Pada Mac 2003, FBI telah menahan seorang investor yang juga merupakan seorang trader berumur 44 tahun. Beliau yang di maksudkan ialah Andrew Carlssin yang juga dikenali sebagai The Wall Street Wizard. Beliau didakwa kerana melakukan kesalahan aktiviti insider trading.
Kisah kejayaan beliau tidak dapat dirungkai sama ada melalui kajian atau fakta yang boleh diterima dengan akal logik. Bayangkan dengan hanya bermodalkan hanya $800, beliau telah mengaut keuntungan sebanyak 437,500% iaitu bersamaan lebih $350 juta USD dalam masa bukan 10 atau 20 tahun, tetapi dalam 2 minggu sahaja.
Kebijaksanaan beliau telah menarik perhatian pihak penguasa hingga menyebabkan beliau terpaksa ditahan oleh FBI.
Semasa proses siasatan dijalankan, beliau telah mengejutkan dan mengelirukan FBI dengan kenyataan yang tidak masuk akal. Beliau mendakwa bahawasanya beliau tidak melakukan aktiviti insider trading untuk mengaut keuntungan tersebut, tetapi mengaku bahawa 126 High-Risk Trade yang dilakukan adalah berdasarkan pada pengetahuan beliau kerana dia berasal daripada masa depan. Lebih mengejutkan, apabila beliau mengaku berasal dari tahun 2256.
Setiap trade yang dilakukan oleh beliau sangat menakjubkan kerana kesemua trade beliau tepat mengenai sasaran, malah beliau melakukan Entry ketika harga saham tersebut berada di kedudukan yang paling rendah. Lebih pelik apabila selepas entry yang dilakukan oleh beliau, harga saham tersebut akan melonjak naik secara tiba-tiba.
Bersandarkan kepada cerita time travel, beliau mengetahui semua maklumat untuk berjaya dalam perdagangan saham. Memetik kata-kata beliau semasa rakaman bual bicara dengan FBI, ‘Saya sepatutnya melakukan trading tersebut kelihatan seperti semula jadi yang mana saya mesti melakukan sedikit loss dan bukannya memperlihatkan tindakan saya 100% sempurna. Ini untuk mengelakkan saya daripada dikenal pasti berasal dari masa hadapan’.
Selain daripada itu, beliau juga turut menceritakan apa yang terjadi kepada Osama Bin Laden dan bagaimana HIV AIDS boleh diubati. Selepas melakukan pengakuan jalan cerita sebenar tentang kejayaan beliau dalam dunia saham, beliau meminta untuk dilepaskan untuk kembali semula ke mesin masa beliau.
Walaupun telah didesak oleh FBI untuk menyatakan lokasi mesin masa tersebut, beliau hanya diam seribu bahasa dan tidak mengendahkan permintaan tersebut. Ini kerana beliau khuatir teknologi yang beliau ada akan jatuh kepada orang yang tidak sepatutnya.
Beliau telah lenyap sepenuhnya dan tiada sesiapa pun dapat menjejaki beliau. Malah, cap jari bukti beliau melarikan diri juga lesap. Beliau telah lenyap bersama dengan wang sebanyak $1,000,000 USD pada 4 April 2003. Begitu juga dengan misteri individu yang bertanggungjawab melepaskan beliau daripada tahanan penjara. Sehingga hari ini, tidak dapat dikenal pasti individu yang terlibat.