Kuala Lumpur: Perjalanan beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Sooh Wooi Yik masih lagi belum selesai apabila mereka perlu membuktikan keupayaan ke peringkat akhir sekali gus berpotensi menghadiahkan pingat emas pertama buat negara. Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, persembahan mantap yang dipamerkan pasangan beregu terbabit sememangnya cukup memukau dengan masing-masing bijak mengekalkan rentak permainan selain kurang melakukan kesilapan. Beliau berkata, ketika ini gandingan beregu negara terbabit diharap mampu melakar kejutan dengan melangkah ke peringkat akhir seterusnya menghadiahkan pingat buat negara. "Cukup seronok dan gembira kerana pasangan terbabit mempamerkan aksi luar besar dan berusaha gigih menumpaskan lawan yang berada di ranking lebih baik. "Atas kertas sukar untuk tewaskan pasangan dari Indonesia itu dengan rekod pertemuan 7-0 memihak kepada lawan terbabit. "Perjalanan masih belum berakhir kita masih ada separuh akhir dan berharap pasangan itu boleh ke peringkat akhir," katanya. Terdahulu, aksi luar biasa beregu nombor satu negara itu membawa mereka ke separuh akhir temasya Olimpik Tokyo 2020 apabila membenam pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon. Aaron-Wook Yik tampak tenang apabila mula menguasai saingan seawal set pertama dengan serangan bertali arus kepada lawan Kevin Sanjaya-Marcus Fernaldi atau The Minions. Beraksi di Musashino Forest Sport Plaza itu, Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking kesembilan dunia akhirnya membuktikan kewibawaan mereka apabila menewaskan pasangan Indonesia dengan straight set 21-14, 21-17 buat kali pertama dalam lapan pertemuan. sumber : HMetro
|