Tokyo: Melompat ke atas katil kadbod di Perkampungan Sukan Tokyo 2020 untuk menguji ketahanannya, menjadi sukan baharu dalam kalangan atlet, selepas spekulasi menyatakan ia adalah 'katil anti-seks'. Sebahagian atlet yang tertakluk kepada peraturan berikutan pandemik Covid-19 yang menghalang mereka daripada meninggalkan perkampungan sukan kecuali untuk latihan atau acara, menghiburkan diri masing-masing dengan melompat ke atas katil itu. Katil berkenaan diperbuat daripada kadbod kitar semula dalam usaha penganjur mengurangkan kesan kepada alam sekitar selepas Tokyo 2020. Atlet terbaharu mengujinya dengan merakam aksi mereka menaiki katil itu seorang demi seorang dan melompat sebelum katil itu akhirnya runtuh apabila sembilan atlet berdiri dan melompat di atasnya. Pemain baseball, Ben Wanger merakam video dan memuat naik di media sosial sebelum ia tular dan kemudian, ia ditarik balik. Kerosakan katil itu menyebabkan kemarahan rakyat Jepun, kata media negara itu. Video Wagner itu diikuti beberapa atlet lain seperti gimnas Ireland, Rhys McClenaghan dan pemain bola keranjang Argentina, Francisco Caffaro dan Tayavez Gallizzi. "Ya, katil ini sangat kukuh," kata Caffaro selepas melompat dan videonya dimuat naik ke akaun TikTok, Video itu mula tersebar selepas spekulasi menyatakan ia adalah 'katil anti-seks', direka bentuk untuk menghalang atlet tidur bersama sesuai dengan arahan penjarakan fizikal bagi mengelak jangkitan Covid-19. Pada 17 Julai lalu, pelari jarak sederhana Amerika Syarikat (AS), Paul Chelimo menulis di Twitter menyatakan katil itu untuk menghalang hubungan seks dalam kalangan atlet. Keesokannya, McClenaghan berkata menerusi videonya: "Dalam episod berita palsu di Sukan Olimpik hari ini, katil itu dibuat untuk tidak melakukan hubungan seks. "Memang ia diperbuat daripada kadbod. Tetapi, ia bertujuan supaya roboh dalam pergerakan tertentu. Ia adalah berita palsu," katanya sambil melompat di atas katil itu dan memuatnaik di Twitter dan ditonton lebih empat juta orang. Sebanyak 18,000 katil diperbuat daripada kadbod itu dipasang di Perkampungan Sukan dan mampu menampung berat sehingga 200 kilogram. Tilam pula diperbuat daripada 100 peratus polyster, yang akan dikitar semula selepas Tokyo 2020. sumber : HMetro
|