Tokyo: Beberapa atlet balapan dan padang Australia diasingkan selepas terdapat kes positif Covid-19 membabitkan jaguh lompat bergalah Amerika Syarikat (AS), Sam Kendricks. "Atlet balapan dan padang Australia di Sukan Olimpik Tokyo melakukan pengasingan kendiri di bilik masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga selepas mendapat berita mengenai atlet olahraga AS positif Covid-19," kata badan induk olahraga Australia. Jelasnya, atlet olahraga mereka sekarang ini melakukan prosedur ujian sejajar dengan protokol pasukan Olimpik Australia. Tindakan itu dibuat selepas Ketua Olimpik AS berkata, Kendricks tidak dapat beraksi di Olimpik kerana diuji positif Covid-19. Kenyataan badan induk olahraga Australia tidak menyebut berapa ramai atlet mereka diperintah mengurungkan diri. The Sydney Morning Herald melaporkan bahawa kesemua 63 atlet balapan dan padang Australia diperintahkan agar melakukan pengasingan kendiri. Akhbar berkenaan melaporkan atlet lompat bergalah Australia, Kurtis Marschall disahkan sebagai kontak rapat dengan Kendricks dan sebilangan lagi atlet olahraga negara berkenana juga mungkin berinteraksi dengan atlet AS itu. Kegusaran mengenai Covid-19 hadir sehari sebelum acara balapan dan padang Olimpik bermula. sumber : HMetro
|