CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3465|Reply: 0

Pelajar ini dedah pengalaman jadi pengkid, didampingi wanita-wanita cantik terma

[Copy link]
Post time 12-6-2018 02:19 PM | Show all posts |Read mode







Meel (bukan nama sebenar) kini berusia 23 tahun tetapi pengalamannya dalam dunia pengkid hampir separuh daripada usianya itu. Dengan perwatakan, lagak serta gaya seperti lelaki, Meel bangga dapat dikelilingi oleh gadis-gadis cantik yang mendambakan perhatian dan kasih sayang daripada golongan sepertinya.


Jiwa songsang yang diamalkannya tidak sedikit pun membuatkan dia rasa bersalah, walaupun fatwa telah jatuhkan golongan pengkid adalah haram di sisi agama. Apa yang dia tahu dia seronok dengan kehidupan yang dilaluinya. Apatah lagi menganggap diri seperti lelaki yang ingin memberi perlindungan kepada gadis-gadis yang sering dijadikan mainan perasaan oleh kaum lelaki durjana.



“Saya pernah menjalinkan hubungan dengan ramai gadis dan juga isteri orang. Mereka jadikan pengkid sebagai tempat bergantung setelah dikecewakan oleh lelaki. Keadaan ini menyebabkan mereka lebih selesa untuk berkongsi masalah dengan pengkid. Hakikatnya pengkid juga mempunyai naluri wanita jadi sekali gus dia dapat menyelami perasaan wanita berbanding dengan lelaki. Sebenarnya mereka hanya inginkan perhatian dan kasih sayang yang mana mereka temui ada pada golongan pengkid.



“Hidup sebagai pengkid pun ada cabarannya. Ada kalanya orang kesayangan mereka akan balik semula kepada bekas kekasih setelah di pujuk rayu. Bahkan ada kes pengkid yang tidak boleh menerima hakikat yang kekasihnya kembali semula ke pangkuan bekas kekasihnya sehingga sanggup bertindak mencederakannya,” ujar Meel menceritakan pengalamannya sebagai bekas pengkid kepada wartawan kampus uols.



Kejutan budaya


Akui Meel, sebelum terlibat dengan pengkid dia berjinak-jinak dengan dunia tomboy terlebih dahulu. Waktu itu dia hanya suka-suka sahaja, kerana terpengaruh dengan keadaan sekeliling.



“Saya masih ingat lagi, ketika itu saya di tingkatan tiga. Saya berkawan dengan seorang pelajar perempuan di sekolah yang sama. Dari situ kami mula berkawan baik dan hubungan semakin berlanjutan hingga kami selesa untuk bersama. Ketika itu tidak terbit perasaan istimewa terhadapnya, cuma berlandaskan hubungan mesra sebagai kawan rapat semata-mata



“Tetapi apabila melangkah ke Sekolah Menengah Teknik segalanya mula berubah. Dari situ saya mula berubah sikap, kelakuan, penampilan dan perwatakan seperti lelaki. Setelah tamat belajar, sikap saya lagi bertambah teruk. Tambahan pula saya ketika itu saya mengenali seorang perempuan. Pada mulanya kami biasa-biasa saja, tapi lama-kelamaan perasaan itu bertukar jadi lain. Perasaan itu semakin menjadi-jadi. Rupa-rupanya dia juga merasai perkara yang sama saya rasai. Dan dia menerima saya untuk hadir dalam hidupnya. Malah dialah yang mendorong saya untuk lebihkan ke arah sifat lelaki,” ujarnya.



Pasangan bersilih ganti


Bagi yang bergelar pengkid, tidak sah jika mereka tidak mempunyai kekasih. Begitu juga dengan Meel.



“Kekasih pertama saya ialah ketika saya masih menuntut di kolej. Kami kenal melalui WeChat. Pada mulanya tidak timbul apa-apa perasaan antara kami hinggalah kami membuat keputusan untuk berjumpa setelah sekian lama ber chatting. Apabila berjumpa dan mengenali perasaan masing-masing akhirnya kami melanjutkan hubungan kepada yang lebih istimewa,” jelas Meel.


Untuk mengaburi mata kedua-dua belah keluarga supaya tidak syak apa-apa Meel dan kekasihnya berlagak seperti tiada apa-apa. Malahan mereka juga mengaku kepada keluarga yang hubungan mereka tidak lebih dari adik beradik angkat.



“Saya cakap dengan mama yang dia adalah adik angkat saya, manakala dia pula beritahu pada keluarganya saya adalah kakak angkatnya. Tapi mungkin disebabkan kami terlalu mempamerkan kemesraan dan saling menjaga antara satu sama lain, jadi keluarga dapat menghidu sesuatu tentang hubungan kami ini. Walau bagaimanapun, hubungan kami tidak bertahan lama, dan akhirnya kami mengambil pendekatan untuk berpisah,” cerita Meel lagi.



Selepas berpisah Meel berkenalan dengan perempuan lain pula. Pun begitu hubungan mereka hanya mampu bertahan lebih dari tiga tahun.



Putus cinta dan kemudian mencari cinta baru seakan perkara biasa bagi Meel. Dia juga sudah lali ditinggalkan kekasih setelah mereka kembali ke pangkuan kepada bekas kekasih. Biarpun kecewa namun Meel tidak mahu dirinya terus diselubungi rasa sedih oleh itu dia cuba mengubati jiwa yang lara dengan berchatting. Dari situ dia akan menemui pasangan baru untuk dijadikan pengganti. Dan disebabkan sering mencari kenalan di laman sosial, Meel terjerumus ke dalam perangkap cinta isteri orang. Bahkan isteri orang itu sanggup melupakan keluarganya semata-mata untuk bersama dengan Meel.

“Saya tanyakan padanya, kenapa dia mahu menjalin hubungan dengan pengkid sedangkan dia ada keluarga sendiri. Alasan yang diberikan dia mahu bercerai dengan suaminya. Jadi dia gunakan pengkid sebagai alasan untuk menuntut cerai. Pada ketika itu pula, saya tengah ada krisis dengan pasangan saya. Jadi untuk hilangkan rasa tertekan, saya pun couple dengan dia. Sepanjang bersama, kami banyak meluangkan masa dengan pergi melancong. Dengan suaminya dia memberitahu dia keluar bersama kawannya. Dan setiap kali kami pergi melancong dia tidak lupa untuk membawa anak-anaknya bersama,” jelas Meel lagi.



Sehinggalah rahsianya terbongkar apabila suaminya mendapat tahu yang isterinya bercinta dengan pengkid. Suaminya marah dan tidak boleh terima hakikat yang isterinya mahu bersama Meel. Sampaikan suaminya sembunyikan telefon bimbit supaya isterinya tidak boleh berhubung dengan Meel lagi.



“Si isterinya ini pernah datang cari saya di rumah. Masa itu mama ada di rumah dan terkejut dengan kehadiran seorang perempuan yang dia tidak kenali datang dalam keadaan curiga. Dia sanggup cari rumah saya semata-mata rindukan saya. Katanya dua minggu dia tidak berhubung dengan saya kerana telefon bimbitnya disembunyikan oleh suaminya. Dia suruh saya bawa dia lari kerana dia tidak sanggup berpisah dengan saya. Saya nasihatkan dia, mana mungkin saya akan buat begitu, sedangkan saya ada keluarga dan dia juga sama, anak-anak masih perlukannya,” kata Meel bersungguh-sungguh.



Berpisah demi kebahagiaan


Kemudian dia berbincang dengan suaminya dengan harapan suaminya izinkan dia berkawan dengan Meel, tetapi suaminya tidak benarkan. Sampaikan satu ketika ahli keluarganya masuk campur dan bawa dia untuk mendapatkan rawatan kampung bagi memisahkan mereka berdua.



“Sampai macam tu sekali keluarganya cuba putuskan hubungan kami. Dia bagi tahu yang dia tidak dapat lupakan saya. Saya sebenarnya tak kisah walaupun dia tak nak berhubung dengan saya lagi. Sebab saya tahu dia ada suami dan anak-anak. Dia lebih berhak bersama keluarganya.



“Setiap kali suaminya tidak ada di rumah dia akan berusaha untuk berhubung dengan saya. Jika tak dapat keluar, dia akan telefon saya. Pernah terjadi, telefon bimbitnya rosak, jadi dia berhubung dengan saya melalui chatting. Lama-kelamaan saya sedar yang hubungan kami tidak boleh diteruskan lagi, lalu saya mengambil keputusan untuk berpisah saja dengannya demi kebahagiaannya juga. Sebulan selepas itu kami membawa haluan masing-masing dan kami tidak lagi berhubungan antara satu sama lain,” luah Meel.



Insiden diculik


Menurut Meel lagi disebabkan satu insiden yang telah dirancang oleh mamanya sendiri, akhirnya dia dibawa ke rumah bimbingan remaja di Rawang Selangor.



“Sebenarnya sudah lama mama ingin ‘merawat’ saya di pusat pemulihan akhlak, tapi tidak tahu cara untuk membawa saya ke sana. Akhirnya dia berpakat dengan pihak Perkid untuk menculik saya. Sebelum itu pun mama ada juga cuba ‘tarik’ saya masuk ke pusat pemulihan akhlak tetapi tidak berjaya.



“Pada masa kejadian, mama meminta saya menemaninya untuk membeli belah. Semasa dalam kereta, tiba-tiba datang tiga orang lelaki dan memperkenalkan diri mereka dari jabatan kebajikan masyarakat. Mereka minta saya keluar dari kereta kerana ingin berbincang sesuatu. Saya pandang mama tapi reaksi yang dia tunjukkan biasa sahaja, macam tiada apa-apa yang berlaku.

“Pada mulanya saya tidak mahu ikut mereka, tapi entah macam mana saya dipaksa masuk ke dalam teksi dan akhirnya dibawa ke Perkid Shah Alam. Bermulalah frasa baru kehidupan saya dari hari pertama menjejak kaki di sini hinggalah hampir enam bulan saya menetap di pusat ini,” ujar Meel yang hanya mengetahui mamanya turut berkomplot dalam insiden penculikannya selepas dua minggu dia bergelar pelatih di pusat ini yang terletak di Rawang ini.

Manfaat ilmu sebaiknya


Akui Meel, sewaktu mula-mula dibawa ke sini, jiwanya memberontak dan ingin lari dari tempat tersebut. Masakan tidak, dengan peraturan dan disiplin ketat yang mesti diikuti serta keadaan tempatnya yang terasing daripada orang ramai membuatkannya berasa bosan. Namun nasib baiklah mama dan daddy Meel banyak memberi kata-kata semangat untuknya terus bertahan dan seterusnya dapat membimbingnya ke landasan yang betul.

“Keluarga merupakan pemangkin semangat untuk saya berubah. Jika sebelum ini mereka banyak bersabar dengan sikap saya, InsyaAllah selepas saya keluar dari pusat ini saya akan menjaga kebajikan dan mentaati mereka. Saya sangat terharu dengan usaha mereka untuk melihat saya berubah ke arah yang lebih baik. Jasa yang mereka taburkan pada saya, tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Walaupun mereka hanyalah keluarga angkat tapi kasih sayang yang diberikan umpama anak kandung kesayangan mereka sendiri,” tutur Meel dengan nada sebak.

“Alhamdulillah, sejak saya berada di sini banyak ilmu bermanfaat yang saya peroleh. Di sini kami menjalani kehidupan secara teratur, berdisiplin dan ada kerjasama secara berpasukan. Jadi setiap kerja yang kami lakukan dapat dijalankan dengan bersistematik. Dari segi keagamaan pula, bacaan al-Quran saya juga semakin lancar dan jelas. Malah saya juga mampu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai umat Islam dengan sebaiknya. Harapan saya ialah agar saya mempunyai kekuatan untuk menempuhi cabaran dunia selepas keluar dari pusat ini dan dapat menyambung kembali pengajian yang tertangguh. Doa-doakan ye,” akhiri Meel dengan senyuman manis.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

7-2-2025 06:55 PM GMT+8 , Processed in 0.066015 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list