
Fatimah dan Sharifah Hasidah ketika sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Wanita PBB hari ini.
KUCHING: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyokong cadangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mengemas kini definisi penduduk pribumi di Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pihaknya berpendapat agar pindaan ini dilakukan dengan segera supaya dapat menggambarkan kaum pribumi yang ada di Sarawak selain kaum Melayu dan Cina.
“Kita di Sarawak ada lebih 27 etnik dan sudah tiba masanya untuk kita meletakkan nama-nama etnik secara spesifik di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Apa-apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan satu undang-undang yang tidak boleh dipersoalkan, tidak mudah kita ubah.
“Sebab itu kita berpendapat mengemas kini definisi suku kaum yang ada di Sarawak ini mesti kita lakukan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Wanita PBB di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Ketua Pergerakan Wanita PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Sharifah Hasidah yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Wanita PBB berkata, kemas kini definisi suku kaum ini mesti dilakukan melalui Majlis Adat Istiadat.
“Mana-mana etnik kaum di Sarawak yang mahu dimasukkan dalam Perlembagan Persekutuan boleh tampil mengemukakan nama kaum masing-masing di Majlis Adat Istiadat.
“Kita mahu di zaman moden ini dan berdasarkan hak asasi manusia sekecil-kecil mana pun kumpulan etnik, ia perlu diiktiraf,” katanya.
Oleh itu, katanya, sejajar dalam laporan Pesuruhjaya Antara-Kerajaan (IGC), Sarawak perlu mempertahankan tradisi dan bahasa kaum etnik di Sarawak.
Pada 21 September lalu, Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri, Persekutuan Dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali mahu definisi penduduk pribumi diperbaharui dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sharifah Hasidah dalam kenyataan berkata definisi semasa bagi Bumiputera Sarawak tidak menggambarkan kepelbagaian kaum masyarakat Bumiputera yang terdapat di negeri ini.
Katanya, kebiasaannya selain Melayu, Cina dan Dayak, Bumiputera lain dikategerikan sebagai lain-lain.
Justeru kata Sharifah Hasidah pihaknya telah mencadangkan definisi Bumiputera dikemaskini bagi mengambarkan kepelbagaian kaum bumiputera.
Katanya lagi, untuk menyediakan senarai lengkap jumlah kaum di Sarawak bukan satu tugas yang mudah.
Untuk itu katanya bantuan Majlis Adat Istiadat adalah diperlukan untuk menghasilkan senarai lengkap dan spesifik bagi memastikan tidak akan mana-mana Bumiputera Sarawak yang tertinggal.
utusanborneo.com.my/2021/09/28
|