Konsep adab mampu selesai masalah dunia Islam sejagat
pautan asal:
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2019/06/577736/konsep-adab-mampu-selesai-masalah-dunia-islam-sejagat?fbclid=IwAR1RW3jT3rfVFu_pIlbyKWYc-XnstHPwJqUZ8yH_1OGHK07HUUZ2YAl-9KE
Tradisi Islam menggelarkan tokoh ‘pembaharuan’ sebagai mujaddid dan mujtahid. Gelaran itu bagaimanapun adalah pengiktirafan kepada kepakaran mereka, namun ia tidak bermaksud golongan ini mengubah hukum dan prinsip Islam sedia ada, sebaliknya melakukan modifikasi untuk memperkukuh ajaran agama selari dengan kandungan al-Quran dan hadis. Ia antara lain bagi membantu umat Islam menghadapi pelbagai isu termasuk salah faham, manipulasi, kekeliruan dan gejala ekstremisme yang berlaku dengan melihat kesesuaiannya mengikut konteks serta keadaan semasa. Bagaimanapun, tokoh seperti itu sebenarnya sukar dilahirkan dalam mana-mana tamadun dan kebudayaan termasuk dalam dunia Islam kontemporari. Antara tokoh yang tidak dapat disangkal lagi kewibawaan, pemikiran dan integritinya adalah ilmuwan terkemuka, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dengan sumbangannya dalam pelbagai bidang termasuk metafizik, falsafah sains dan pendidikan, perbandingan agama, sastera, sejarah dan kebudayaan. Penyandang Kerusi Pemikiran Islam Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, berkata, Syed Muhammad Naquib al-Attas antara tokoh mapan dalam dunia Islam dengan segala idea dan kaedah yang diperkenalkannya didasari tradisi keilmuwan Islam sejak zaman-berzaman. “Seorang reformis sejati secara jelasnya adalah individu yang mempunyai pencapaian membanggakan dalam keintelektualannya. “Selain itu, tokoh itu perlu berwawasan dan sentiasa mempertahankan idea atau pandangan walaupun berada dalam suasana intelektual dan persekitaran budaya yang tidak sebati dengannya. “Justeru, tidak ada keraguan untuk menamakan Prof al-Attas sebagai reformis berasaskan penelitian ilmiah juga pemerhatian saya yang bekerja secara profesional serta peribadi bersama dengan beliau,” katanya dalam Siri Syarahan Malam Sabtu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur. Pada acara itu juga, turut diadakan Majlis Penamaan Semula CASIS kepada Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofia (RZS-CASIS) yang disempurnakan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah. Tegas Wan Mohd Nor, antara idea utama dan paling penting diketengahkan Prof al-Attas adalah konsep adab melalui pelbagai dimensi yang ditawarkannya kepada pemikiran moden Islam.
|