Kuala Lumpur: Pasangan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menghadiahkan pingat pertama iaitu gangsa di temasya Olimpik Tokyo percaya permainan mereka kini semakin matang. Banyak yang mereka pelajari dan pingat gangsa itu diharapkan akan menjadi permulaan kepada lebih banyak kejayaan dan antaranya bergelar juara dunia. Aaron dan Wooi Yik pada sidang media secara maya hari ini berkata, mereka perlu harus bekerja lebih keras lagi kerana masih banyak gelaran yang menjadi sandaran dan buruan. "Kami memang tak banyak kejayaan besar selain pingat gangsa ini jadi kami perlu terus kerja keras. "Ada banyak lagi kejohanan yang kami impikan. Kejohanan Dunia, Piala Sudirman, Seluruh England, Piala Thomas," katanya. Sementara itu, kata Aaron kejayaan menewaskan beregu nombor satu dunia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon menjadi titik tolak kepada kebangkitan mereka di temasya Olimpik. Selepas banyak rintangan yang dilalui, Aaron berharap warna pingat gangsa itu akan berubah di Paris 2024 nanti. "Memang itu antara sasaran kami lepas ini tapi saya tak mahu terlalu memikirkannya. Buat macam biasa saja. "Kami tidak mahu letakkan sasaran itu sebagai tekanan. Apa yang penting adalah kami buat yang terbaik dan buat apa yang patut kami buat," katanya. Pasangan beregu negara itu sebelum ini tidak pernah meraih sebarang gelaran dan kejayaan terbaik mereka selain muncul naib juara di Seluruh England pada 2019. sumber : HMetro
|