Assalamualaikum , saya mengucapkan selamat hari guru kepada warga pendidik dan semoga diberkatiu segala ilmu dan menjadi saksi di sana kelak akan amanah yg diberikan untuk mencapai redha ALLAH dalam melahirkan golongan yang seimbang dalam jasmani, emosi , rihani dan intelek dan yg dapat menyaksikan kecantikan , kesepaduan ilmu dan mengukuhkan hubungan antara tauhid dan ilmu.
harapan saya semua - teruskan usaha menyampaikan ilmu yg benar dari sumber yg benar kepada setiap jiwa dan akal yang dimiliki setiap jasad agar mereka menjadi lebih insan , semaikan budaya ilmu dan semoga mendapar redha ALLAH SWT.
Maksudnya: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."
Tanpa ilmu insan menjadi hina. Dengan ilmu diangkat darjat seseorang hamba-Nya. Benarlah sabda Nabi SAW:
إنما العلم بالتعلم
Maksudnya: "Sesungguhnya ilmu itu didapati dengan belajar." (Riwayat al-Tabarani)
Tidak dapat tidak, ia pasti diperoleh daripada mulut seorang guru.
Antara karamah seorang guru itu:
• Mulianya dirimu guru kerana engkaulah pembawa obor ilmu
• Mulianya engkau guru kerana engkaulah penyuluh gelap kejahilan
• Mulianya engkau guru kerana engkaulah penegak kebenaran
• Mulianya engkau guru kerana engkaulah pengasah akal fikiran
• Mulianya engkau guru kerana engkaulah pembentuk sikap kami
• Mulianya engkau guru kerana engkaulah penyempurna akhlak
• Mulianya engkau guru kerana engkaulah penyebar dakwah
• Mulianya engkau guru kerana engkaulah penunjuk yang hakiki
• Mulianya engkau guru kerana engkaulah pembawa makrifah
• Mulianya engkau guru kerana engkaulah pendamai jiwa
• Mulianya engkau guru kerana engkaulah peniup semangat
• Mulianya engkau guru kerana engkaulah yang menanamkan prinsip insaniatul insan
• Mulianya engkau guru kerana engkaulah diri ini terus istiqamah
Lebih hebat daripada itu, engkaulah warathatul anbia’ yang memanusiakan manusia, melembutkan hati yang keras dengan hembusan bayu kasihmu, sehingga anak didikmu menjadi hamba dengan sebenar-benar hamba kepada-Nya dan menggalas Misi Agung meninggikan kalimah-Nya di muka bumi.
Dibelakang tokoh yang hebat, pasti ada guru yang kental, sabar, cekal, tabah, ikhlas dan penuh dengan akhlak unggul. Itulah hakikat sejarah yang tidak dapat dinafikan atau dipadamkan.
Saya katakan, jika dengan sebatang pen yang penuh dakwat ingin digunakan untuk menulis sifat dan kemuliaan guru, nescaya habislah dakwatnya. Itulah kehebatan seorang guru.
Kami katakana kepada guru, TERIMA KASIH CIKGU! Jazakumullah khairal jaza’.
Muridmu,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
16 Mei 2017
Nukilan Subuh Selasa.
GURU merupakan insan mulia yang gigih dan tabah menyalakan obor keikhlasan menerangi dunia pendidikan sejagat. Namun, kadangkala keperibadian guru disalah tafsir dan direndahkan martabatnya oleh segelintir masyarakat.
Realitinya, dunia pendidikan hari ini dipenuhi dengan pelbagai cabaran untuk seorang yang bergelar guru. Selain berhadapan dengan cabaran menyampaikan secebis ilmu, guru juga perlu berhadapan dengan sahsiah, pemikiran dan kebolehan murid yang unik dalam kecanggihan dunia digital hari ini.
Dalam konteks ini, guru terpaksa menyemai sifat sabar yang tinggi, selain mempelbagai karakter terbaik dalam mendidik pelajarnya menerusi watak 5M iaitu mu’allim, murabbi, muaddib, mursyid dan mudarris.
Sifat sebagai murabbi umpamanya, menuntut guru itu bukan sekadar mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental pelajar untuk dihayati dalam kehidupan.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 151: “(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dalam kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (daripada amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.”
Menurut Ibnu Kathir, perkataan ‘membersihkan kamu’ itu merupakan penghayatan sesuatu ilmu yang membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. Mendidik bukan sekadar mengajarkan ilmu secara konvensional tetapi lebih penting menjelmakan watak murabbi yang mampu menyemai nilai adab dan menjelmakan akhlak mulia untuk diteladani.
PERLU SENTIASA CEMERLANG
Dengan memahami konsep ini, seorang murabbi perlu memperbaiki, memimpin dan mentadbir pelajar secara kasih sayang bukan dengan bengis dan kasar. Pendidikan dan penyebaran ilmu memerlukan sikap lembut dan hikmah seperti Allah SWT menyeru Nabi Musa dan Nabi Harun a.s. untuk berdakwah kepada Firaun secara lemah-lembut.
Firman Allah dalam Surah Taha ayat 43-44: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga dia beringat atau takut.”
Guru memiliki peranan dan fungsi sangat penting dalam membangunkan peradaban dan kemajuan sesebuah negara serta bangsa. Memang tidak dapat dinafikan, tangan para guru mampu mengembalikan sinar masa hadapan bangsa.
Dalam Tafsir Ruhul Ma’ani menerangkan antara wasiat Lukman Al-Hakim kepada anak-anaknya adalah supaya menghormati guru dengan merapati mereka agar keberkatan ilmunya menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmah sebagaimana Allah SWT menghidupkan bumi dengan hujan.
Allah meninggikan darjat orang yang berilmu sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Mujadalaah ayat 11: “Supaya Allah meninggikan orang yang beriman antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.”
PERLUKAN SOKONGAN BERSEPADU
Bagaimanapun, seiring dengan cabaran hari ini, peranan guru perlu disokong oleh pelbagai institusi lain yang turut mempunyai sumbangan besar dalam soal pendidikan seperti keluarga, sosial dan media. Ini bagi memastikan matlamat membina negara bangsa serta mendidik generasi ini benar-benar tercapai.
Permuafakatan seluruh institusi ini mengukuhkan matlamat yang dihasratkan. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 2: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya),”
Antara langkah penting dalam proses jalinan permuafakatan itu adalah menggunakan saluran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Hubungan yang mantap dan akrab dengan pihak sekolah dapat memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjaya dilaksanakan malah memberi impak positif kepada guru, murid, ibu bapa serta institusi pendidikan negara.
Tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga pendidik yang telah banyak mengorbankan jiwa dan raga demi sebuah negara bangsa yang cemerlang.
Semoga Allah SWT terus mengurniakan para guru dengan ketabahan, kesihatan dan kejayaan.
Dalam menjiwai sikap murabbi ini, tugas guru bukan hanya mengembangkan potensi bahkan turut membangunkan rohaniah dan akhlak pelajar mereka. Oleh itu, selain ibu bapa, murabbi juga tidak terlepas daripada menjadi model dalam kalangan pelajar. Sudah pasti limpahan ilmu, kelembutan dan keikhlasan murabbi menjadi pembakar semangat pelajar untuk berjaya pada masa hadapan.
Saya sempat membelek ucapan hari guru daripada mufti wilayah...cantik bait ucapan itu,
Cikgu ... Terimkasih
Dikala tibanya 16 Mei mengingatkan kami kepada nostalgia sambutan hari guru ketika zamam kecil persekolahan. Kami katakan : Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi alam dan manusia. Sifat pengorbanannya teramat unggul. Darinya lahirlah politikus agung, cendekiawan terbilang, manusia yang mulia dan masyarakat yang hebat. Guru mengakhlakkan ummah dan membina pembina tamadun. Guru juga menjadi qudwah dan uswah kepada masyarakat kerana ia pewaris para nabi. Pada kesempatan ini saya ucapkan selamathari guru dan jasamu di kenang sepanjang zaman. Jaza kumullahu khairal jaza. Terima kasih cikgu.