Kuala Lumpur: Perjuangan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia di temasya Olimpik Tokyo berakhir apabila dia tewas kepada lawannya dalam pusingan 16 terbaik, sebentar tadi. Sudah hampir setahun tidak bertemu jelas sekali pemain perseorangan China, Chen Long bukan lawan mudah buat Zii Jia apabila terpaksa akur dengan keputusan 21-8,19-21, 5-21. Perlawanan yang berlangsung di Musashino Forest Sport Plaza menyaksikan pemain perseorangan negara itu mencetuskan kebimbangan penyokong tanah air apabila mengalami kecederaan sebaik saja saingan bermula. Namun, kecederaan tangan kanan sedikit pun tidak menjejaskan rentak juara Seluruh England 2021 itu beraksi cemerlang apabila berjaya menundukkan Chen Long 21-8 pada pertemuan set pertama. Tersentak dengan kekalahan pada set pertama menyaksikan Chen Long cuba bangkit pada set kedua dengan memberikan tentangan sengit sebelum berjaya membawa perlawanan ke set penentuan. Chen Long membuktikan dia masih berbisa apabila berjaya memastikan kemenangan berpihak kepadanya sekali gus berjaya melangkah ke pusingan suku akhir. Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Chen Long akan berdepan pemain nombor empat dunia dari Taiwan, Chou Tien Chen di suku akhir. sumber : HMetro
|