Edited by mbhcsf at 17-2-2019 02:14 PM
Oleh Zaini Hassan
SUDAH banyak saya menulis mengenai hal ehwal antara kaum dan antara etnik di negara ini, termasuk soal hak-hak pendidikan anak Siam di Malaysia atau Orang Asli yang berada dalam strata teratas Perlembagaan negara. Mahupun kaum Cina yang sudah mempunyai segala-galanya berbanding dengan kaum etnik yang lain di negara tercinta ini. Kaum Siam kini sedang berjuang untuk mendapatkan status bumiputera. Saya tidak pasti, apa kedudukannya sekarang. Tetapi di Kedah memang sudah wujud cawangan- cawangan UMNO di kampung-kampung Siam. Dalam Perlembagaan pun ada mentafsir mengenai maksud Melayu yang kemudiannya membawa kepada status bumiputera. Ada antara rakan-rakan saya kaum Cina yang berkahwin dengan lelaki atau wanita Melayu Islam, maka anak-anaknya mendapat segala-gala kemudahan seperti orang Melayu yang lain. Dalam Perlembagaan Persekutuan di dalam Perkara 160 telah mendefinisikan orang Melayu sebagai seseorang yang menganuti agama Islam bertutur dalam bahasa Melayu menurut adat istiadat Melayu (a) lahir sebelum hari merdeka di Persekutuan atau di Singapura atau ibu bapa telah lahir di Persekutuan atau di Singapura pada hari merdeka dan menetap di Persekutuan dan di Singapura, (b) atau ia adalah keturunan seseorang tersebut. Ia adalah agak jelas penafsiran ini terdapat dua aspek kemelayuan yang di anggap penting oleh Perlembagaan. Yang pertama ialah ciri bahasa, agama dan budaya dan yang keduanya ialah dari aspek geografi. Maka dengan ini jelaslah jika seseorang mempunyai ciri yang pertama tetapi tidak mempunyai kaitan dengan negara ini maka dia bukanlah Melayu dalam konteks Perlembagaan. Misalan orang yang berasal dari Indonesia atau Brunei mempunyai ciri yang pertama sahaja bukanlah orang Melayu yang difahami oleh Perlembagaan kerana kedua- dua buah negara bukan anggota persekutuan. Oleh itu pertalian geografi adalah sangat penting kerana ia melibatkan pelbagai hak dan keistimewaan orang Melayu yang layak dinikmati oleh orang Melayu yang dijamin oleh perlembagaan. ? Sekarang kita tafsir pula dari segi Perlembagaan di atas itu sekumpulan masyarakat dalam negara ini yang beragama Islam dan rata-rata sudah berasimilasi dalam masyarakat Melayu, namun mereka masih dalam kedudukan terumbang-ambing.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130814/re_03/Nasib-Malabari-Malaysia-semakin-dipinggirkan#ixzz5flZvCZC7
© Utusan Melayu (M) Bhd |