Bakal tampil dengan album studio ke-16 pada awal Mei ini, penyanyi ternama, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin memilih rakan sealiran dari Indonesia, Judika sebagai rakan duet terbaharunya.
Pemilihan Judika sebagai penyanyi undangan dalam album solo terbaharu penyanyi kesayangan Malaysia itu dibuat bertitik tolak pada gandingan mereka berdua dalam sebuah persembahan sempena majlis Anugerah Planet Muzik tidak lama dahulu. Kolaborasi itu merupakan gandingan kali keempat Siti Nurhaliza bersama penyanyi lelaki ternama. Sebelum ini, penyanyi nombor satu negara itu pernah berduet dengan penyanyi Hafiz menerusi lagu Muara Hati, Cakra Khan (Seluruh Cinta) dan Faizal Tahir (Dirgahayu).
Bercerita mengenai kerjasama terbaharu ini, Siti Nurhaliza berkata, beliau sangat teruja dengan usaha sama rakaman lagu duet itu. Menurutnya, peluang bekerjasama dengan penyanyi hebat seperti Judika tidak selalu datang kepadanya dan kerana itu beliau bersetuju untuk melaksanakan idea berkenaan. “Kata orang rezeki jangan ditolak. Apabila Judika sendiri bersetuju untuk berduet dengan saya, maka saya menerimanya dengan hati yang terbuka,” kata Siti Nurhaliza kepada Utusan Online. Siti Nurhaliza berkata demikian ketika ditemui di studio rakaman Cranky Music milik komposer Aubrey Suwito, di sini semalam. Bagi merealisasikan projek itu juga, Siti Nurhaliza berkata, beliau akan ke Jakarta, Indonesia dalam masa terdekat untuk merakamkan lagu duet ciptaan komposer dari negara seberang itu. Sementara itu, Siti Nurhaliza turut memberitahu, pada masa ini, beliau sudah merakamkan tiga buah lagu untuk dimuatkan dalam album terbaharunya itu. Projek pembikinan album ini jelasnya, merupakan sebuah naskhah yang amat bermakna kerana ia adalah rangkuman pengalaman dan ilmu seni yang diraihnya sepanjang dua dekad bergelar anak seni. Anak seni kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini juga menyifatkan album itu juga sebagai sebuah projek yang mencabar kerana banyak elemen baharu dimuatkan. Album terbaharu ini juga menampilkan Aubrey sebagai Pengurus Projek iaitu individu yang diberi kepercayaan oleh Siti Nurhaliza dan syarikat rakaman Universal Music untuk mencorakkan dimensi aliran muzik penghibur berkenaan. - UTUSAN ONLI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/hiburan/judika-rakan-duet-baharu-siti-nurhaliza-1.454451#ixzz4bkgfI3oE
© Utusan Melayu (M) Bhd
|