|
Padang becak jejas prestasi Sabah

KEADAAN padang yang becak menjejaskan aksi kedua-dua pasukan. FOTO Mohd Adam Arinin
Kota Kinabalu: Walaupun tewas 0-1 kepada Kedah Darul Aman (KDA) dalam aksi Liga Super di Stadium Likas semalam, Ketua Jurulatih Sabah Football Club (FC) Kurniawan Dwi Yulianto tetap menghargai kerja keras yang dipamerkan anak didiknya.
Katanya, keadaan padang yang becak akibat hujan lebat memberi kesan kepada corak permainan mereka sehingga gagal beraksi seperti yang dirancang sebelum ini.
''Saya menghargai kerja keras pemain kerana memang diakui sangat sukar sekali beraksi di padang yang agak becak selain ia diberhentikan dan kemudian bermain semula, memang sukar.
''Selain itu, saya juga tidak menafikan jadual yang padat juga memberi kesan kepada pemain,'' katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.
Kurniawan berkata, walaupun terpaksa beraksi di padang yang becak, namun ia bukanlah alasan kepada Sabah FC kerana Kedah juga menghadapi situasi sama.
''Mengenai keputusan, memang saya kecewa kerana kita kalah dan banyak yang perlu kita perbaiki lagi, lebih-lebih lagi gol lawan berpunca dari kesilapan kita.
''Bagaimanpun, saya tidaklah menyalahkan pemain 100 peratus kerana bola itu melantun dan agak sukar dihalang oleh pemain kita tetapi itulah bola sepak, kadang-kadang sesuatu yang mustahil pun boleh menghasilkan gol,'' katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai prestasi penyerang import baharu mereka, Josip Ivansic, Kurniawan berkata masih terlalu awal untuk menghakimi pemain itu lebih-lebih lagi dia membuat penampilan di perlawanan yang agak sukar dengan padang yang becak.
''Kita tidak boleh 'ukur' kemampuan dia menerusi perlawanan ini kerana pergerakan bola pun sukar akibat padang ditakungi air tetapi dalam latihan sebelum ini, kami melihat dia mampu adaptasi corak permainan pasukan.
''Kami juga harap dengan saingan liga yang berehat panjang, kami akan dapat memperbaiki persembahan kami serta mengatasi kelemahan yang ada,'' katanya.
Dalam pada itu, pengendali KDA, Aidil Sharin Sahak gembira kerana berjaya mengutip mata maksimum di Likas kerana beliau berpendapat Sabah FC sebuah pasukan yang baik, lebih-lebih lagi ketika beraksi di gelanggang sendiri.
''Syukur, saya mahu berterima kasih kepada pemain yang memberikan mata penuh, bukan senang datang ke sini bertemu Sabah FC kerana mereka pasukan yang bagus, sangat fizikal dan mempunyai jurulatih yang bagus," katanya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|