PENGESAHAN ARAH KIBLAT - 16 JULAI 2018, 05:27 PETANG
LanguageMalay
Pada 16 Julai 2018 ini tepat jam 5:27 petang, rakyat Malaysia berpeluang untuk mengesahkan arah kiblat di rumah atau rumah ibadah masing-masing.
Pada tarikh dan waktu tersebut, Matahari akan berada tepat di atas bandar Mekah di mana terletaknya Kaabah iaitu kiblat umat Islam di seluruh dunia. Oleh kerana Matahari berada tepat di atas Kaabah, maka bayang-bayang sinaran Matahari bagi semua objek yang ada di permukaan Bumi pada ketika itu akan menghala ke arah Kaabah dan boleh dijadikan panduan bagi menentukan arah kiblat secara semulajadi.
Orang ramai perlu mencari objek yang berdiri tegak dan dapat menunjukkan bayang-bayangnya apabila terkena sinaran Matahari pada 5:27 petang 16 Julai 2018 ini. Sekiranya tiada objek tegak anda boleh mendirikan tiang di kawasan bersesuaian dan perlu dipastikan tiang tersebut betul-betul tegak dengan menggunakan peralatan pelaras buih udara yang biasanya digunakan untuk pembinaan bangunan. Anda juga boleh berpandukan pinggir dinding bangunan yang betul-betul tegak untuk mencari bayang-bayang Matahari pada waktu dan tarikh berkenaan.
Tepat jam 5:27 petang dan sekiranya cuaca baik di mana anda dapat melihat bayang-bayang Matahari daripada tiang yang anda dirikan atau darpada pinggir bangunan atau sebarang objek tegak lain, anda perlu melakarkan garisan bayang-bayang Matahari yang terbentuk sama ada di atas tanah atau kertas atau sebarang permukaan yang mudah dilukis. Garisan yang telah berjaya dilakar atau dilukis atau diguris tersebut adalah merupakan hala ke arah Kaabah atau arah kiblat jika kita berdiri di satu hujung garisan dan menghadap ke hujung satu lagi garisan pada arah Matahari terbenam. Pastikan bahawa garisan yang telah dilakar tersebut dapat di kekalkan daripada sebarang gangguan atau sebarang usaha untuk memadamkannya untuk dijadikan rujukan pada masa hadapan. Setelah arah kiblat diketahui maka bandingkanlah dengan arah kiblat yang biasanya anda ikuti sama ada di rumah sendiri atau rumah-rumah ibadah. Sekiranya terdapat perbezaan maka buatlah pembetulan yang sewajarnya. Planetarium Negara di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar akan mengadakan Program Pencerapan dan Menandakan Bayang-Bayang Matahari pada 16 Julai 2018 mulai jam 4:00 petang sehingga 6:00 petang di hadapan pintu masuk Planetarium Negara untuk memberi pendedahan kepada awam kaedah menentukan arah kiblat melalui pencerapan bayang-bayang Matahari. Orang ramai diminta tidak melepaskan peluang untuk menyertai Program Pencerapan dan Menandakan Bayang-Bayang Matahari mulai jam 4:00 hingga 6:00 petangdi Planetarium Negarapada 16 Julai 2018. Kejayaan menandakan arah kiblat akan juga bergantung kepada keadaan cuaca setempat pada 5:27 petang tersebut. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Planetarium Negara di talian 03-22735484 atau email [email protected] atau melayari laman sesawang Planetarium Negara di www.planetariumnegara.gov.my atau Facebook Planetarium Negara.
Planetarium Negara,
Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar pautan asal: http://www.planetariumnegara.gov.my/?q=article/pengesahan-arah-kiblat-16-julai-2018-0527-petang
|