View: 1620|Reply: 1
|
5 Mitos Klasik Tentang Kesihatan Yang Masih Ramai Orang Percaya
[Copy link]
|
|
5 Mitos Klasik Tentang Kesihatan Yang Masih Ramai Orang Percaya
Dalam zaman maklumat, perkongsian maklumat berlaku dengan begitu mudah sehinggakan semakin sukar untuk kita mengenalpasti yang mana benar dan yang mana palsu.
Tetapi bagi mereka yang rajin memeriksa, agak senang untuk kita menyemak sendiri kebenaran berkenaan dakwaan-dakwaan yang dibuat disebabkan oleh kemudahan teknologi sendiri.
Namun demikian, sehingga kini masih wujud beberapa mitos berkait dengan kesihatan yang dipercayai orang ramai secara berleluasa walaupun banyak pihak cuba menjelaskannya.
1. Kita perlu minum 8 gelas air sehari
Mitos ini dimulakan sekitar tahun 1945, apabila satu penerbitan menyatakan cadangan kepada orang ramai untuk minum 2.5 liter air sehari. Jika tidak berkemampuan, minumlah 8 gelas air.
Pendapat itu dmulakan kekeliruan saranan Food and Nutrition Board of the National Research Council Amerika Syarikat, yang mengesyorkan orang ramai minum 1 mililiter air untuk setiap 1 kalori makanan.
Pandangan itu dipopularkan lagi oleh seorang pakar pemakanan terkenal Amerika Syarikat bernama Fredrick J. Stare, yang menasihatkan orang ramai untuk minum apa saja jenis minuman tak kiralah kopi, teh atau air berkarbonat sekalipun – asalkan cukup 6 ke 8 gelas dalam tempoh 24 jam.
Pendapat yang diutarakan Stare itu bagaimanapun tiada asasnya, kerana dia hanya menyatakan pandangan peribadi. Kajian telah menunjukkan tidak ada angka tepat untuk anda perlu minum. Semuanya bergantung kepada tubuh anda. Bila anda rasa dahaga, minum lah air.
2. Mencukur akan menyebabkan bulu tubuh tumbuh lebih cepat
Semasa muda, penulis dan kawan-kawan penulis ramai yang mengidamkan nak janggut lebat dan tebal. Jadi di antara kami, ramailah yang hari-hari bercukur kerana kami percaya perbuatan itu akan mempercepatkan pertumbuhannya.
Realitinya, kajian yang telah dijalankan sejak tahun 1928 lagi telah membuktikan tidak ada hubungan di antara kekerapan mencukur dengan kadar pertumbuhannya.
Setiap kali kita mencukur, apa yang kita buat adalah kita memotong bahagian bulu yang telah pun mati sementara bahagian folikel kulit yang menghasilkan bulu tersebut tidak terkesan dengannya.
3. Penggunaan peranti elektronik dalam hospital berisiko tinggi
Peranti elektronik seperti telefon seringkali dipersalahkan sebagai punca boleh berlakunya kejadian-kejadian tak diingini, apabila telefon tersebut berada berdekatan alat elektronik lain khasnya di hospital.
Terdapat beberapa laporan kes menyebut bahawa telefon mampu mengakibatkan perubahan kepada bacaan peralatan perubatan yang digunakan. Selain itu satu laporan menyebut tentang peralatan perubatan yang bertindak sendiri, tanpa campur tangan manusia.
Hakikatnya memang ada kejadian sebegitu benar-benar berlaku tetapi berdasarkan kajian yang telah dijalankan, peluang untuk perkara sebegitu berlaku adalah sangat tipis.
Pemahaman kita berkenaan tahap keselamatan gelombang telefon serta kemajuan teknologi gelombang telahpun meyakinkan banyak hospital untuk melonggarkan syarat penggunaan mereka. Hanya beberapa lokasi seperti unit rawatan rapi masih kekal dengan syarat serupa.
Sekiranya tatacara penggunaan telefon biasa diamalkan, sepatutnya tidak menimbulkan masalah kepada mesin perubatan yang ada. Bagaimanapun seandainya larangan dibuat agar tidak ada rakaman-rakaman video atau gambar tak senonoh berlaku di hospital, penulis bersetuju 100%.
4. Gula menyebabkan hiperaktiviti pada kanak-kanak
Salah satu penjelasan yang seringkali disebut ibu bapa berkaitan perangai anak mereka yang terlompat-lompat ke sana ke mari, adalah disebabkan pemakanan gula yang berlebihan.
Kajian yang dijalankan pada tahun 1995 oleh sekumpulan penyelidik menyimpulkan bahawa gula sebenarnya tidak memberikan kesan kepada keupayaan kognitif seorang kanak-kanak, sebaliknya menyifatkan kaitan gula dan tingkah laku kanak-kanak berpunca daripada persepsi ibu bapa sendiri yang meyakininya.
Dalam kajian lebih baru di Australia pada tahun 2017, didapati majoriti kanak-kanak di negara itu memang mengalami masalah pengambilan gula berlebihan melebihi tahap yang disyorkan namun gula didapati tidak memberi kesan kepada perangai mereka.
5. Baca dalam gelap rosakkan mata
Mesti ramai yang percaya dengan mitos ini kan? Mitos ini sangat popular kerana kita semua nampak logiknya, apatah lagi apabila membaca dalam gelap – mata kita akan mudah rasa sakit.
Memang benar membaca dalam suasana tidak cukup cahaya akan menyebabkan fenomena ketidak selesaan pada mata. Kita juga akan lebih kerap mengelipkan mata yang jadi lebih mudah kering, disebabkan oleh kesukaran mata untuk fokus.
Semua itu memang akan berlaku – tetapi hanya untuk sementara, tidak bersifat kekal.
Rasa sakit yang dialami mata akibat daripada usaha untuk membaca dalam gelap, akan hilang selepas kita merehatkan mata tanpa memberikan sebarang kesan jangka masa panjang kepada kita.
Walaupun ada pendapat pakar perubatan menyokong teori kerosakan mata disebabkan oleh pembacaan dalam gelap, pendapat tersebut tergolong dalam kumpulan minoriti. Majoriti pakar mata menyifatkan individu yang sering melakukan kerja-kerja yang memerlukan fokus mata dalam jarak dekat jauh lebih berisiko untuk menghidap rabun dekat.
Pencahayaan penting bagi memudahkan kita membaca kerana mengurangkan keperluan mata untuk fokus, namun sekiranya perlu anda tidak perlu risau akibatnya.
Rujukan
Five Myths About Drinking Water
Does sugar make kids hyper? That’s largely a myth
Is Reading In The Dark Bad For Your Eyes?
|
|
|
|
|
|
|
|
1-4 tu memang selalu dengar...ingat yg spital tu betul
No. 5 memang x setuju...saya suka baca lampu suram @ dlm gelap...setkt ni mata helok je... |
|
|
|
|
|
|
| |
|