|
tak silap iolss Ras Adiba lumpuh sebab accident. tapi pernah jua dibelasah tapi selepas dia accident. Lagipun si Ras Adiba tu lumpuh separuh badan sejak 2002.
Tapi selepas terlibat dalam satu kemalangan yang menjadikannya lumpuh separuh badan, kehidupan Ras mula berubah.
Lumpuh separuh badan, dari pinggang ke hujung kaki sejak pertengahan 2002, harapan untuk dia kembali menjalani kehidupan normal hampir tidak ada.
Tidak banyak orang yang realistik menerima ujian takdir dengan tabah. Ras Adiba mampu melakukannya. Tuhan memilihnya dan sebagai manusia apa lagi yang mampu dilakukan kecuali menerima dengan syukur.
13 tahun lalu, Ras Adiba pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa pulang daripada membuat liputan bola sepak Piala Malaysia 1996.
Akibat kemalangan itu, dia terpaksa menjalani dua pembedahan pada 1999 dan 2001 untuk memasukkan 24 keping implan bagi menyokong tulang belakangnya.
Pada Julai 2002 Ras Adiba disahkan lumpuh separuh badan sehingga terpaksa menjalani pembedahan di Australia.
ARKIB : 23/03/2001
Ras Adiba cedera diserang lelaki
KUALA LUMPUR 22 Mac - Pembaca berita sukan sambilan TV3, Ras Adiba Radzi, 33, cedera diserang oleh salah seorang daripada empat lelaki di hadapan rumah ibunya di Taman Maluri, Cheras di sini awal pagi ini.
Dalam insiden yang berlaku pada kira-kira pukul 2.30 pagi itu, Ras dipukul dengan topi keledar di bahagian belakang kepala dan bahunya.
Ketika ditemui di sebuah hospital swasta di sini tengah hari ini dia kelihatan masih terkejut dengan kejadian tersebut.
Menurut Ras, beliau tidak tahu motif serangan secara tiba-tiba oleh lelaki yang tidak dikenalinya itu.
``Saya tidak tahu kenapa lelaki itu menyerang saya,'' kata beliau.
Ras memberitahu, semasa kejadian beliau menunggu makciknya membuka pintu pagar rumah ibunya di Jalan Wirawati 8. Beliau ke situ untuk melawat adik lelakinya yang demam.
Menurut beliau, tiba-tiba empat lelaki menunggang dua buah motosikal itu muncul dengan salah seorang daripada mereka menghampirinya dan terus memukulnya menggunakan topi keledar.
``Saya terjatuh selepas terkena pukulan yang amat kuat di bahagian kepala dan lelaki itu terus memukul saya di leher selepas saya terjatuh,'' ujarnya.
Menurut Ras, ketika itu dia menjerit sekuat hati meminta tolong kerana terlalu takut.
``Lelaki berusia kira-kira 18 tahun itu kelihatan sungguh marah. Pukulan pertama terkena belakang kepala saya. Yang kedua terkena bahu semasa saya rebah,'' jelas Ras.
Katanya, tindakan lelaki itu sungguh menghairankan kerana setahunya dia tiada musuh.
Lelaki yang memukulnya bersama tiga lagi rakannya yang menunggu melarikan diri selepas melihat orang ramai keluar dari rumah.
Ras memberitahu, pada mulanya beliau menyangka empat lelaki itu kawan adiknya.
Ditanya motif serangan itu, Ras memberitahu, beliau sendiri tidak dapat memikirkannya, tetapi ada kemungkinan untuk tujuan merompak.
Bagaimanapun, jelas beliau, semasa kejadian beliau tidak membawa beg tangan.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Meor Chek Hussin Mahyuddin yang mengesahkan insiden itu berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan dan sehingga ini belum ada tangkapan dibuat.
Menurut beliau, polis menolak kemungkinan serangan itu berkaitan dengan insiden pergaduhan di Jalan Klang Lama.
``Ini disebabkan cara serangan yang dilakukan terhadap Ras berbeza dengan kejadian pergaduhan di Jalan Klang Lama,'' katanya.
Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut.
Kata Meor Chek Hussin, polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan.
Tambah Meor Chek Hussin, polis sedang mengambil kenyataan Ras bagi segera menyelesaikan kes ini.
Oleh: TEON EG
|
|