah, papa mengazankan dalam kesyahduan di telinga kanan kamu. Mama sebak.
Anakku,
Jika sesekali mama terlihat kamu meninggi suara dengan papa, mama terkesan. Tahukah kamu, papa adakala tidak mempamerkan kasih sayangnya seperti mama. Tapi, ketahuilah bahawa papa amat-amat sayangkan kamu. Ketika kamu kecil, papa akan berikan apa saja yang kamu minta. Papa suka bermain bola sepak dan badminton, serta meronda keliling taman dengan motor.
Papa juga akan bangun tengah malam untuk buatkan susu kamu sebab papa tahu mama kepenatan. Papa juga sering menyebelahi kamu andai ada perkara yang mama tegur.
Anakku,
Perasan tak yang papa akan peluk bahu kamu ketika berjalan. Adakala papa akan tunjukkan cara cium pipi yang betul (walhal papa memang betul-betul nak cium kamu!). Sebenarnya, dalam hati papa ada ‘taman’.
Papa seorang yang penyayang. Pernah mama melihat papa mengalirkan air mata ketika bercerita tentang anak saudaranya yang sekian lama dilihat di depan mata, terpaksa dihantar ke kampung menetap bersama orang lain. Ya, itulah papa!
Anakku…
Sungguh, ketika hari kedua persekolahan, kamu di dalam tahun satu, papa kamu akan menuruti kamu dari kejauhan. Papa sanggup memerhati kamu, memastikan yang kamu tahu ke mana hala untuk menuju ke kantin, tahu di mana nak menunggu Pakcik Rosli yang akan menjemput kamu dan kawan-kawan menaiki bas sekolahnya. Dan bagaimana papa terlihat kamu menangis di sekolah kerana pakaian dan kasut sekolah basah terkena air hujan.
Usah menangis sayang… Percayalah! Papa tetap sayangkan kamu dan akan menjaga kamu dengan penuh kasih sayang andai mama menutup mata terlebih dahulu.
#sayangilahbapasebelumterlewat
**sob...sob...terus teringat arwah abah...betulla kerana rapat dgn ibu seorg anak terlepas pandang betapa sayangnya bapa kepada mereka so tugas ibu utk buat dorg sedar...
|