CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1624|Reply: 0

Matlamat Puasa Adalah Takwa Bukan Sekadar Lapar Dan Dahaga

[Copy link]
Post time 18-2-2021 04:29 PM | Show all posts |Read mode
Matlamat Puasa Adalah Takwa Bukan Sekadar Lapar Dan Dahaga

Info Agama. Puasa atau Siyam dalam bahasa Arab dari segi bahasa bererti menahan diri. Hubungkait antara istilah bahasa dan istilah Syarak sangat dekat kerana perkataan Siyam dalam istilah Syarak membawa maksud menahan diri dari segala perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar Sadiq sehingga terbenam matahari dengan niat kerana ALLAH SWT.'




Sering kita terlepas pandang bahawa tujuan utama puasa itu hakikatnya bukan sekadar menahan dari makan minum semata-mata. Kalau kita lihat ayat Al-Quran yang menjadi asas kepada pensyariatan puasa Ramadan, ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan (diwajibkan) ke atas kamu puasa seperti mana telah difardhukan ke atas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah, 2: 183)

Walaupun ayat ini menyebut puasa secara umum, tetapi para Ulama mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah puasa Ramadan secara khasnya.

Dosa, Lagha Dan Rafats Ketika Puasa

Matlamat di sebalik puasa Ramadan telah disebut dalam ayat Al-Quran tadi iaitu semoga kamu bertakwa, sekaligus menunjukkan bahawa matlamat utamanya bukan lapar dahaga. Hal ini turut dijelaskan dalam hadis-hadis Nabi SAW, antaranya Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan beramal dengannya serta berbuat maksiat, maka Allah tidak berhajat untuk dia meninggalkan makan dan minumnya. (Riwayat Al-Bukhari)

Rasulullah menjelaskan bahawa tidak ada keperluan di sisi Allah untuk seseorang yang berdusta dan melakukan amalan dusta untuk dia meninggalkan makan dan minumnya. Hadis ini menggambarkan hakikat dan realiti puasa.

Para ulama membahagikan perkara yang perlu ditinggalkan ketika puasa kepada dua kategori; Pertama: Perkara zahir yang perlu ditinggalkan ketika puasa. Perkara zahir ini telah banyak dijelaskan dalam buku-buku fekah; seperti makan, minum, jima’, muntah dengan sengaja, ini semua jelas akan membatalkan atau merosakkan puasa seseorang jika tidak ditinggalkan.

Kedua: Perkara maknawi. Ini yang hendak ditekankan iaitu adanya perkara maknawi atau batin yang juga perlu ditinggalkan kerana tidak kurang pentingnya. Dalam banyak hadis sahih, dijelaskan bahawa tidak ada guna puasa seseorang yang tetap melakukan perkara-perkara ini.

Nabi SAW bersabda: “Bukanlah puasa itu hanya dengan menahan dari makan dan minum, tetapi sesungguhnya puasa itu adalah dengan meninggalkan perbuatan Lagha dan Rafats. Sekiranya seseorang mencemuh kamu atau berbuat bodoh terhadapmu, maka katakanlah: “Sungguh aku sedang berpuasa.” (Sahih. Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Lihat, Rasulullah menafikan bahawa puasa itu dengan hanya menahan makan dan minum. Bererti itu bukan maksud dan tujuan ibadah puasa. Di samping menahan makan dan minum, Rasulullah SAW mengatakan bahawa puasa adalah dengan meninggalkan Lagha dan Rafats.

Rafats adalah perbuatan keji yang menjurus kepada lucah dan segala muqaddimah zina; seperti zina mata, telinga, mulut, sentuhan, kaki, hati, itu semua termasuk dalam erti kata Rafats.

Bahkan Rasulullah menambah, “Sekiranya seseorang mencemuh kamu atau berbuat bodoh terhadapmu, maka katakanlah: “Sungguh aku sedang berpuasa.”” Ini menunjukkan bahawa kalau kita membalas cemuhan itu, ia akan merosakkan puasa kita. Walaupun kita melihat seolah-olah adil jika seseorang mengatakan kita bodoh, lalu kita mengatakan dia bodoh. Tetapi tidak, di dalam puasa, kita disuruh menahan diri. Menahan diri yang dikehendaki ketika puasa bukan sahaja dari makan, minum, jima’ dan sebagainya, tetapi lebih luas dari itu di mana kita disuruh menahan diri dari perbuatan keji bahkan dari perbuatan-perbuatan Lagha.

Lagha adalah perbuatan yang tidak berfaedah, melakukannya tidak berdosa, tetapi tidak menambah pahala. Walaupun tidak berdosa, tetap disuruh supaya kita meninggalkannya ketika berpuasa. Adapun lawan kepada lagha adalah zuhud dan wara’. Kita disuruh untuk bersifat dengan dua sifat ini ketika puasa. Walaupun secara amnya kita dituntut bersifat zuhud, tetapi kita lebih dituntut bersikap zuhud ketika puasa secara khasnya.

Zuhud ialah “meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat di Akhirat” yakni perkara yang tidak berguna untuk dirinya di Akhirat nanti, walaupun ianya tidak berdosa. Berbeza dengan wara’ yang bererti “meninggalkan perkara-perkara yang boleh memudaratkan di Akhirat”. Maka ketika puasa kita bukan sahaja disuruh meninggalkan perbuatan haram dan melaksanakan yang wajib. Itu benda yang pasti. Lebih dari itu, kita disuruh bersikap zuhud dan wara’.

Bandingan Puasa Dengan Ibadah Lain





Jika seseorang itu solat, kita nampak dia melakukan solat. Jika dia bersedekah, menolong orang, haji, kita nampak dia berbuat sesuatu. Uniknya puasa, kita tidak nampak seseorang itu sedang berpuasa. Ketika puasa, kita disuruh supaya jangan buat; Jangan buat dosa, dan jangan buat lagha. Dengan kedua-dua larangan ini (dosa dan lagha), niat dan tujuannya adalah untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT dan menambah ketakwaan kepada ALLAH.

Begitu juga niat dan tujuan ketika solat. Apa tujuan di sebalik solat? Ada yang melihat bahawa tujuannya adalah untuk melunaskan tanggungjawab. Yang penting solat. Takbir, ruku’, i’tidal, sujud, duduk antara dua sujud, tasyahhud, beri salam. Selesai solat. Kalau begitulah keadaannya, maka jangan hairan mengapa ramai yang tertanya-tanya dengan firman ALLAH: “Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan munkar.” (Surah Al-Ankabut: 45)

Ini kerana ramai orang yang solat bahkan berjemaah di masjid lima kali sehari tetapi dia tetap melakukan perbuatan keji dan munkar. Dia tetap berbuat dosa. Jangan lihat orang lain. Ambil cermin, tengok diri sendiri. Bandingkan solat kita dengan sejauh mana ia menghindarkan kita dari perbuatan keji dan juga kemungkaran.

Dalam hadis sahih riwayat Ammar bin Yasir ra., Nabi SAW bersabda: “Seorang hamba akan solat tetapi tidak tertulis pahala buatnya kecuali satu persepuluh, satu persembilan, satu perlapan, satu pertujuh, satu perenam, satu perlima, satu perempat, satu pertiga atau satu perdua (dari pahala solat).” (Sahih. Sifat Al-Salat Imam Al-Albani)

Rasulullah berhenti pada satu perdua. Rasulullah tidak meneruskan “atau dia mendapat pahala yang penuh.” Apabila para ulama mensyarahkan hadis ini, timbul persoalan; mengapa Rasulullah berhenti pada satu perdua?

Para ulama mengatakan bahawa inilah hakikat solat. Barangkali seorang itu ketika solat telah melengkapkan syarat-syaratnya; menutup aurat, berwuduk, memastikan tempat dan pakaian bersih dari najis. Dia melengkapkan rukun-rukunnya; niat, takbiratul ihram, membaca Al-Fatihah, ruku’ dan seterusnya sehingga memberi salam. Begitu juga dia meninggalkan perkara-perkara yang boleh membatalkan solat seperti bercakap, makan, dan sebagainya. Maka akhirnya lengkap syarat-syarat, rukun-rukun, dan dia meninggalkan sepenuhnya perkara yang membatalkan solat.

Walaubagaimana pun, realiti solat lebih dari melaksanakan semua itu. Seseorang itu bukan sahaja dituntut memenuhi kewajipan zahir, tetapi dia juga perlu melaksanakan kewajipan-kewajipan batin atau maknawi, misalnya mengikhlaskan niat sepenuhnya untuk Allah SWT, bukan kerana orang melihat, orang menyuruh, atau sebagainya.

Di samping ikhlas, dia juga perlu memastikan khusyuknya. Adapun niat, ikhlas dan khusyuk itu memang sangat sukar. Tidak hairanlah mengapa Rasulullah mengatakan bahawa seseorang itu boleh jadi mendapat 1/10 dan yang paling bagus hanya 1/2. Dalam ertikata lain, mendapat setengah pahala dari keseluruhan pahala solat sudah dikira bagus. Betapa sukarnya mendapatkan lebih dari setengah, apatah lagi sepenuhnya.

Jika hendak membayangkan betapa sukarnya, lihat pada ikhlas dan khusyuk. Betapa sukarnya untuk khusyuk. Kita takbir sahaja, secara tidak sengaja kita teringat benda-benda yang kita lupa. Sebab itu ada ulama mengatakan bahawa kalau kita lupa sesuatu, tidak ingat di mana kita meletakkan barang, pergi solat. Akan datanglah bisikan-bisikan syaitan yang mengingatkan di mana kita meletakkan barang itu. Ini kerana syaitan memang memainkan peranannya sepertimana disebut dalam hadis:

“Apabila dikumandangkan azan, syaitan berpaling sambil kentut hingga dia tidak mendengar azan tersebut. Apabila azan selesai dia pun datang kembali. Apabila iqamat, syaitan berpaling lagi. Apabila iqamah selesai, syaitan pun datang kembali, dia akan melintas di antara seseorang (yang solat) dan nafsunya. Syaitan berkata, “Ingatlah itu, ingatlah itu” untuk sesuatu yang sebelumnya dia tidak ingat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka perlu untuk kita menjaga tujuan di sebalik solat dan puasa dengan melaksanakannya sepertimana tuntutan Syarak. Jika dalam solat kita perlu menjaga ikhlas dan khusyuk, maka dalam puasa juga kita perlu menjaga keikhlasan di samping menjauhi segala perbuatan dosa dan lagha. Kita khuatir terjadi ke atas diri kita seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: “Barangkali seorang yang puasanya hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja. Dan barangkali seorang yang mengerjakan qiyamullail hanya mendapat berjaga malam.” (Sahih. Riwayat Ibnu Majah)

Rasulullah mengatakan dia berpuasa tetapi mendapat lapar dan dahaga sahaja. Bererti pahalanya tidak ada. Secara zahir puasanya sah, tetapi di sisi Allah tidak ada nilainya yakni tidak sah di sisi Allah kerana dia tidak melaksanakannya seperti yang sepatutnya. Rasulullah seterusnya mengatakan, “Barangkali seorang yang mengerjakan qiyamullail (solat malam) tetapi yang dia dapat hanya berjaga malam” yakni bersengkang mata. Sudahlah tidak dapat tidur, pahala pun tidak dapat. Na’udzubillah.

Maka setelah kita berusaha meninggalkan perbuatan dosa dan lagha, kita juga dituntut ketika berbuka puasa membaca doa: “Dzahaba al-dzama-u wabtallatil ‘uruuqu wa tsabata al-ajru insya-Allah (Telah pergi dahaga, dan telah basah urat-urat dan telah kekal pahala, insyaAllah)”. (Sahih Abi Daud)

Adapun doa yang biasa dibaca oleh masyarakat “Allahumma laka sumtu wabika aamantu wa ‘ala rizqika afthartu…” doa ini adalah riwayat yang dhaif. Sewajarnya kita mengamalkan doa yang sahih yang diajarkan oleh Nabi kepada kita.

Maka akhirnya ketika berbuka puasa kita membaca doa berbuka yang maksudnya “Telah pergi dahaga, dan telah basah urat-urat dan telah kekal pahala, insyaAllah.” Kita tidak mahu apabila berbuka, lapar dan dahaga hilang dengan pahala-pahalanya juga hilang.” Jangan. Kita mahu lapar dan dahaga hilang, tetapi pahala itu kekal, insyaAllah.

Penulis adalah Pegawai Penyelidik di Kedutaan Arab Saudi merangkap Ahli Majlis Syura Ilmu.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-12-2024 02:35 PM GMT+8 , Processed in 0.057601 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list