CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3278|Reply: 4

Kenapa belajar Sifat 20?

[Copy link]
Post time 5-8-2021 10:24 PM | Show all posts |Read mode
Kenapa belajar Sifat 20?


SIFAT-sifat kesempurnaan bagi Allah SWT tiada batasannya dan bukan bermaksud sifat Allah SWT terhad kepada bilangan 20 sahaja.
Allah SWT memiliki nama-nama dan sifat-sifat yang sempurna dan bilangannya adalah banyak. Namun, kenapa umat Islam belajar 20 sifat Allah SWT sahaja? Dalam kitab yang ditulis oleh Ustaz Muhadir Haji Joll yang berjudul Sifat 20 Suatu Pengenalan Asas dapat membantu untuk menjawab persoalan penting ini. Keistimewaan kitab ini ialah ia diberi kata-kata aluan oleh Mufti Negeri Sembilan, Mufti Negeri Pahang, Mufti Negeri Johor dan Sheikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Nadwi al-Maliki. Kata-kata aluan ini menjadi isyarat kepada pengiktirafan terhadap karya akidah ini oleh ilmuwan berautoriti tanah air yang molek dirujuk oleh masyarakat Islam di Malaysia.

Selain itu, dirujuk juga buku bertajuk Akidah Salaf tulisan Ustaz Nur Hidayat Muhammad. Ia juga mendapat kata-kata aluan beberapa tokoh ilmuwan berautoriti negara yang menjadi isyarat kepada pengiktirafan terhadap karya ini antaranya Mufti Negeri Johor, Mufti Negeri Sembilan, Mufti Negeri Pahang, Mufti Negeri Kedah (2009-2017) dan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI). Kitab versi cetakan baharu ini juga diiktiraf oleh tokoh ilmuwan bidang hadis Indonesia iaitu Dr Abdul Somad menerusi facebook Penerbit Global Press.

Dirujuk juga kitab Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah tulisan Sheikh Muhammad Sa'id Ramadan al-Buti yang disenaraikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 5 April 2019 dalam tajuk artikelnya iaitu Cadangan Kitab Akidah Untuk Penuntut Ilmu. Kitab ini juga menjadi pilihan utama Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai rujukan penting bagi dua subjek teras fakultinya dan satu subjek teras jabatan. Justeru, ia menjadi antara kitab yang sangat wajar dirujuk. Soalan tersebut boleh dijawab dengan beberapa jawapan yang diringkaskan berdasarkan rujukan tersebut.

Pertama, sifat-sifat kesempurnaan bagi Allah SWT tiada batasannya. Jumlah 20 sifat tersebut bukanlah bermaksud sifat Allah SWT hanya terhad kepada bilangan 20 sahaja. Ini kerana, dalam kitab Umm al-Barahin yang menjadi antara rujukan utama bagi huraian Sifat 20 ini didapati Imam al-Sanusi berkata: "Maka, sebahagian daripada apa yang wajib bagi Tuhan kita adalah 20 Sifat."

Ayat asal 'sebahagian' menunjukkan sifat-sifat wajib bagi Allah SWT melebihi 20 sifat. Jadi, sejak awal lagi ulama tidak mengehadkan bilangan 20 sahaja. Menurut Sheikh al-Buti, Allah menyifatkan diri-Nya dengan sifat yang banyak tetapi perincian semua sifat tersebut terkandung dalam 20 sifat utama ('ishrin sifah ra'isiyyah). Ini memudahkan orang awam untuk mengenali Allah SWT menerusi beberapa sifat terpilih berbanding mengenali-Nya menerusi semua sifat-sifat yang terkandung dalam al-Quran dan hadis yang jumlahnya sangat banyak.

Kedua, 20 sifat tersebut adalah syarat ketuhanan yang mesti dimiliki bagi sesiapa yang dianggap Tuhan. Jika Dia adalah Tuhan, secara akal yang sejahteranya, Dia mesti ada sifat 20 ini. Mustahil Dia mendakwa diri-Nya Tuhan jika Dia tiada sifat Qudrah (berkuasa), 'Ilm (mengetahui) dan seumpamanya. Jika Dia ada 20 sifat ini, maka layaklah ia menjadi Tuhan namun tiada yang layak melainkan Allah SWT. Iktibar daripada kisah Nabi Ibrahim AS mencabar Raja Namrud untuk menggunakan 'iradah' (kehendak) dan 'qudrahnya' (kuasa) bagi mengubah terbit matahari dari barat ke timur, namun ia tidak mampu, menunjukkan ia tiada sifat kehendak dan kuasa secara mutlak.

Ketiga, al-Asma' al-Husna yang berjumlah 99 atau lebih semuanya dapat dikaitkan dengan Sifat 20 contohnya al-Muhyi, al-Mumit, al-Qadir, al-Muqtadir, al-Qawiyy dan al-Matin boleh dikaitkan dengan sifat al-Qudrah yakni Tuhan Yang Maha Berkuasa. Menurut Sheikh Sa'id Fudah seperti yang dipetik oleh Ustaz Hidayat, kita tidak faham nama al-Musawwir (Maha Membentuk) melainkan setelah dijelaskan bahawa Allah mencipta al-suwar (bentuk-bentuk) yang berkaitan sifat al-Qudrah juga. Begitu juga dengan sifat-sifat Allah yang lain seperti reda dan murka yang merupakan sifat perbuatan boleh dikaitkan dengan sifat kehendak (al-Iradah) bagi Allah. Maka, al-Asma' al-Husna dapat difahami dengan mudah jika seseorang itu memahami Sifat 20.

Keempat, apabila seseorang itu ingin mengenali seseorang, antara perkara yang penting adalah sifat orang tersebut berbanding namanya. Ini kerana, kadang-kadang namanya Hasan (baik) tetapi sifatnya buruk. Justeru, fokus kepada sifat adalah lebih mudah untuk mengenali hakikat sesuatu perkara. Namun, fokus kepada nama-nama Allah SWT bukan bermaksud tidak penting, tetapi ia sebagaimana dijelaskan sebelum ini, nama-nama yang banyak itu boleh dikaitkan dengan 20 sifat Allah SWT tadi seperti yang dijelaskan pada nombor tiga. Setelah pelajari sifat 20, ia membantu untuk fahami nama-nama Allah SWT pula.

Kelima, 20 sifat ini telah mengandungi dalil al-Quran, hadis dan akal yang sejahtera. Ia berdasarkan dalil-dalil muhkamat (induk/jelas) yang qat'i thubut (sabitnya pasti) dan qat'i al-dilalah (maknanya jelas) menjadi dasar akidah yang kukuh yang bukan daripada kategori mutashabihat (samar-samar/tidak jelas) yang berasaskan dalil zanni al-dilalah (maknanya tidak jelas).

Disebabkan itulah dalam silibus pengajian Sifat 20, tidak disenaraikan sifat-sifat mutashabihat seperti yad (tangan), istawa (duduk macam raja), nasiya (lupa), marid (sakit) dan seumpamanya. Ini kerana, meskipun ia disebut dalam al-Quran dan hadis tetapi ia bukanlah qat'i al-dilalah bahkan boleh menyebabkan umat Islam salah faham. Salah faham itu boleh berlaku jika mereka memahaminya secara makna zahir bagi lafaz tersebut.

Contohnya yad dalam bahasa Melayu bermaksud tangan, bagi orang awam akan terus faham ia adalah anggota badan yang dikenali sebagai tangan. Maka, jika disandarkan kepada Allah SWT, maka seolah-olah ada anggota badan tangan bagi-Nya meskipun disebut anggota tangan-Nya tidak sama dengan makhluk. Disebabkan itu, Ahli Sunnah wal Jamaah bertindak pantas mempertahankan akidah Islam menerusi dua kaedah iaitu kaedah tafwid dan kaedah takwil.

Berdasarkan kaedah tafwid yang dipilih oleh majoriti salaf soleh, yad tidak dimaksudkan dengan tangan, sebaliknya diserahkan maksudnya kepada Allah SWT dan kekalkan lafaz asalnya iaitu yad. Mereka melarang melakukan terjemahan secara harfiyyah atau literal bagi sifat mutashabihat. Manakala, menerusi kaedah takwil, yad difahami dengan makna qudrah iaitu berkuasa seperti yang dipilih oleh majoriti khalaf. Mereka terpaksa memilih maksud atau terjemahan ini disebabkan darurat. Jika tiada darurat, mereka akan kembali semula kepada kaedah tafwid tadi. Perlu difahami bahawa sama ada darurat atau tidak, salaf dan khalaf tidak akan memilih terjemahan literal iaitu tangan.

Apatah lagi Allah SWT jelas melarang fokus kepada ayat-ayat mutashabihat seperti firman-Nya dalam ayat 7 surah Ali 'Imran. Cuba bayangkan, jika kanak-kanak hafal Sifat 20 versi mutashabihat, sudah pasti mereka akan keliru. Silibus Sifat 20 yang muhkamat ini merupakan benteng kukuh dalam akidah untuk menghadapi golongan menyeleweng, bidaah, ateis dan seumpamanya secara sistematik.



Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

SUMBER:https://www.hmetro.com.my
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 6-8-2021 01:32 AM From the mobile phone | Show all posts
tt, cuba pendekkan bh senang faham
.tak pun listkn 20 sifat tu..i xfaham
Reply

Use magic Report

Post time 19-8-2021 09:50 PM | Show all posts
dengan sifat 20 lah baru memahami ilmu2 yg para ulama warisi dari nabi sahabat...
dlm sifat 20 mengenal sifat2 ketuhanan, kenal tuhan barulah knal Allah
barulah kenal apa itu uluhuiyah rububiyah
dan bagaimana nak membawa sifat2 kenal zat sifat afaal Allah itu
dlm beribadah, dlm solat dlm zikir dlm puasa
kerna itu no1 terpenting adalah sanad wasilah guru mursid...
Reply

Use magic Report

Post time 25-8-2021 05:49 PM | Show all posts
Edited by rantaikendoq at 25-8-2021 05:50 PM

Cara belajar sifat 20 dan mengenal Allah (makrifatullah)
untuk dibawa secara praktikal dalam kehidupan seharian...


membaca baru 1 jengkal faham
kerana akal ini ada 3 lapisan, seeloknya mencari guru sbg rujukan...
kefahaman membaca tidak akan lebih dr sorg murid yg ade guru
apatah lagi jika salik itu ade guru mursid (sultan awliyak - Raja wali)
kemudian akan dibimbing dr guru nya kepada wali2 terdahulu...sampailah pd nabi saw
ringkasan....


SIFAT 20 & MAKRIFATULLAH

Apakah maksud sifat 20?

Sifat dua puluh adalah satu konsep ilmu yang ciptaannya sangat ajaib, di dalam mentafsir kaedah mengenal Allah melalui ilmu makrifat.

Sifat 20 dicipta oleh ilham para sufi dan para aulia' terdahulu, bagi tujuan mengajar kita menuju jalan mengenal Allah. Barang siapa mempelajari sifat 20 dengan bersungguh-sungguh, berserta faham akan maksud dan makna yang tersirat, InsyaAllah ia akan dapat mengenal Allah swt dengan nyata dan terang.

Banyak cabang ilmu dan banyak kaedah pembelajaran yang telah didedahkan melalui kitab, melalui pondok, melalui sekolah dan tidak kurang pula melalui guru-guru agama.

Semua itu bertujuan bagi mencari jalan, mencari cara dan mencari kaedah untuk mengenal Allah. Di antara banyak-banyak cara dan di antara banyak-banyak kaedah, cara dan kaedah terbaik bagi mengenal Allah swt adalah dengan mempelajari sifat 20.

Allah tidak akan dapat dikenal melalui mata zahir, ianya dapat dikenal melalui mata hati dengan mempelajari sifat-sifatnya.

APAKAH ASAS SIFAT 20?

Sifat 20 berasaskan kepada 4 perkara;

1) Zat  
2) Sifat
3) Af'al  
4) Asma'

APAKAH SIFAT ALLAH YANG 20 ITU?

1. Wujud = ada
2. Qidam = sedia
3. Baqa' = kekal
4. Mukholafatuhu lilhawadis = bersalahan dengan yang baharu
5. Qiamuhu binafsih = berdiri sendiri
6. Wahdaniah = esa
7. Qudrat = kuasa
8. Iradat = menghendaki
9. Ilmu = mengetahui
10. Hayat = hidup
11. Sama' = mendengar
12. Basar = melihat
13. Kalam = berkata-kata
14. Qodirun = maha berkuasa
15. Muridun = maha menghendaki
16. Alimun = maha mengetahui
17. Hayyun = maha hidup
18. Sami'un = maha mendengar
19. Basirun = maha melihat
20. Mutakallimun = maha berkata-kata

20 sifat Allah itu terbahagi kepada berapa bahagian?

20 sifat-sifat Allah terbahagi kepada 4 bahagian.

1. Bahagian sifat Nafsiah
2. Bahagian sifat salbiah
3. Bahagian sifat Ma'ani
4. Bahagian sifat Ma'nawiah

Bahagian yang empat inilah yang dikatakan menjadi inti pati dan isi kepada ilmu mengenal Allah. 4 bahagian inilah nantinya yang akan mengupas dan yang akan menterjemahkan sifat 20. Barang siapa yang berhajat untuk mengenal Allah, perlu diambil perhatian kepada ke empat-empat bahagian tersebut.

SIFAT NAFSIAH

Apakah sifat yang terkandung dalam nafsiah?

Sifat yang terkandung di dalam nafsiah itu, hanya satu iaitu sifat wujud. Wujud yang membawa maksud ada. Adanya Allah itu, meliputi segala yang zahir mahu pun yang batin.

Apakah maksud sifat nafsiah?

Sifat nafsiah itu, bermaksud menafikan kewujudan yang lain selain Allah. Hanya Allah sahaja yang ada dan hanya Allah sahaja yang wujud.

Wujudnya Allah itu, adalah ujud yang disertai sekali dengan zat, sifat, af'al dan asma'Nya. Zat Allah itu merupakan sifatNya dan sifat Allah itu adalah juga merupakan zatNya. Zat dengan sifat Allah itu adalah ujud yang tidak terpisah, berpisah, bercerai dan ujud yang tidak berasingan.

Keujudan zat dengan keujudan sifat Allah itu, adalah esa (satu juga pada hakikatnya). Seumpama sifat ilmu dengan sifat kalam Allah. Apabila sifatnya bersifat mendengar (sama'), bererti zatnya juga, bersifat berpendengaran (sami'un). Apabila Allah bersifat melihat (basar), bererti zatNya bersifat berpenglihatan (basirun).  Apabila Allah bersifat kuasa (kudrat), bererti zatNya bersifat kekuasaan (kodirun).  Begitulah seterusnya dengan sifat-sifatnya yang lain.

Sifat Allah itu seumpama sifat angin dengan sifat bergoyang (bertiup). Apabila kita melihat pokok bergoyang, itu menandakan adanya angin. Tergoyangnya pokok, adalah bagi menandakan bergoyangnya angin. Sifat bergoyang itu sebenarnya bukan sifat pokok, yang bergoyang itu sebenarnya adalah sifat angin.

Walau bagaimanapun sifat angin dan sifat bergoyangnya pokok itu, adalah satu sifat yang sama. Jika tidak ada angin, masakan pokok bergoyang. Pokok tidak boleh bergoyang dengan sendiri, jika bukan kerana digoyang dan ditiup oleh angin. Begitulah juga sifat Allah dengan ZatNya, tidak boleh bercerai.

Begitulah juga kaedahnya kita mentafsir sifat 20. Apabila ianya dirujuk kepada diri. Barulah kita dapat melihat dan mengenal Allah melaluinya. Seandainya sifat 20 itu tidak dirujuk kepada diri, selama itulah kita tidak akan dapat mengenal dan melihat Allah. Dalam memahami sifat nafsiah (nafi) iaitu sifat menafikan, menidakkan, atau sifat menolak.

Kita dikehendaki menidakkan sifat-sifat yang lain selain Allah. Kita dikehendaki menidakkan kewujudan sifat alam dan sifat diri kita sendiri. Menidakkan sifat diri kita, supaya ianya menjadi tidak ada dan tidak wujud (binasa). Cara untuk menidakkan sifat diri kita dan untuk mewujudkan sifat Allah itu, adalah dengan cara, menyerah atau membinasakan diri kepada Allah.

Bila mana sifat telinga telah dipulangkan, ianya akan disambut dengan sifat pendengaran Allah. Bila mana sifat mata telah binasa, akan disambut dengan sifat penglihatan Allah. Sifat berfikir, akan disambut dengan ilmu Allah. Selagi sifat mata menjadi sebahagian daripada sifat kita, sudah pasti kita tidak akan dapat melihat Allah melalui pandangan dan penglihatanNya.

Setelah sifat mata kita itu dipulangkan kepada Allah, akan bertukar menjadi sifat basar Allah, barulah sifat penglihatan basirun Allah itu, boleh melalui sifat mata kita. Bermaknanya di sini bahawa, sifat mata yang ada pada kita sekarang ini, tidak boleh dan tidak layak menerima penglihatan Allah melaluinya, melainkan sifat mata makhluk telah binasa dan bertukar kepada sifat wajah Allah.

Maka kita tidak layak untuk menanggung atau menerima sifat penglihatan Allah yang maha tinggi. Sifat makhluk tidak layak untuk menanggung sifat Allah, melainkan sifat kita itu ditukar milik, supaya menjadi milik Allah, setelah melalui proses penyerahan diri (penyerahan tugas dan penyerahan hak milik) kepada Allah.

Apabila sudah menjadi milik Allah, barulah mata kita itu, dapat melihat melalui penglihatan Allah. Apabila mata kita itu telah menjadi milik Allah, barulah sifat basirun (penglihatan) Allah itu dapat terpancar melalui mata kita.

Apabila penglihatan Allah sudah menembusi mata kita, dengan sendirinya sifat mata akan binasa. Mata makhluk akan hangus terbakar, binasa dan lenyap lantaran dipenuhi oleh cahaya Allah. Cahaya penglihatan Allah itu sendiri, yang membinasakan sifat mata kita. Hanya Allah sahaja yang dapat menanggung sifat Allah. Sifat mata kita tidak dapat untuk menanggung sifat penglihatan Allah.

Selagi mata masih bersifat makhluk atau masih menjadi sebahagian dari anggota diri kita, selagi itulah wajah Allah tidak boleh mengambil tempat. Selagi sifat Allah tidak dapat mengambil tempat, selagi itulah, kita tidak akan dapat mengenal dan melihat Allah melaluinya. Inilah konsep nafsiah, iaitu konsep menidakkan sifat makhluk supaya dapat menjadikan semuanya bersifat wajah Allah.

Setelah kita berjaya dalam menidakkan, fana' dan leburkan diri kita ke dalam cahaya Allah, maka jadilah telinga kita itu, merupakan pendengaran Allah, jadilah mata kita itu, penglihatan Allah dan sebagainya.

Mata kita tidak layak untuk menanggung penglihatan Allah. Begitu juga dengan sifat-sifat yang lain, ianya merupakan pakaian dan persalinan Allah. Sifat kita selaku makhluk, tidak layak untuk memakai yang menjadi persalinan Allah. Seandainya kita terpakai persalinan Allah, cepat-cepatlah bertaubat.

Apabila Allah bersifat basar, Allah juga bersifat basirun. Apabila Allah bersifat qudrat, Allah juga bersifat Qodirun dan sebagainya. Oleh yang demikian bagi yang telah sampai kepada makam (tahap) makrifat, menjadikan yang dilihat itu, adalah juga yang melihat dan yang melihat itu, adalah juga yang dilihat, yang disembah itu, adalah yang menyembah dan yang menyembah itu, adalah juga yang disembah.

Dengan syarat diri kita telah binasa, mati, lebur, dan karam dalam zouk cahaya wajah Allah. Walaupun Allah itu bersifat dengan 20 sifat, namun semua 20 sifat itu, adalah esa (satu) juga dalam zatNya. Walaupun sifat Allah itu banyak, tetapi ia satu dalam zatNya.

Yang menjadikan sifat Allah itu berbilang-bilang adalah dikeranakan khayalan fikiran dan lemahnya sangkaan akal manusia. Sedangkan pada dasar dan pada hakikatnya, kesemua sifat Allah itu adalah satu (esa), tidak berbilang-bilang.

Mempelajari, memahami serta mengetahui sifat nafsiah bertujuan memberi peringatan kepada kita bahawa, tidak ada yang berbentuk, melainkan yang berbentuk itu adalah bentuk bagi Allah dan tidak ada yang bersifat, melainkan yang bersifat itu hanya sifat bagi Allah. Tidak ada yang berupa melainkan yang berupa itu adalah rupa bagi Allah.

Di dalam memahami sifat nafsiah, kita dikehendaki menafikan, mematikan, melenyapkan, menghilangkan dan membinasakan semua sifat-sifat yang lain selain dari sifat Allah. Di peringkat pengajian ilmu sifat nafsiah, kita dikehendaki melihat bahawa hanya Allah sahaja yang ada, ujud, wujud dan maujud.

Keujudan makhluk alam pada peringkat ini belum lagi boleh diletak dalam gambaran fikiran dan belum lagi boleh dibayangkan dalam ciptaan khayalan akal. Yang ada dan yang ujud pada peringkat sifat nafsiah itu, hanyalah Allah semata-mata.

Sifat nafsiah adalah sifat bagi mengajar kita tentang kewujudan Allah secara mutlak dan secara "wujudiah". (wujud yang meliputi), meliputi sekalian alam, meliputi sekalian makhluk dan meliputi sekalian diri kita. Sifat nafsiah dalam wujudiah itu adalah membawa makna kewujudan Allah secara mutlak, secara bersendirian, secara keesaanNya, tanpa adanya lagi yang lain selain Allah.

Seumpama bukan pokok yang bergoyang tetapi yang bergoyang itu adalah angin. Walaupun kita nampak yang bergoyang itu pokok, di dalam kefahaman pengajian ilmu makrifah yang bergoyang itu bukan lagi pokok, sesungguhnya yang bergoyang itu adalah sifat angin. Inilah kedudukan sifat nafsiah dalam tafsiran makrifat.

Di dalam kita belajar sifat nafsiah dalam sifat 20 kita jangan lupa untuk menghubung kaitkan dengan kalimah syahadah. Pelajaran sifat nafsiah dalam sifat 20, bukan sekadar bertujuan untuk dihafal. Pelajaran sifat nafsiah itu selain bertujuan untuk mengenal sifat Allah melalui sifat 20, ianya juga adalah bertujuan bagi mentafsir kalimah syahdah. Sifat nafsiah itu, adalah satu kaedah kiasan sahaja. Tujuan sebenar kiasan sifat nafsiah itu, adalah disasarkan kepada tafsiran dan pemahaman kalimah syahadah.

Sifat nafsiah apabila dikaitkan, diletak atau diterjemahkan pada tafsiran syahadah, ia berada pada kedudukan kalimah "LAA" (iaitu kalimah nafi). Kalimah nafi adalah kalimah menolak yang lain selain Allah, membinasakan yang lain selain Allah. Kewujudan sifat-sifat yang lain itu, seumpama bayang cahaya. Apabila hilang cahaya maka hilanglah bayang.

Apabila kita dapat memahami dan menghayati pengertian isi ilmu nafsiah dalam sifat 20 dengan penuh penghayatan, ianya membuatkan ucapan syahadah kita, benar-benar diterima Allah.

Bagaimana cara ucapan syahadah yang penuh makna?

Ada pun ucapan syahadah yang penuh makna itu, adalah dengan melafazkan ungkapan kalimah "Laa" dengan menghilangkan dan membinasakan sifat-sifat yang lain, selain Allah. Sehingga tidak ada lagi keujudan bulan, bintang, alam, dunia dan keujudan kehidupan diri, melainkan Allah lah yang ujud, wujud dan maujud, pada sekalian wajah alam.

Ucapan perkataan "Laa" adalah tahap ucapan yang tidak ada lagi sesiapa. Tidak ada apa-apa di kiri, di kanan, di atas, dan tidak apa-apa lagi di bawah kita, melainkan semasa melafazkan kalimah "Laa" kita dikehendaki mengisi keyakinan hati dan mengisi kepercayaan akal, bahawa tidak ada yang lain lagi pada keujudan alam ini, melainkan sekalian yang ada ini, adalah wajah Allah (yang meliputi segalanya).  Itulah di antara tujuan kita mempelajari sifat nafsiah (sifat 20)

APAKAH BENTUK SIFAT NAFSIAH?

Sifat nafsiah adalah berbentuk "PERKHABARAN", sifat yang hanya ada pada zat Allah dan tidak memberi bekas kepada alam, sifat nafsiah itu, tidak pula boleh dikualiti dan tidak boleh dikuantitikan. Adanya Allah adalah ada yang mutlak, ada yang tidak di keranakan oleh suatu kerana yang lain.

Sifat nafsiah adalah sifat yang mengkhabarkan kepada kita bahawa Allah itu ada, adanya Allah itu melalui perkhabaran yang tidak dapat dipegang atau dirasa dengan tangan, tidak dapat dizahirkan untuk dilihat. Perkhabaran adalah perkara yang tidak boleh dikualiti atau dikuantitikan. Ia hanya boleh dirasa dan diyakini oleh hati.

SIFAT MA'ANI

Sifat Apakah Yang Terkandung Di Dalam Ma'ani?

Sifat yang terkandung di dalam sifat ma'ani ada 7 perkara:

1.  Qudrat = kuasa
2.  Iradat = berkehendak
3.  Ilmu  = mengetahui
4.  Hayat =  hidup
5.  Sama' =  mendengar
6.  Basar = melihat
7.  Qalam = berkata-kata

Bagaimana Menterjemah Sifat Ma'ani Pada Diri Kita?

Sifat ma'ani Allah Ta'ala yang jelas terzahir pada diri kita ada 7:

1. Hidup
2. Mengetahui
3. Berkuasa
4. Berkehendak
5. Melihat
6. Mendengar
7. Berkata-kata

Ada dengan terang dan jelas menzahir sifat-sifatNya ke atas diri kita. Tujuan dizahirkan sifatNya supaya dijadikan sebagai pedoman, sebagai panduan dan sebagai iktibar untuk kita mengenal, melihat dan memandang Allah melaluinya.

Allah bukan ain (bukan benda) yang boleh dikenal melalui bentuk hitam dan putih. Allah menzahirkan sifat-sifatnya ke atas diri kita adalah bertujuan supaya dijadikan "Tempat memandang sifat-sifatnya" kepada mereka-mereka yang berpandangan jauh.

Tetapi ramai yang masih tidak memerhatikannya. Sifat hidup, sifat mengetahui, sifat berkuasa, sifat berkehendak, sifat melihat, dan sifat berkata-kata yang dipakai Allah atas diri kita, adalah menjadi tanda kebesaranNya atas diri kita supaya kita memerhati dan melihatnya.  Sifat-sifat tersebut bukannya sifat peribadi kita tetapi sifat tersebut sebenarnya adalah hak kepunyaan mutlak Allah Ta'ala.

Sifat yang kita pakai ini adalah pinjaman semata-mata. Dari itu hendaklah kita sedar dan insaf akan hal itu. Kesemua sifat-sifat tersebut adalah hak milik Allah dan kepunyaan Allah swt yang sepatutnya dikembalikan semula kepada tuan yang empunya, sementara hayat masih dikandung badan.

Penzahiran sifat ma'ani (angin) atas makluk (diri kita) adalah sekadar pinjaman yang berupa pakaian sementara, yang akhirnya dikehendaki kembali semula kepada tuan yang empunya. Allah tidak boleh diibarat atau dimisalkan dengan sesuatu.

Maha suci Allah dari ibarat dan misal. Segala misalan atau segala perumpamaan yang dinukilkan itu, hanyalah sekadar untuk mempermudahkan faham. Sifat ma'ani itu, adalah seumpama bayang-bayang, manakala Allah Ta'ala itu, adalah seumpama tuan yang empunya bayang.

Firman Allah:

Surah Al-Furqān (ayat 45)

أَلَمْ تَرَ إِلَىٰ رَبِّكَ كَيْفَ مَدَّ الظِّلَّ وَلَوْ شَاءَ لَجَعَلَهُ سَاكِنًا ثُمَّ جَعَلْنَا الشَّمْسَ عَلَيْهِ دَلِيلًا

Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? - bagaimana Ia menjadikan bayang-bayang itu terbentang (luas kawasannya) dan jika Ia kehendaki tentulah Ia menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)! Kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu;

"Allah Jadikan Manusia dalam bayangNya"

Maksud bayang itu, adalah merujuk kepada makhluk dan diri kita. Bayang (diri) sebenarnya tidak mempunyai apa-apa sifat. Bayang hanya sekadar sifat yang menumpang dari yang empunya bayang. Bergeraknya bayang adalah gerak daripada yang empunya bayang. Berdirinya bayang adalah dengan berdirinya tuan yang empunya bayang (Allah). Mustahil bayang itu boleh berdiri dengan sendiri tanpa kuasa dari yang empunya bayang (Allah).  Bayang dengan yang empunya bayang itu, mustahil bersatu dan mustahil bercerai.

Diri kita dengan wajah Allah itu, adalah seumpama ujud bayang dengan yang empunya bayang atau seumpama bayangan wajah di permukaan cermin. Sifat ma'ani itu tidak boleh berdiri dengan sendiri tanpa bergantung dari sifat maknawiah. Hubungan antara sifat ma'ani dengan sifat maknawiah itu, adalah seumpama hubungan antara bayang dengan yang empunya bayang.

Contohnya seumpama sifat mata dengan penglihatan, sifat telinga dengan pendengaran dan sifat mulut dengan yang berkata-kata. Walau bagaimana keadaan sekalipun, ianya tetap tidak boleh bercerai dan juga boleh bercantum. Inilah yang dikatakan hubungan sifat ma'ani dengan sifat ma'anawiah itu, bercantum tidak bercerai tiada.

"Tiada bercerai antara nafi dan isbat, dan siapa-siapa yang menceraikan antara keduanya maka orang itu kafir adanya"

Bayang bukan cahaya tetapi tidak lain dari cahaya. Cahaya bukan matahari tetapi tidak lain dari matahari. Begitu jugalah contohnya hubungan antara Allah dengan diri kita. Dari itu marilah kita sama-sama mengambil faham dan insaf bahawa sifat yang kita miliki ini, sebenarnya hak kepunyaan Allah, yang harus kita serah kembali kepada yang empunya.

Tujuan mempelajari sifat ma'ani adalah bertujuan supaya kita mengaku bahawa sebenarnya diri kita ini tidak ada, tidak wujud, dan tidak terjadi. Yang wujud, yang ada dan yang terjadi adalah hanya semata-mata Allah, seumpama sifat bayang, terzahirnya bayang itu, adalah bagi tujuan menampakkan dan menyatan sifat yang empunya bayang itu sendiri.

Di dalam keghairahan membicarakan soal sifat ma'ani, harus diingat bahawa Allah tidak bertempat. Allah tidak menjelma ke atas jasad. Allah tidak bertempat di dalam atau di luar badan, Allah tidak bersatu, tidak bercantum dengan badan, Allah bukan kesatuan, Allah bukan bersyarikat, bukan bercantum dengan jasad kita. Ada orang yang mengaku bahawa Allah menjelma di dalam jasad dan tidak kurang pula ada yang mengaku menjadi Tuhan dan sebagainya.

Bukan kita yang meliputi Allah, tetapi Allah lah yang meliputi kita. Kesemua sifat yang kita miliki ini adalah milik Allah, sifat yang ada pada diri kita akan hancur, binasa dan hilang lenyap, sifat yang kekal dan yang abadi itu, hanyalah Allah swt.

Firman Allah:

Surah Al-Qaşaş (ayat 88)

وَلَا تَدْعُ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَۘ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ كُلُّ شَيْءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجْهَهُۚ لَهُ الْحُكْمُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Dan janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah. BagiNya lah kuasa memutuskan segala hukum, dan kepadaNya lah kamu semua dikembalikan.

Apa Hubungan Sifat Maani Dengan Roh?

Sifat ma'ani adalah wajah Allah yang terzahir melalui sifat dan rupa paras roh, melalui sifat mata, mulut, telinga, dan anggota tubuh seluruhnya. Sebagaimana rupa dan paras roh, sebegitulah wajah ma'ani Allah, kerana rohlah sifat ma'ani Allah.

Untuk melihat sifat ma'ani Allah, lihatlah pada wajah dan sifat rupa paras diri kita sendiri. Hubungan roh dengan sifat ma'ani itu, seumpama sifat mata pada roh, penglihatan bagi Allah, telinga pada roh, pendengaran bagi Allah, dan begitulah seterusnya.




Reply

Use magic Report

Post time 25-8-2021 05:49 PM | Show all posts
Apakah Hubungannya Sifat Ma'ani Dengan Kalimah Syahadah?
Tujuan kita mempelajari dan mendalami ilmu ma'ani itu, adalah untuk membawa kepada pemahaman kalimah syahadah. Tujuan nafsiah membawa pengertian kepada kalimah "Laa" adalah kalimah bagi menafikan kewujudan sifat makhluk. Manakala sifat ma'ani kalimah "Ila ha" pula, bermaksud mengadakan atau mengiakan dan mengambil balik segala apa yang kita telah tolak dalam kalimah "Laa". Jika dalam kalimah "Laa" kita tolak semua sifat makhluk, manakala dalam kalimah "Ila ha" pula, ianya kita adakan semula. Walaupun sifatnya diadakannya kembali, ianya adalah sekadar sifat yang menumpang.
Jika dalam kalimah "Laa" kita mengaku bahawa tidak ada lain, selain Allah, manakala dalam kalimah "Ila ha" pula kita mengaku bahawa Allah telah menzahirkan makhluknya melalui 7 sifatNya, seumpama sifat hidup, kuasa, berkehendak, mengetahui, mendengar, melihat dan sifat berkata-kata. Walau bagaimanapun 7 sifat tersebut di atas hanya sekadar sifat menumpang. Seumpama sifat sama' menumpang sifat sami'un, sifat basar menumpang sifat basirun dan begitulah seterusnya.
Untuk dihubung kaitkan dengan kalimah syahadah, kita hendaklah melihat sifat mata yang kita miliki, tidak berguna, tanpa penglihatan Allah, telinga kita tidak akan bermakna tanpa pendengaran Allah, mulut tidak bererti tanpa berkata-kata Allah, hidung tidak berguna tanpa hidup Allah, akal tidak bererti jika tanpa ilmu Allah, anggota tidak bermakna tanpa kuasa Allah. Segala-galanya yang ada pada kita bergantung dan menumpang sifat Allah.
Semasa melafazkan kalimah "Ila ha" dalam bersyahadah, kita dikehendaki mengingati diri kita bahawa sifat yang ada pada diri dan yang kita bawa ini, tidak boleh berdiri sendiri, hanyalah sekadar sifat yang menumpang dan bergantung kepada sifat Allah. Diri kita tidak memiliki apa-apa. Kita tidak akan dapat melihat tanpa basirun Allah dan kita tidak akan dapat mendengar tanpa samiun Allah.
Dari kesedaran dan keinsafan itu, membawa hati kita kepada suatu perasaan kosong, hiba, hina, kerdil, miskin, kecil dan perasaan fakir di hadapan Allah. Inilah tujuan kita mempelajari sifat ma'ani.
Diri kita ini sesungguhnya yatim piatu yang tidak punya apa-apa. Ibu bapa, anak-isteri, kaum-keluarga, harta benda, hidup mati dan kaya miskin itu, adalah hak Allah ta'ala, yang boleh diambilnya balik pada bila-bila masa. Yang kita miliki ini, adalah semata-mata hak kepunyaan Allah.
Di tangan Allah lah diri kita, segala kekuatan, kecantikan, kekayaan dan kegagahan yang selama ini kita megah-megahkan itu, sebenarnya adalah milik kepunyaan Allah.
Dengan kefahaman bahawa, sifat diri kita ini, sebenarnya mati dan menumpang. Seumpama sifat mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan seluruh anggota, menumpang wajah kebesaran Allah. Yang hendaknya dikembalikan semula sifat itu kepada Allah.
Anggaplah diri kita ini, sudah mati, binasa, hilang dan lenyap dalam wajah Allah. Yang kita miliki ini, semuanya adalah hak Allah Ta'ala belaka. Hendaklah kita serah kembali kepada Allah. Kembalikan sifat-sifat tersebut kepada Allah. Jadikanlah diri kita ini seumpama fakir, muflis, hina, mati, binasa, dan hilang dalam kekuasaan Allah.  Inilah di antara hikmah dan di antara intipati mempelajari sifat ma'ani dalam sifat 20.
Bagaimana Mengenal Allah Melalui Sifat Ma'ani?
Peranan sifat ma'ani hanya sekadar menjadi saksi (kesaksian) Sifat ma'ani berperanan sekadar sifat menumpang. Seumpama basar, hanya menumpang kepada sifat basirun. Telinga menumpang sifat sama', manakala sama' pula menumpang sifat samiun. Lidah menumpang sifat kalam, manakala kalam pula menumpang sifat mutakallimun. Sifat ma'ani adalah sifat menumpang sifat maknawiah (sifat kekuasaan Allah).
Dari kefahaman itu, dapatlah kita tilik diri sendiri, betapa sifat yang ada pada diri kita ini, semuanya kepunyaan Allah. Kita ada mata, tatapi Allah yang memiliki sifat penglihatan. Kita ada telinga tetapi Allah yang memiliki sifat pendengaran. Kita ada mulut tetapi Allah yang memiliki sifat berkata-kata. Begitulah seterusnya, yang menggambarkan bahawa diri kita ini adalah kepunyaan Allah.
Sifat ma'ani bertujuan supaya sifat Allah dapat dilihat melalui pancaindera, pada roh, dan pada diri kita sendiri. Allah berilmu manakala diri pula bersifat mengetahui melalui akal. Allah berkudrat, manakala diri pula bersifat berkuasa melalui pancaindera. Allah beriradat, manakala diri pula bersifat berkehendak (dapat berkeinginan melalui rasa). Allah bersifat sama' manakala diri pula bersifat mendengar melalui telinga. Allah bersifat basar manakala diri pula bersifat melihat melalui mata. Allah bersifat kalam, manakala diri pula bersifat berkata-kata melalui lidah.
Jangan sekali-kali kita menjadi lupa diri, bahawa semua sifat-sifat yang kita miliki ini, adalah kepunyaan Allah, diri kita ini, hanya sekadar menumpang sifat Allah. Apabila kita faham sifat ma'ani, dengan sendirinya membawa diri kita pulang ke pangkuan Allah dengan tangan kosong, dengan menyerahkan segala sifat kepada Allah.
Bahawasanya diri kita ini, sebenarnya adalah kepunyaan dan milik Allah sepenuhnya secara mutlak. Sifat yang kita pakai dan yang ada pada kita ini, seumpama sifat bayang (menumpang yang empunya bayang).
Setelah kita sedar, bahawa sifat yang kita pakai ini adalah sifat pinjaman dan menumpang sifat Allah, sebaiknya kembalikanlah semua sifat-sifat itu kepada Allah. Jangan sekali-kali cuba memakai pakaian Allah, walaupun secara percuma atau secara pinjaman, kerana kita tahu bahawa pakaian Allah itu, amat tidak layak untuk dipakai oleh kita. Kita tidak layak memakai pakaian Allah dan kita tidak layak untuk menerima pinjaman Allah. Pakaian Allah itu, Allah lah pemiliknya, Allah lah yang layak memakainya.
Sebenarnya kita ini, tidak punya apa-apa pakaian atau persalinan. Kita ini adalah ibarat tangan kosong. Yang menjadi milik dan kepunyaan kita bukan pakaian atau persalinan, yang menjadi milik dan kepunyaan kita yang mutlak, adalah Allah itu sendiri.
Inilah konsep yang hendak diketengahkan dan yang hendak diterapkan melalui sifat ma'ani. Konsep serta kefahaman inilah yang benar-benar perlu kita fahami. Cuba fahami dan hayati betul-betul sifat ma'ani yang tujuh itu, apabila kita telah kasyaf dalam menghayati sifat ma'ani, di sinilah membawanya lebur dan terbakarnya sifat diri yang palsu dan yang menumpang ini.
Bagi mereka-mereka yang mengenal Allah, apabila dia cuba untuk memakai sifat Allah. Maka hancur terbakarlah anggotanya, lebur musnahlah sifat jasadnya. Mereka tidak sekali-kali berani memakai sifat pakaian Allah.  Pakaian Allah itu ada tujuh iaitu seumpama sifat hidup, ilmu, kudrat, iradat, samak, basar dan kalam, manakala pakaian kita juga tujuh seumpama:
1. Pakaian sifat mati (binasa).
2. Pakaian sifat bodoh dungu.
3. Pakaian sifat lemah, lumpuh tidak berupaya.
4. Pakaian sifat tidak berkemahuan, tidak berkehendak.
5. Pakaian sifat pekak dan tuli.
6. Pakaian sifat buta.
7. Pakaian sifat bisu.
Inilah pakaian dan sifat-sifat yang kita pakai serta pakaian mereka-mereka yang mengenal diri dan yang mengenal Allah swt. Mereka ini beranggapan dan beriktikad bahawa, diri serta jasad mereka sudah mati, tidak ada, lebur dan binasa. Mereka tidak lagi berakal, tidak lagi mempunyai kekuatan, tidak lagi berkemahuan, tidak lagi berpendengaran, tidak lagi berpenglihatan, dan tidak lagi bersuara diri. Jasad mereka sudah fana', sudah baqa' dan karam dalam wajah Allah swt.
Diri mereka tidak ubah seumpama mayat yang hidup. Mereka tidak memakai pakaian Allah, mereka tidak meminjam pakaian Allah, mereka tidak mengambil persalinan Allah, mereka tidak memakai apa-apa yang menjadi hak Allah. Tidak layak bagi mereka untuk menerima apa-apa yang menjadi milik Allah. Bagi mereka,  segala-galanya adalah dari Allah, kepada Allah dan berserta Allah. Baik di dalam tidur, dalam jaga, dalam gerak, dalam tutur kata, dalam penglihatan, pendengaran, berkeinginan dan sebagainya, semuanya milik Allah.
Bukan sifat mata yang mereka pandang, tetapi penglihatan Allah, bukan sifat telinga menjadi tumpuan, tetapi pendengaran Allah, bukan mulut menjadi keinginan, yang menjadi keinginan mereka ialah suara (kata-kata) Allah. Yang berkeinginan dan berkehendak itu, adalah Allah swt. Yang berkuasa dan berilmu itu adalah Allah. Inilah kaedah pegangan iktikad orang makrifat, dalam menterjemah sifat ma'ani. Yang menjadikan hati kita penuh yakin kepada Allah.
Tujuan sifat ma'ani diketengahkan untuk dipelajari dan difahami, adalah untuk membawa kita kepada suatu keinsafan diri, bahawa semua yang kita miliki dan yang ada pada diri kita ini, sebenarnya adalah milik Allah.  Setelah kita sedar yang segala-gala sifat itu menjadi milik Allah, hendaklah kita kembalikannya semula kepada Allah.
Perkara yang membuat kita ditanya dan disoal itu, adalah kerana hutang sifat kita semasa di dunia masih belum dijelaskan, mereka yang belum melangsaikan pinjaman dan yang belum mengembalikan hak Allah semasa hayat masih ada dan semasa masih hidup di dunia, hutang sifat yang kita pinjam dari Allah, hendaklah dikembalikan semula kepada Allah. Jika ianya dilangsaikan semasa di dunia, tidaklah ada lagi soal jawab dari Munkar dan Nakir di dalam kubur.
Yang hendak Allah dakwa dan tuntut itu, bagi mereka-mereka yang kembali ke pangkuannya dengan tidak menjelaskan hutang sifat dan tidak mengembalikan hakNya. HakNya diambil pakai, diambil guna, tetapi tidak pandai untuk memulangkan dan tidak pula pandai mengembalikannya semula kepada Allah.
Inilah tujuan pengajaran sifat ma'ani diperkenalkan. Ini adalah tujuan sifat ma'ani diketengahkan untuk diambil tahu oleh sekalian kita. Dengan mempelajari sifat ma'ani, akan membawa kita tahu untuk membezakan, yang mana hak kita dan yang mana hak Allah swt. Perhatikan sekali lagi perkara ma'ani dan hendaknya kita hayati dan tilik dengan mata hati yang kasyaf.
Selagi hayat masih dikandung jasad, kita di kehendaki mengembalikan hak kepada yang berhak, nantinya bila tiba di alam akhirat kelak, kita akan mendapat layanan dan sambutan yang istimewa dari penguasa langit, lain dari yang lain. Kita akan ditempatkan bersama orang yang sempurna lagi terpuji.
Roh orang-orang sebeginilah dinamakan roh mutmainnah, roh yang diterima Allah. Tempat kita itu, adalah di sisi Allah, bukannya di sisi tanah yang mengandungi ulat dan cacing.
Roh sebeginilah yang dikatakan roh yang suci bersih, roh yang sentiasa disertai air sembahyang, roh yang sentiasa di iringi dengan kalimah syahadah. Inilah roh mereka-mereka yang mati sebelum mati dan roh mereka-mereka yang mengenal diri semasa di dunia. Inilah yang dikatakan roh yang mengenal tuannya.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-12-2024 11:33 AM GMT+8 , Processed in 0.044121 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list