Kuala Lumpur : Rendang bukan sebarang rendang, rendah bukan sebarang rendah dan itulah pelari pecut wanita negara, Azreen Nabila Alias yang kini bersedia untuk mencabar dan bergelar Ratu Asia Tenggara. Azreen meluncur laju menewaskan pelari yang jauh lebih tinggi daripadanya untuk mara ke pusingan pertama dengan kejayaan mencipta catatan masa terbaik peribadi di temasya Olimpik Tokyo. Azreen dikatakan atlet paling rendah dalam acara olahraga di temasya terbesar itu dan jika mereka menyatakan Shelly Ann Fraser Pryce pelari dari Jamaica itu rendah apabila hanya memiliki ketinggian 1.52 meter (m), Azreen lebih rendah dari Shelly. Tapi itu bukan alasan kerana bagi jurulatihnya, M Balamurugan berkata, ketinggian bukanlah faktor utama kerana Azreen mempunyai kelebihan lain dan boleh pergi lebih jauh lagi selepas ini. "Saya pada mula tidak menjangka dia dapat melakukan larian dengan sebegitu baik sekali sebabnya dia memang tidak mempunyai pengalaman beraksi di temasya sukan besar. Malah di Sukan SEA pun dia belum pernah beraksi dalam acara 100m. "Jadi pencapaiannya itu amat mengagumkan biarpun berada di sana seorang diri dia dapat mengawal perasaan dan gementar dengan baik," katanya. Azreen merekodkan catatan peribadi terbaik 11.77 saat dalam sesi kelayakan di Olimpik Stadium Tokyo itu. Dalam tempoh dua jam dia kemudiannya turun dalam saringan keenam dan sekali lagi berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa di bawah 12s iaitu 11.91s. Catatan 11.77s yang dilakar Azreen juga adalah rekod peribadi terbaiknya berbanding 11.81s yang dilakukannya ketika di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 lalu. "Selepas dia pulang ke Malaysia, saya akan berikannya cuti sebulan kerana dia sudah lama mengorbankan masa dan berlatih di MSN (Majlis Sukan Negara) terlalu lama. "Kemudian baru saya akan merancang perancangan seterusnya untuk dia kerana dia akan berdepan jadual padat tahun depan dan sekurang-kurangnya mempunyai empat temasya penting," katanya. Kata Balamurugan yang mula melatih Azreen sejak 2018, pelari muda negara itu dijadualkan menyertai temasya SUKMA, Sukan SEA selain cuba untuk melayakkan diri beraksi di Sukan Asia dan Komanwel. Namun itu semua berdasarkan keadaan semasa ketika dunia masih lagi dilanda pandemik Covid-19. sumber : HMetro
|