Seekor anak Malayan tapir dilahirkan di Zoo Antwerp, Belgium pada 7 Oktober lalu selepas 13 bulan dalam kandungan ibunya, Nakal.
Anak kedua Nakal ini yang belum diberi nama dilaporkan sihat dan jika bertuah, pengunjung akan dapat melihat ahli keluarga baharu tapir di zoo berkenaan.
Dipetik daripada laman portal ZooBorns, ketika lahir, bayi Malayan tapir yang belum diketahui jantinanya dilaporkan hanya seberat sembilan kilogram (35 kali kurang daripada berat ibu bapanya).
Menurut zoo berkenaan, bapa kepada bayi Malayan tapir itu yang dinamakan Kamal mati mengejut dua bulan lalu.
Sebaik saja jantina diketahui dan diumumkan oleh pihak zoo, penjaga akan memilih tiga nama yang menjadi pilihan tertinggi dan pengunjung boleh mengundi nama yang sesuai menerusi Facebook Zoo Antwerpen
Malayan tapir (Tapirus indicus) juga dikenali sebagai Tapir Asia, adalah yang terbesar daripada empat spesies tapir dan satu-satunya Old World Tapir. Malayan tapir berasal dari kawasan hutan hujan di Myanmar, Malaysia, Sumatera dan Thailand.
Tapir biasanya berukuran 1.8 hingga 2.5 meter (enam hingga lapan kaki) panjang, dengan ketinggian bahu 0.9 kepada 1.1 meter (tiga hingga hingga 3.5 kaki) dan ia adalah sejenis haiwan dari spesis Rhinoceros sondaicus, iaitu gabungan kuda dan badak Sumatera.
Selain dikategorikan sebagai binatang ganjil kerana mempunyai empat jari pada setiap kaki depan dan tiga jari pada setiap kaki belakang, Malayan tapir juga mempunyai kadar penglihatan yang lemah sehingga terpaksa bergantung kepada deria bau dan pendengaran.
Disenaraikan sebagai spesies terancam oleh IUCN Red List, Malayan tapir kini semakin terancam dengan jumlah populasi yang semakin merosot akibat kehilangan habitat, selain terdedah dengan ancaman daripada pemburu dan populasi dijangka menurun lebih 50 peratus dalam tempoh tiga generasi (36 tahun).
- Berita Harian. Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 11:05 AM -