Walaupun munasabah untuk kerajaan-kerajaan hari ini menumpukan kepada soal pemulihan ekonomi dan mengatasi wabak yang sedang melanda, adalah membimbangkan sekiranya para penggubal dasar dan pemimpin pelbagai bidang umumnya tidak mengendahkan keperluan generasi masa akan datang serta soal hala tuju peradaban kita yang bersifat jangka masa panjang.
Seperti yang pernah disebut oleh pemikir besar tamadun China, Kung Fu-Tse (Confucius): “Sekiranya seseorang itu tidak mengendah tentang perkara pada masa depan, dia akan merasai kesengsaraan dengan lebih dekat. (“If a man takes no thought about what is distant, he will find sorrow near at hand”).
Di Barat sendiri terdapat usaha-usaha yang tidak membataskan soal berfikiran jauh dalam kerangka Matlamat Pembangunan Lestari 2030 (Sustainable Development Goals 2030) yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seperti Future of Humanity Institute di Universiti Oxford, Centre for the Study of Existential Risk di Universiti Cambridge, Future of Life Institute, Foresight Institute, Foundational Questions Institute, dan lain-lain yang mengkaji persoalan-persoalan besar yang sedang atau akan dihadapi oleh peradaban manusia.
Kemungkinan besar jutaan US dollar telah pun dilaburkan oleh pihak-pihak tertentu untuk memajukan pandangan hidup dengan suatu agenda peradaban yang meminggirkan soal ketertiban alam, soal keluhuran budi, soal kesejahteraan rohani mahupun soal Pencipta Sekalian Alam dalam perkiraan mereka. Tentu sekali perkiraan entiti-entiti seperti ini tidak mengendahkan bahawa agama Islam serta golongan terpelajar dalam kalangan mereka yang berilmu dan arif mempunyai cara pandangnya yang tersendiri dari sudut soal hakikat alam (cosmology), hakikat insan (psychology), hakikat ilmu (epistemology) dan hakikat kewujudan (ontology).
|