CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4009|Reply: 2

Sanggup berhabis ribuan ringgit (kereta klasik)

[Copy link]
Post time 9-4-2009 11:48 AM | Show all posts |Read mode
Sanggup berhabis ribuan ringgitOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
[email protected]

Joseph Miranda dan Micheal Sundram adalah antara pemilik kereta Volvo yang mempunyai cerita menarik di sebalik hobi mereka. Apakah yang ingin mereka kongsikan?



BUNYI deruman enjin Volvo klasik B16 berwarna merah hati memecah kesunyian pagi di Taman Daya, Kepong setiap kali Joseph Miranda, 54, menghidupkan enjin untuk 'dipanaskan'.
Setelah lima minit enjin dipanaskan, Joseph kemudiannya memastikan keadaan Volvo klasiknya yang menjangkau usia 47 tahun itu dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan ke tempat kerja.

Memiliki bengkel kereta sendiri di Batu 4, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, Joseph mempunyai satu minat dan keinginan yang mendalam terhadap kereta keluaran Sweden itu.
Ini terbukti, apabila beliau berjaya mengumpul sebanyak empat buah kereta Volvo klasik daripada pelbagai jenis sejak lapan tahun lalu.

Antara kereta yang dimiliki Joseph adalah Volvo122 jenis B16 (1962), Station Wigon (1963), P1800 (1967) dan Volvo 164 (1974).
Baginya, kereta-kereta Volvo tersebut ibarat seperti anak-anaknya. Jentera itu dibelai, dijaga dan ditatang bagai minyak yang penuh.
Lebih-lebih lagi, hidupnya sunyi tanpa kehadiran cahaya mata walaupun telah 24 tahun mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, Rosa Gomez, 48.

JOSEPH bangga memiliki empat jenis kereta Volvo dari tahun 1962 sehingga 1974.

Mendapat sokongan daripada isteri tercinta, ketaksuban Joseph terhadap hobinya itu semakin menjadi-jadi.
Beliau sanggup berhabis sehingga RM20,000 hanya untuk membaikpulih sebuah kereta agar ia sentiasa dalam keadaan baik dan cantik.

Paling banyak, beliau telah menghabiskan wang untuk Volvo B16 yang berwarna merah hati itu.
"Enjin dan aksesori seperti lampu, hupcab rim, karburator dan lain-lain diperoleh melalui tempahan dari Australia. Walaupun berhabis sehingga mencecah ribuan ringgit, namun saya merasakan, ia berbaloi," katanya yang membeli B16 pada harga RM5,000.

Perasaannya puas dan bangga apabila banyak mata memandang dan memuji kecantikan serta keunikan B16 miliknya itu. Malah, pernah beberapa individu ingin membelinya dengan membuat tawaran harga yang tinggi.
"Walaupun ramai yang ingin membeli tetapi saya tidak mahu menjualnya. Saya sayangkan kereta Volvo ini walaupun pergerakannya terbatas," katanya mengulas Volvo B16 yang tidak mampu bergerak jauh.

JOSEPH sanggup berhabis sehingga RM20,000 hanya untuk membaikpulih sebuah kereta Volvo miliknya agar sentiasa dalam keadaan baik dan cantik.

Jika dahulu, jika golongan berusia memandu Volvo, ia memukau mata golongan seusia mereka.
Bagaimanapun, persepsi berkenaan semakin berubah seiring dengan peredaran masa apabila jentera berkenaan bukan lagi menjadi tarikan golongan veteran, sebaliknya golongan muda.

Ia juga tidak lagi dilabelkan sebagai kereta kecil seakan-akan menyerupai kotak yang tidak bernilai. Malah, kereta Volvo klasik itu mempunyai signifikan tersendiri buat pencinta Volvo khususnya.

KERETA Volvo klasik tidak lagi dilabelkan sebagai kereta ‘kotak’ yang tidak mempunyai nilai.




Ini terbukti dengan kewujudan Kelab Volvo Klasik Malaysia (KVM) dengan jumlah ahli seramai 232 orang.
"Ada di antara ahli Kelab Volvo Klasik Malaysia terdiri daripada anak muda yang berumur 30-an. Mereka sanggup berhabis beribu ringgit untuk membaikpulih kereta Volvo yang dibeli," katanya ketika ditemui di Bengkel Autowork miliknya yang terletak di Batu 4, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Pada mulanya, Joseph menjadikan Volvo klasik sebagai hobi persendirian dan lama-kelamaan, Joseph merealisasikan hobinya itu bersama rakan-rakannya dengan melibatkan diri di dalam KVM sejak enam tahun yang lalu.
Menurutnya, dua daripada Volvo miliknya iaitu Volvo P1800 jenis sport dan Station Wigon pernah berkonvoi dengan jenama kereta yang sama sehingga ke Phuket, Betong, Bangkok dan Koh Samui, Thailand.

Ujarnya, ahli KVM bukan sahaja berkonvoi beramai-ramai untuk bercuti dan mengeratkan silaturahim antara ahli, tetapi juga mengutip dana bagi disalurkan ke badan-badan kebajikan.
Bagi Micheal Sundram, 63, pula, kecenderungan mengumpul kereta klasik terbit melalui pendedahan yang diperoleh daripada bapanya.
"Bapa saya merupakan seorang penggemar kereta dan motor klasik. Paling saya suka adalah kereta Austin 7 milik bapa yang banyak berjasa menghantar dan mengambil saya ke sekolah," kata lelaki yang berasal dari Melaka itu.
Apabila Micheal menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), bapanya telah menjual kereta Austin tersebut.

"Saya tanya dia mana pergi kereta Austin. Dia beritahu, kereta tersebut telah dijual kerana kawannya suka dan menawarkan harga yang tinggi," katanya yang sedih dengan tindakan bapanya itu.

Sejak itu, Micheal berazam untuk mendapatkan kembali kereta Austin 7 itu dan mula berminat mengumpul kereta klasik pelbagai jenis.
Terkini, bapa kepada dua orang anak perempuan itu, taksub dengan kereta Volvo klasik. Volvo jenis 1800 adalah kereta klasik kesembilan yang beliau miliki.
Memiliki Volvo 1800 pada usia 35 tahun, beliau kemudian diajak oleh temannya, Simon Suresh untuk menyertai KVM.

"Dengan menyertai KVM, ia telah merealisasikan impian saya yang berminat dengan kereta klasik. Saya akan terus menyimpan kereta-kereta klasik tersebut dan berharap, kedua-dua anak saya juga akan mengikut jejak langkah saya," ujarnya.
Melihat kereta vintaj milik Micheal, sesiapa pun pasti terpegun dengan nilai estetika dan daya tahan kereta klasik miliknya itu.

Walaupun kereta yang dimilikinya berusia hampir berdekad lamanya, tetapi ia mampu bertahan dan bergerak jauh hingga ke luar Malaysia.




Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 9-4-2009 11:48 AM | Show all posts
cantik2 tue kereta dia.. tp bab keluar duit riban2 yg wat aku ngeri
Reply

Use magic Report

Post time 9-4-2009 05:11 PM | Show all posts
Volvo P1800 - The Saint

Perghh.. Kalau dapat ni.. bergolek-golek aku atas tanah.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-1-2025 04:48 AM GMT+8 , Processed in 0.046896 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list