Kuala Lumpur: Langsung tidak diberikan sebarang harapan namun pelari pecut 100 meter wanita negara, Azreen Nabila Alias apabila membuktikan sebaliknya dengan layak ke pusingan pertama acara riben biru itu di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020. Larian bertenaga atlet dari Terengganu itu turut disaksikan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mengakui terpegun dengan semangat melawan pelari berusia 21 tahun itu. Katanya, beliau pada mulanya agak keliru melihat dua pelari bertudung namun menyorak gembira selepas mengetahui salah seorang atlet bertudung yang layak ke pusingan pertama adalah Azreen. Malah, apa yang lebih membanggakannya adalah kejayaan mahasiswi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu memperbaharui rekod peribadinya dengan catatan 11.77 saat (s) berbanding sebelum ini 11.81s. "Rasa bangga dan terharu sangat-sangat selaku Menteri Belia dan Sukan mewakili rakyat Malaysia melihat Azreen seakan-akan dia sedang terbang di situ (atas balapan). "Saya keliru mula-mula sebab ada dua orang bertudung, tapi bila keluar keputusan di papan elektronik, saya lihat Azreen berada di kedudukan kedua, dan paling penting pecah rekod peribadi terbaiknya 11.77s. "Ini adalah satu kesungguhan Azreen...dia janji kat saya masa perjumpaan dulu, bahawa dia akan datang ke sini untuk buktikan bahawa pemulihannya adalah pemilihan yang tepat. "Dan dia hadir di sini atas tiket wildcard dan mewakili rakyat Malaysia semua, kami mengucapkan banyak-banyak terima kasih atas aksi yang hebat letak nama negara seiring dengan barisan pelari-pelari," katanya. Terdahulu, Azreen mencetus sensasi apabila berjaya melepasi pusingan kelayakan acara 100 meter dan akan meneruskan perjuangan di pusingan pertama yang dijadual berlangsung pada jam 11.55 pagi ini. Pelari muda negara itu mara selepas menamatkan larian di tempat kedua di belakang atlet Iran, Farzaneh Fasihi Alshammari yang merekodkan 11.76s manakala Mudhawi dari Kuwait ketiga dengan catatan 11.82s. sumber : Hmetro
|