Roglic rangkul emas ujian masa individu
Tokyo: Pelumba basikal Slovenia, Primoz Roglic melupakan mimpi ngeri di Tour de France (TdF) apabila memenangi pingat emas acara ujian masa individu lelaki di Tokyo 2020, hari ini. Pelumba berusia 31 tahun itu terjatuh ketika ujian masa individu di TdF tahun lalu dan terlepas jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan kepada rakan senegaranya, Tadej Pogacar dan tahun ini, kemalangan sekali lagi menjejaskan harapannya. Tetapi hari ini, Roglic melengkapkan laluan sejauh 44.2 kilometer dengan bergaya berhampiran Gunung Fuji dan mencatatkan 55 minit 4 saat, hanya satu minit di depan pelumba Belanda, Tom Dumoulin. Pingat perak itu sudah memadai buat Dumoulin, yang berehat seketika daripada sukan ini pada awal tahun ini untuk melindungi kesihatan mentalnya. "Saya terlebih latihan ketika musim sejuk dan moral saya agak menurun," kata juara Giro d'Italia pada 2017 itu. "Saya berehat selama sebulan dan kemudian merasakan masih sayangkan basikal saya dan mahu terus 'menderita' di atas basikal. "Saya masih berminat memburu impian besar dalam lumba basikal profesional dan memutuskan untuk kembali berlumba terutama bagi acara hari ini." Dumoulin dan Roglic adalah rakan sepasukan bagi Jumbo-Visma dalam perlumbaan profesional. "Primoz berada di planet lain hari ini," kata Dumoulin. "Saya tahu dia memang lelaki yang istimewa." Pelumba Australia, Rohan Dennis memintas pelumba Switzerland, Stefan Keung untuk menang gangsa. Slovenia turut menang gangsa bagi acara lebuh raya lelaki menerusi juara dua kali TdF, Pogacar. sumber : HMetro
|