Menara air terbiar diubah suai menjadi kediaman. FOTO René de Wit
Amsterdam: Dua bersaudara yang berjaya mengubah suai menara air terbiar sejak 1915 di Niew-Lekkerland, kepada kediaman berkonsep industri dan sentuhan desa dinobat penerima Anugerah Menara Air 2020 Belanda.
Sven dan Lennart de Jong membesar di kawasan bersebelahan menara tua itu, 10 tahun lalu dan sering bermain di situ sehinggalah mereka dimaklumkan bangunan berkenaan akan dilelong dan mencuba nasib sebelum berjaya membidanya pada harga 200,000 euro (RM986,479.12).
Ketika membeli menara itu, dua lelaki itu belum berkahwin dan merealisasikan impian menjadikan menara terbabit kediaman yang selesa untuk membesarkan anak mereka kelak.
Menurut laporan Oddity Central, mereka menghabiskan masa selepas waktu kerja untuk melakukan pengubahsuaian menara berketinggian enam meter dan tiga tingkat itu, malah melakukannya semuanya sendiri hingga ia menjadi dua rumah yang mempunyai lima tingkat kecil.
Mereka masing-masing mengambil dua tingkat dan berkongsi laman di tingkat bawah. Bagaimanapun terdapat banyak ruang boleh diubah suai lagi termasuk tangki air di puncak menara yang boleh menjadi rumah ketiga.
Tidak termasuk kawasan rata di bumbung, yang mana mereka merancang untuk menjadikannya teres indah.
Sebaik bertemu pasangan masing-masing, kedua-dua mereka terus berusaha melengkapkan kediaman impian dan Lennart serta isternya, Arianne berpindah ke bangunan itu ketika hamil sebagai persiapan menyambut anak mereka di situ.
Lennart juga menyewa kren memetik buah ceri untuk membolehkan isterinya yang sarat memasuki rumah mereka menerusi tingkap di tingkat atas kerana tidak mampu menaiki tangga. |