Kuala Lumpur: Beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kurang bernasib baik apabila terkandas di separuh akhir acara beregu lelaki Olimpik Tokyo 2020, malam ini. Walaupun tewas kepada pasangan China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen, pujian harus diberikan kepada mereka apabila berjuang habis-habisan sebelum terpaksa akur dengan keputusan 22-24 dan 13-21. Namun, perjuangan beregu nombor tidak terhenti di situ saja apabila mereka sekali lagi akan turun bagi penentuan pingat gangsa, esok. Perlawanan di Musashino Forest Sport Plaza itu menyaksikan gandingan Aaron-Wooi Yik bermula dengan baik dan bersemangat selepas tewas pada set pertama 22-24 dalam tempoh 23 minit. Tersentak dengan kekalahan itu, beregu negara cuba bangkit pada set kedua, namun pasangan China jelas memiliki corak permainan sukar diramal dan memerangkap Aaron-Wooi Yik. Sementara itu, Aaron berkata, strategi kurang berkesan dan mudah dibaca pihak lawan menyebabkan mereka terperangkap sehingga ketinggalan pada setiap set itu. "Sememangnya ada tekanan kerana terpaksa mengejar mata mereka dan ada sedikit strategi agak bermasalah. "Sekarang ini misi belum habis lagi dan apabila sudah sampai di sini, saya mengharapkan dapat bawa pulang pingat untuk negara. "Saya akan berjuang habis-habisan dan akan berikan 100 peratus di penentuan gangsa esok dan perkara penting tidak kisah dengan rekod dimiliki mereka," katanya. Beregu negara itu melakar sejarah tersendiri apabila mara ke separuh akhir dengan menewaskan beregu nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo 21-14, 21-17. Aaron-Wooi Yik akan bertemu dengan pasangan nombor dua dunia dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan untuk penentuan pingat gangsa, esok. sumber : HMetro
|