|
Kuala Lumpur: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berharap barisan pemain muda negara dapat mengekalkan momentum menjelang pertemuan dengan Jepun dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman 2021, malam ini.
Awal pagi tadi skuad negara yang dibarisi pemain muDa melakar kejutan apabila melangkah ke separuh akhir selepas menumbangkan musuh tradisi, Indonesia 3-2 dalam aksi suku akhir di Vantaa, Finland.
Chong Wei yang juga bekas pemain nombor satu dunia berkata, beliau kagum dengan semangat juang tinggi dipamerkan barisan pemain muda negara yang mencipta kemenangan kali pertama ke atas Indonesia dalam kempen Piala Sudirman.
"Tahniah seharusnya diucapkan kepada barisan pemain yang tidak mengecewakan walaupun ranking setiap pihak lawan lebih tinggi. Berdebar dan terbasah ketiak Chong Wei menonton.
"(Lee) Zii Jia, (Soh) Wooi Aik dan Aaron (Chia) memang 'power'. Tak terkejar 'minions' (Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo) melawan beregu kita. Zii Jia pula tak kasi peluang langsung kepada (Anthony) Ginting, yang tak pernah kalah kepada Zii Jia sebelum ini. Syabas!
"S Kisona pula hampir menewaskan Mariska, walaupun Mariska berada di 30 posisi di atas Kisona dalam ranking. Apa pun, Selamat Hari Lahir Kisona, satu Malaysia menyambutnya untuk anda.
"Masuk perlawanan keempat. Lawan juara Olimpik. Ingatkan senang senang kalah. Tapi tidak! Pearly (Tan) dan (M) Thinaah hampir tapaukan beregu emas Indonesia. Chong Wei suka tengok Thinaah dan Pearly yang selalu senyum dan berkomunikasi di atas gelanggang. Percayalah, pasangan ini akan pergi jauh.
"Akhir sekali, lawan beregu campuran ranking nombor empat dunia. Ramai tak kenal pun beregu campuran Malaysia ni. Tapi Cheah Yee See dan Hoo Pang Ron menunjukkan Malaysia tidak lemah, Malaysia tidak akan kalah sewenang-wenangnya.
"Bagai dirasuk harimau Malaya , dua pemain muda Malaysia ini menghadiahkan kemenangan ajaib untuk negara tersayang. Terharu juga apabila mata terakhir dikenal pastikan oleh mata helang.
"Tahniah team! Rehatlah! Sudah tapau ayam penyet, malam ini kita kasi tapau Bento! #malaysiaboleh #DemiMalaysia," katanya menerusi hantara di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu berharap mutu penjaga garisan di Finland dapat diperbaiki selepas menyifatkan keputusan-keputusan yang dibuat sebagai 'teruk gila' ketika aksi Malaysia bertemu Indonesia.
"Teruk gila penjaga garisan di Finland malam tadi. Tolong la perbaiki. Kalau tidak, saya kasi call mak pemain Finland, Teemu Puuki, kasi complain sama lu orang," katanya. - HMetro
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|