Edited by mbhcsf at 6-1-2019 10:50 AM
Jawapan Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Maksud al-Masih pada Nabi Isa AS Allah SWT berfirman: إِذْ قَالَتِ الْمَلَائِكَةُ يَا مَرْيَمُ إِنَّ اللَّـهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِّنْهُ اسْمُهُ الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ وَجِيهًا فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمِنَ الْمُقَرَّبِينَ Maksudnya: (Ingatlah) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah). (Surah Ali Imran: 45)
Ibn Kathir dalam mentafsirkan firman Allah SWT: “اسْمُهُ الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ” (nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam),menjelaskan maksudnya nama tersebut masyhur di dunia dan dikenal oleh orang-orang yang beriman. Dinamakan al-Masih, menurut sebahagian ulama salaf kerana Baginda AS banyak melakukan perjalanan. Ada juga yang berkata, kerana Baginda mempunyai tapak kaki yang rata tidak berlekuk. Dikatakan juga, kerana jika Baginda mengusap seseorang yang menghidapi penyakit kronik, maka dengan izin Allah orang tersebut akan sembuh. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/60)
Ibn Manzur dalam kitabnya Lisan al-‘Arab berkata:
وَقِيلَ: سُمِّيَ بِهِ لأَنه كَانَ سَائِحًا فِي الأَرض لَا يَسْتَقِرُّ،
Dinamakan Nabi Isa AS dengan al-Masih kerana Baginda banyak mengembara di atas muka bumi serta Baginda tidak menetap pada satu tempat. (Lihat Lisan al-‘Arab, 2/593)
Dalam pendapat lain disebut: سُمِّيَ بِذَلِكَ لأَنه كَانَ يَمْسَحُ بِيَدِهِ عَلَى الْعَلِيلِ والأَكمه والأَبرص فَيُبْرِئُهُ بإِذن اللَّهِ؛ Nabi Isa AS disebut dengan al-Masih kerana Baginda mengusap dengan tangannya pada orang yang sakit, orang yang buta sejak lahir, orang yang menderita sakit kusta, kemudian mereka sembuh dengan izin Allah SWT. (Lihat Lisan al-‘Arab, 2/593)
|