|

MIRI: Semua farmasi mematuhi harga siling Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 yang ditetapkan kerajaan pada harga RM19.90 selepas pemeriksaan dilakukan semalam.
Ketua Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Miri, Joe Azmi Jamil berkata berdasarkan pemeriksaan dilakukan semua farmasi mematuhi harga siling yang ditetapkan sejak 5 September lalu.

"Pihak kementerian menasihatkan kepada mana-mana peniaga yang menjual RTK Covid-19 supaya tidak menjual melebihi harga siling yang ditetapkan.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua farmasi yang diperiksa menjual mengikut harga siling yang telah ditetapkan oleh kerajaan iaitu tidak melebihi RM19.90," katanya dalam satu kenyataan.
Joe berkata, sekiranya didapati ada peniaga yang menjual melebihi harga siling yang telah ditetapkan, maka pihak kementerian akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Katanya, tindakan akan diambil mengikut AKHAP 2011 yang mana seseorang individu boleh dikenakan penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kompaun sehingga RM50,000.
"Denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000 bagi syarikat yang didapati gagal mematuhi peraturan berkenaan," katanya.
Disamping itu, pihak kementerian juga memohon kerjasama daripada orang ramai supaya melapor sekiranya ada peniaga yang menjual melebihi harga siling yang ditetapkan.
Bagaimanapun, katanya, KPDNHEP Miri setakat ini masih tidak menerima sebarang aduan daripada orang ramai mengenai penjualan.
credit
|
|