Tokyo: Sepuluh atlet Nigeria adalah di antara 18 orang dari negara berisiko tinggi yang dilarang menyertai Olimpik Tokyo selepas gagal memenuhi syarat melakukan ujian doping di luar pertandingan, jelas badan bebas anti doping Persekutuan Olahraga Dunia (WA). Unit Olahraga Integriti (AIU) berkata, atlet berkenaan gagal mematuhi peraturan yang diperkenalkan pada 2019 iaitu mereka dari negara risiko tinggi gagal ujian doping atau kategori A perlu melakukan tiga ujian dalam tempoh 10 bulan menjelang kejohanan utama. AIU berkata, dua atlet dari Kenya sudah digantikan dengan atlet lain oleh badan induk olahraga negara berkenaan sebelum senarai nama akhir diberikan. Negara lain yang menyaksikan atlet mereka dilarang beraksi termasuk Belarus (tiga orang), Habsyah (seorang), Kenya (dua orang), Maghribi (seorang) dan Ukraine (tiga orang). Nigeria adalah paling terkesan selepas 10 daripada 23 atlet yang disenaraikan ke Tokyo tidak layak beraksi. Menurut sumber, 10 atlet berkenaan tidak termasuk bintang pecut mereka dan harapan untuk memenangi pingat, Blessing Okagbare. Ia tidak diketahui dengan jelas sama ada atlet yang sudah dilarang menyertai temasya oleh AIU sudah tiba di Jepun. sumber : HMetro
|