View: 2236|Reply: 1
|
Setiap ujian ditemani keadilan
[Copy link]
|
|
Setiap ujian ditemani keadilan
FOTO HIASAN
Dunia yang menjadi tempat kediaman kita ini penuh dengan ujian dan pancaroba. Kalau kita menoleh ke kiri atau kanan, depan atau belakang, pasti kita tidak temui seseorang yang tidak pernah diuji dengan masalah atau ditimpa musibah. Ini resam dunia, tidak pernah lekang dengan ujian.
Terkadang dahsyatnya ujian yang boleh menyebabkan seseorang terduduk, bahkan terlantar persis lumpuh. Tidak berdaya untuk bangun apatah lagi untuk berdiri meneruskan sisa-sisa usia.
Kegagalan dalam melepasi ujian dan kecundang dalam mencapai impian membawa igauan mengusutkan fikiran. Dalam mengenang nasib diri, syaitan datang membisikkan ke sanubari: "Tamatkanlah riwayat diri agar sengsara tiada lagi."
Sebetulnya mengakhiri hayat amanah Ilahi adalah usaha untuk lari daripada perkara yang dianggap buruk kepada perkara yang lebih teruk lagi.
Bukankah pada tika bencana melanda, hati kita sepatutnya berpaut pada Yang Maha Kuasa? Juga meyakini di sebalik hadirnya ujian Ilahi, adanya hikmah tersembunyi, yang tidak ketahui, hanya Tuhannya Maha Mengetahui.
Terkadang hikmah kebaikan itu kita temui sepanjang perjalanan kehidupan dan terkadang ia disimpan Ilahi untuk dinikmati di negeri kekal abadi.
Penawar keperitan akibat ujian itu ada pada sikap berserah diri kepada Allah yang menetapkan takdir sejak azali, yang juga Maha Mengasihani kerana dia tahu yang baik untuk hamba yang dikasihi.
Sebenarnya besarnya ganjaran itu sesuai dengan hebatnya bencana yang menimpa. Allah SWT pula, apabila Dia mengasihi satu-satu golongan, nescaya ditimpakan bala bencana kepada mereka. Lalu sesiapa yang reda maka baginya keredaan Allah dan sesiapa yang marah maka baginya kemurkaan Allah. (Hadis Hasan Riwayat al-Tirmidhi)
Daripada sudut lain hendaklah sentiasa diingati bahawa ujian dan dugaan itu bagai ubat yang diberikan kepada pesakit.
Walaupun pesakit kita dikasihi, walaupun ubat pahit sekali, ia tetap akan diberi supaya sembuh hingga boleh berdiri. Begitu juga dengan ujian dan dugaan yang Allah SWT tetapkan kepada hamba-Nya. Walaupun hamba Dia kasihi, walaupun ujian sangat menyakiti, ia tetap juga diberi, supaya ganjaran menempati diri.
Dalam sabda lain, junjungan SAW berkata: "Tidaklah seorang Muslim tertimpa kecelakaan, kemiskinan, kegundahan, kesedihan, kesakitan mahu pun kedukacitaan, bahkan tertusuk duri sekalipun kecuali Allah akan menghapuskan dosa-dosanya melalui musibah yang menimpanya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Lantaran itu, ketika kita diuji diduga hingga mengalir air mata sengsara, tika dicuba melalui bala derita hingga lumpuh tiada bermaya, hendaklah kita renung dan faham bahawa ujian itu sudah tertulis sebagai takdir yang datang dari Tuhan, yang menguji pegangan keyakinan kita sebagai seorang hamba yang seharusnya boleh bertahan.
Ujian yang datang itu pula sentiasa ditemani keadilan. Tuhan tidak pernah berlaku zalim. Ujian juga bukan tanda Tuhan membenci kerana sebenarnya setiap yang dikasihi pasti diuji.
Kalau kita lihat di sebalik ujian yang menimpa, nescaya kita akan temui rahmat Tuhan dan kita ketahui bahawa Dia menguji kita dengan ujian dan bencana yang sepatutnya kita boleh hadapinya berbekalkan perisai yang sudah lama kita bina dalam diri.
Ujian itu pula sarat dengan tujuan yang baik. Mungkin melalui ujian itu Tuhan ingin tinggikan darjat hamba-Nya, menghapuskan kekhilafan atau salah silapnya, mendidik diri supaya dekat dengan-Nya atau ingatkan diri melalui keperitan yang dilalui.
Jika diri masih lemah luluh kuatkan diri dengan doa sebagai senjata. Apa yang penting dalam doa ialah menjaga adab berdoa. Antara adab terbabit ialah berdoa dengan penuh penghayatan dan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doa itu.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa." (Hadis Hasan Riwayat al-Tirmidhi)
Salah satu doa yang diajar oleh Rasulullah SAW ada dalam kitab Mir'ah al-Mafatih Sharh Mishkat al-Masabih, hadis sahih no. 2521, riwayat al-Nasa`i yang bermaksud: "Ya Allah, Aku benar-benar memohon dengan bertawassul melalui pengetahuan-Mu terhadap perkara ghaib dan kekuasaan-Mu atas segala makhluk agar Engkau panjangkan umurku selama Engkau mengetahui hidup itu lebih baik untukku dan matikanlah aku jika Engkau mengetahui kematian itu lebih baik bagiku. Ya Allah, aku memohon agar aku takut kepada-Mu pada setiap saat dan ketika, berkata benar pada waktu suka atau marah, keseimbangan ketika fakir atau kaya, nikmat yang tidak pernah habis, perkara menggembirakan yang pernah putus, reda setelah terjadinya takdir-Mu, kehidupan yang baik selepas kematian, kenikmatan memandang wajah-Mu (di syurga), rindu bertemu dengan-Mu. (Aku mohon semua itu diberikan) tanpa mendapat mudarat yang membahayakan juga fitnah yang menyesatkan. Ya Allah, hiasilah kami dengan iman dan jadikanlah kami sebagai penunjuk ke jalan (lurus) yang tetap teguh bersama hidayah."
Melalui doa ini antaranya kita memohon supaya Allah mengekalkan kita hidup selama mana kebaikan kita mengatasi keburukan, selama mana kehidupan kita menyebabkan pertambahan amal baik. Sebaliknya mengambil nyawa kita sekiranya kejahatan kita melebihi kebaikan supaya kematian merehatkan kita daripada segala keburukan dan segala perkara yang memudaratkan.
Kita juga memohon supaya diberikan sifat reda atas ketentuan yang sudah berlaku. Dalam riwayat lain kita disarankan memohon sifat reda dengan takdir yang tertulis sejak azali supaya dapat menghadapinya dengan positif dan optimis. Begitu juga supaya kita meyakini terdapat kebaikan pada semua ketentuan yang tertera.
Kita juga memohon kehidupan yang baik selepas kematian dengan menempatkan roh kita selepas kematian bersama mereka yang bahagia dan mereka yang dekat kepada Tuhan. Memang hidup di dunia ini tidak menyenangkan, tidak juga menjanjikan kondisi dan situasi yang selesa. Dunia dipenuhi keperitan berpanjangan, kesusahan dan kesedihan yang menimpa emosi dan fizikal. (Mir`ah al-Mafatih: 8/278-280)
Walaupun begitu kita tidak digalakkan memohon kematian kerana ia bertentangan dengan konsep sabar dan reda menghadapi ujian. Jika terpaksa maka berdoalah seperti doa di atas kerana dari satu aspek ia menunjukkan bahawa si hamba benar-benar berserah kepada takdir Ilahi setelah segala usaha dan ikhtiar dipenuhi. (Mir`ah al-Mafatih: 5/-288)
Tetapi, tindakan seseorang untuk menamatkan hidup sendiri perlu diperhalusi dari segenap segi. Adakah ketika itu akalnya sudah tidak berfungsi atau hanya mencari jalan pintas untuk menamatkan sengsara diri?
Banyak usaha yang sudah dan sedang dilakukan untuk membantu masyarakat yang menghadapi kesukaran lebih-lebih lagi dalam pandemik Covid-19 ini. Di samping bantuan keperluan harian, bantuan dari sudut emosi dan mental sangat penting. Terkadang wang ringgit yang banyak tidak bererti jika emosi dan minda sentiasa bercelaru. Betapa ramai si kaya hatta jutawan yang terperangkap dalam masalah lalu depresi sehingga membuat keputusan drastik tanpa pertimbangan yang masak.
Masalah sama ada berkaitan dengan mental atau fizikal amat menyulitkan dan memeritkan. Sebab itu: "Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang Mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada Hari Kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat." (Hadis riwayat Muslim)
'Melepaskan kesusahan' yang dimaksudkan pula boleh jadi melalui harta, pangkat dan bantuan (tenaga). Zahir hadis ini juga memasukkan bantuan yang diberikan melalui tanda isyarat, pendapat atau cadangan serta panduan. (al-Minhaj Sharh Sahih Muslim: 16,135)
Apakah lagi yang kita mahukan selain Allah memudahkan urusan di dunia dan di akhirat? Balasan baik ini bukan calang-calang! Tawaran yang diberi ini bukan sebarang! Ya Allah, mudahkanlah urusan dunia dan akhirat kami.
Penulis pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
|
|
|
|
|
|
|
Tanak diuji.. tapi leka. Bila diuji mmg kelam kabut. Dah setel.. leka balik |
|
|
|
|
|
|
| |
|