Tokyo: Pelari Itali, Lamont Marcell Jacobs memenangi pingat emas acara pecut 100 meter (m) Olimpik Tokyo hari ini sekali gus menamatkan penguasaan 13 tahun sensasi Jamaica, Usain Bolt yang sudah bersara. Dalam acara riben biru itu, Jacobs, 26, mencatatkan rekod Eropah 9.80 saat (s) dengan pelari Amerika Syarikat (AS), Fred Kerley meraih perak selepas melakukan catatan 9.84s. Bintang Kanada, Andre de Grasse yang meraih gangsa pada temasya Rio 2016, mengulangi pencapaian itu dengan catatan 9.89s. Bermula di barisan ketiga, Jacobs dapat melakukan permulaan yang baik sebelum terus konsisten menuju ke garisan penamat. Jacobs kemudian dilihat berlari ke arah rakan senegara, Gianmarco Tamberi yang turut memenangi emas dalam acara lompat tinggi dan menunggu di garisan penamat. Olimpik Tokyo adalah kali pertama sejak Athens 2004 tanpa kelibat Bolt yang memenangi acara 100m di Beijing, London dan Rio de Janeiro. Bolt juga mengungguli acara 200m di ketiga-tiga temasya berkenaan. Buat kali pertama sejak Sydney 2000, tiada pelari Jamaica pada aksi final selepas bekas rakan sepasukan Bolt, Yohan Blake terkandas di separuh akhir. sumber : HMetro
|