Edited by EJALTI at 6-4-2017 11:57 AM
Jururawat dikata diculik, ditahan bersama bekas tunang
http://www.malaysiakini.com/news/378247
Hari ini, 3:21 petang Hari ini, 3:23 petang
Polis menahan seorang jururawat Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang dikatakan diculik, baru-baru ini, bersama seorang lelaki yang dipercayai bekas tunangnya, semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata wanita dan lelaki berusia 40 tahun itu ditahan dengan kerjasama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Alor Setar, Kedah selepas polis bertindak atas laporan yang dibuat bapa jururawat itu, hujung bulan lepas.
"Pada 31 Mac lepas, bapa jururawat itu ada membuat laporan polis yang menyatakan anak perempuannya itu melarikan diri sehari sebelum itu (30 Mac)," katanya menerusi kenyataan di Johor Bahru ini.
Wan Ahmad Najmuddin berkata pesanan ringkas berkenaan kehilangan jururawat itu kemudian turut menjadi tular melalui aplikasi WhatsApp yang menyatakan bahawa jururawat itu telah diculik dan diugut bunuh.
Beliau berkata menerusi temu bual awal terhadap jururawat itu semalam, jururawat tersebut mengaku dia telah bertindak keluar dari rumah bersama lelaki tersebut secara rela hati dan tanpa paksaan mana-mana pihak untuk mengikut lelaki itu berkahwin di Thailand.
Wan Ahmad Najmuddin berkata jururawat itu turut memberitahu dia tinggal di rumah ibu angkat lelaki itu di Pendang, Kedah sejak 30 Mac lepas.
"Jururawat dan lelaki itu telah berkahwin di Thailand pada Isnin lepas (3 April) dan dia turut menyatakan bahawa tiada kejadian culik dan ugutan bunuh sepanjang tempoh bersama lelaki itu," katanya.
Menurut Wan Ahmad Najmuddin kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 363 dan 342 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dan pengurungan salah.
- Bernama
|