|
Tokyo: Pelumba berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang hari ini menerima satu kejutan yang menggembirakan daripada keluarganya yang berada di Melbourne, Australia.
Pelumba berusia 33 tahun itu, kini berada di sini untuk Olimpik Tokyo.
Kejutan itu tentunya memberikan beliau satu rangsangan semangat yang amat diperlukannya untuk bertanding dalam acara kegemarannya, keirin lelaki Sabtu ini, selepas beliau gagal layak ke peringkat suku akhir acara pecut hari ini.
Isteri Azizulhasni Athiah Ilyana Abd Samat, 35, bersama dua anak perempuannya Amna Maryam, 8 dan Amna Khadeeja, 5, mendoakan agar 'The Pocket Rocketman' akan berjaya membawa pulang emas pertama Malaysia di Olimpik.
"Untuk 'abi' yang kami sayangi, all the best in Tokyo Olympics 2020', semoga Allah SWT permudahkan urusan...go Azizul go, all the best and we love you abi," kata mereka dalam video yang dimuat naik di Facebook Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.
Azizulhasni yang kelihatan kebingungan apabila menonton video itu, hanya mampu bertanya, "bila hantar ni?", kepada rakan-rakan sepasukannya.
Terdahulu pelumba berasal dari Dungun itu, bersama seorang lagi pelumba berbasikal negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom, gagal untuk mara ke peringkat suku akhir, selepas tewas dalam perlumbaan repechages.
Azizulhasni adalah pelumba berbasikal trek Malaysia pertama memenangi pingat Olimpik apabila memenangi gangsa pada acara keirin di Olimpik Rio 2016.
sumber : Hmetro |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|