Edited by pengecattaik at 17-9-2023 01:18 AM
Rancangan pembangkang untuk menganjurkan Himpunan Selamatkan Malaysia di ibu negara Sabtu ini menyerlahkan sikap hipokrit mereka terutamanya dalam isu keputusan mahkamah melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Tidak cukup dengan mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat setelah usul tergempar yang ingin dibawa oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung isu tersebut ditolak, mereka mahu mengheretnya ke jalanan pula.
Pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) begitu galak menghentam kerajaan berhubung isu tersebut, seolah-olah ingin mewujudkan persepsi kononnya berlaku campur tangan dalam keputusan mahkamah.
Namun, di mana suara mereka apabila mahkamah pada 15 Ogos lalu melepas dan membebaskan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan rasuah membabitkan dana berjumlah RM232.5 juta?
Adakah pembangkang mengamalkan ‘kecaman terpilih’ di mana tidak mengapa dalam kes Muhyiddin tetapi dalam kes Ahmad Zahid tidak boleh pula?
Tidak pula kedengaran bantahan daripada pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah terhadap Muhyiddin.
Terbukti PH dan BN bersikap matang serta berlapang dada dengan keputusan kes Muhyiddin tetapi pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Ahli Parlimen Arau, Tan Sri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menunjukkan reaksi yang sebaliknya terhadap kes Ahmad Zahid.
Himpunan yang difahamkan belum mendapat permit daripada pihak berkuasa itu juga akan dilangsungkan pada hari yang sama dengan sambutan Hari Malaysia.
Secara tidak langsung, tindakan pembangkang itu boleh mencemar semangat Hari Malaysia yang bertujuan meraikan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat di negara ini.
Rakyat memang sudah bosan dengan sikap pembangkang yang masih tidak dapat menerima hakikat bahawa Kerajaan Perpaduan bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong mempunyai keabsahan untuk mentadbir negara bagi penggal ini.
https://malaysiagazette.com/2023/09/14/himpunan-selamatkan-malaysia-serlah-hipokrasi-pembangkang/
|