TAFAKKUR bacaan al-Quran hari ini memfokuskan satu ayat berkenaan rahsia penciptaan bintang di langit serta manfaatnya kepada makhluk di bumi. Allah S.W.T berfirman:
وَهُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ النُّجُومَ لِتَهْتَدُوا بِهَا فِي ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ ۗ قَدْ فَصَّلْنَا الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ (٩٧)
“Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan malam di darat dan di laut. Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran Kami satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui.” [al-An’am: 97]
Bintang di langit adalah sebagai penunjuk arah bagi mereka yang berlayar di lautan mahupun orang yang berada di daratan. Allah S.W.T menyusun bintang-bintang mengikut susunannya yang tersendiri dan dapat dijadikan sebagai panduan arah kepada mereka yang mahir dalam ilmu ini.
Perlu diingatkan juga bahawa bintang tidak membawa apa-apa erti terhadap ramalan hidup seseorang. Ia hanya sebagai penunjuk arah, perejam Syaitan dan pengindah langit.
Penelitian berkaitan kewujudan bintang di langit termasuklah penerokaan ke angkasa bukanlah suatu yang asing bagi umat Islam. Secara tidak langsung, ini memberi erti bahawa kehidupan dan pengurusan manusia tidak terhad kepada bumi yang didiami manusia tetapi meliputi apa yang ada di luar atmosfera bumi.
Allah menyebut perkataan al-Samawat (السماوات) pada banyak ayat-ayat al-Quran mendahului al-Ardh (الأرض), menunjukkan terdapat kebesaran ciptaan Allah di langit yang perlu dikaji. Rasulullah S.A.W telah menerobos ke angkasa melalui Peristiwa Mikraj. Baginda telah naik ke langit dunia dengan kenderaan khas hingga ke langit ketujuh dan seterusnya ke Sidratul Muntaha.
Sementara pengkajian tentang ilmu penerbangan ke angkasa bukanlah suatu perkara baru bagi umat Islam. Jika ditinjau dari segi sejarah, orang yang pertama mencetuskan idea, mencipta dan melakukan teknologi penerbangan bukanlah daripada kalangan Bangsa Eropah akan tetapi seorang ahli Fizik dan Astronomi beragama Islam. Abbas Ibn Firnas, merupakan manusia pertama membuat penerbangan percubaan secara saintifik dalam sejarah sebagaimana disebut oleh ramai para sejarawan.
Selepas itulah, adanya percubaan pada abad ke-20 di mana mesin penerbangan pertama di dunia mula diterbangkan oleh Wright bersaudara pada 17 Disember 1903 di Amerika Syarikat.
Ini membuktikan bahawa umat Islam terkehadapan dalam pelbagai ilmu termasuk ilmu astronomi dan kajian angkasa. Ramadan adalah bulan untuk meneliti segala khazanah yang penuh takjub dalam al-Quran, bacalah serta tafakkurlah ayat-ayat Allah dengan penuh tawajuh.
USTAZ DATO’ BENTARA KANAN
MENTERI BESAR KELANTAN
07 Ramadan 1439H
https://berita.pas.org.my/tafakkur-dan-tafaqquh-juz-7/
|