|
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak perlu meneliti semula syarat ditetapkan kepada individu yang berhasrat memasuki negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata beliau bimbang jika syarat itu menjejaskan kehadiran pelancong ke negeri ini ketika sektor pelancongan dibuka semula untuk memulihkan ekonomi negeri.
Katanya, beliau gembira apabila permit polis tidak lagi diperlukan untuk perjalanan antara negeri mulai hari ini.
"Tetapi masih ada syarat lain yang perlu dipatuhi oleh mereka yang ingin memasuki Sarawak.
"Saya tidak melihat asas syarat itu untuk memasuki Sarawak kerana polis sudah menamatkan syarat mereka, jadi mengapa kita masih perlu menetapkan syarat lain untuk memasuki Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran program D'Drift Dayak Daily, di sini, hari ini.
Abdul Karim berpendapat bukti lengkap vaksinasi sudah memadai untuk membenarkan individu memasuki negeri ini.
"Bagi mereka yang belum lengkap vaksinasi atas alasan kesihatan juga harus dibenarkan masuk ke negeri ini dengan syarat mereka menunjukkan surat doktor yang menjelaskan mengapa mereka tidak dapat divaksin," katanya.
Semalam, JPBN Sarawak bersetuju untuk memberi kebenaran kepada individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap bagi melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran polis.
Bagaimanapun, JPBN mengekalkan syarat iaitu individu yang ingin memasuki Sarawak harus membuat permohonan menerusi EnterSarawak dengan menyertakan bukti status 'lengkap vaksinasi'.
Selain itu, mereka juga perlu mengemukakan keputusan RT-PCR atau antigen negatif yang sah untuk tempoh tiga hari sahaja dari Klinik Kesihatan atau Makmal Kesihatan.
|
|